DUNGUN – Berpakaian sedondon pada 1 Syawal kini hanya tinggal kenangan buat tujuh beradik selepas ibu mereka, Rubiah Sabtu maut dalam kejadian bunuh di Kampung Besol, Bukit Besi di sini bulan lalu.
Muhammad Danish Hakim Mohd. Radzi, 15, berkata, arwah ibunya tidak pernah lupa menyiapkan pakaian raya untuk mereka enam beradik setiap kali tiba Hari Raya Aidilfitri.
“Kami yang terdiri daripada lima lelaki dan seorang perempuan biasanya akan memakai sedondon pada pagi raya.
“Ibu pernah beritahu tema pakaian raya kami pada tahun ini ialah biru, namun sayangnya arwah pergi dahulu tanpa sempat membelinya,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Kampung Besol baru-baru ini.
Kosmo! pada 6 April lalu melaporkan Rubiah, 41, yang merupakan ibu tujuh anak termasuk perkahwinan terbaharu ditemui mati di rumahnya dipercayai dibunuh suaminya yang berusia 32 tahun selepas mereka berselisih faham kerana masalah wang.
Rubiah yang merupakan peniaga kedai runcit ditemui dengan enam kesan hentakan disyaki menggunakan penukul besi pada bahagian muka.

Mohd. Amir kemudian didakwa di mahkamah atas pertuduhan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan pada 12 April lalu.
Bercerita lanjut, Muhammad Danish Hakim berkata, dia dan lima adik-beradiknya beraya bersama nenek, Wan Zailan Wan Abdullah, 60, di Tangga Batu, Melaka. Adik bongsunya, Nur Kaira Damia, tiga bulan berada dengan keluarga bapa tiri.
“Suasana raya pada tahun ini pasti tidak sama kerana kami masih terkejut dengan kematian ibu. Berat untuk menerima takdir ini apatah lagi ia dilakukan ayah (bapa tiri) pada bulan Ramadan,” katanya.
Muhammad Danish Hakim berkata, dia dan abang sulungnya, Muhammad Daniel, 18, akan tinggal bersama bapa kandung mereka di Bukit Besi selepas Hari Raya Aidilfitri. Empat lagi adiknya pula menetap di Tangga Batu bersama nenek mereka.














