Gambar hiasan

Isteri nak bercerai kena ada lebih RM20,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELAKA – Caj guaman bagi perceraian tanpa persetujuan bersama yang mencecah puluhan ribu ringgit menyebabkan wanita-wanita yang ingin bercerai dengan suami mereka pening kepala memikirkan cara untuk mencari duit.

Sebahagian mereka terpaksa melakukan dua pekerjaan dalam satu masa dan kerja sampingan untuk mengumpul wang tersebut, namun ada wanita akhirnya membatalkan hasrat itu kerana tidak mampu menanggung caj guaman.

Risikan Kosmo! Ahad menerusi satu invois yang dikeluarkan sebuah syarikat peguambela dan peguamcara bagi satu kes tuntutan sivil syariah mendapati, kos keseluruhan perkhidmatan untuk perceraian tanpa persetujuan bersama adalah RM14,800.

Antara perkara dinyatakan dalam caj itu adalah kos membuat kajian dan menyediakan bukti penghujahan, analisis fakta kes, draf saman, kehadiran di mahkamah, perjumpaan serta perbincangan profesional, mengisi dokumen dan menyediakan saksi.

Kos-kos lain yang dikenakan termasuk fotokopi dokumen dan caj telekomunikasi sebanyak RM800.

Ini tidak termasuk lagi kos tuntutan bagi setiap kes berkaitan nafkah anak, hak penjagaan anak serta pembahagian harta yang keseluruhannya boleh mencecah RM25,000.

Seorang ibu lima anak yang ingin dikenali sebagai Aisyah, 46, berkata, dia telah berulang kali mempertimbangkan hasrat untuk bercerai kerana sudah tidak tahan dengan sikap suaminya yang bukan sahaja enggan bekerja, malah panas baran.

Katanya, niat itu terpaksa dibatalkan apabila memikirkan kos yang tinggi dan kesukaran proses perceraian termasuklah bagi mendapatkan hak jagaan anak-anak serta nafkah mereka.

“Proses perceraian ini bukanlah sesuatu yang mudah, apatah lagi jika pasangan itu seorang yang sukar memberikan kerjasama dan tidak mahu melepaskan kita.

“Saya takut nanti apabila telah memfailkan kes perceraian melalui syarikat guaman swasta, saya terpaksa menanggung kos prosiding yang mahal dan turun naik mahkamah bertahun-tahun,” katanya kepada Kosmo! Ahad.

Aisyah memberitahu, dia pernah cuba mendapatkan bantuan daripada Jabatan Bantuan Guaman (JBG), namun masih perlu membayar yuran sumbangan mengikut kadar yang telah disub­sidikan serta mematuhi syarat.

“Meskipun guna perkhidmatan JBG, saya masih perlu membayar sebahagian kos sekitar RM3,000 kerana saya daripada golongan M40.

“Bagaimanapun, kewangan saya bukanlah begitu kukuh kerana hanya saya seorang yang bekerja di sebuah syarikat swasta untuk menyara lima anak kami.

“Sehingga kini saya masih tinggal bersama suaminya biarpun terpaksa menanggung deri­ta dengan sikap panas barannya sehingga kami kerap bertekak,” katanya.

Seorang ibu anak satu yang dikenali sebagai Maria, 35, berkata, dia telah bercerai de­ngan suaminya pada tahun lalu dan berhabis sekitar RM7,000 bagi membuat dua tuntutan sahaja, iaitu hadanah (hak penja­gaan anak) dan tuntutan nafkah anak.

“Bagi menuntut hak anak, saya terpaksa bergelut mencari wang dan membuat dua kerja untuk membayar kos peguam. Kos tuntutan nafkah anak adalah pa­ling tinggi iaitu RM4,500.

“Nasib baik atas ihsan dan budi bicara peguam, jumlah tersebut dapat dilunaskan secara ansuran. Ironinya, pergelutan saya mencari wang untuk bercerai ini sama seperti sewaktu ingin berkahwin dahulu, sangat susah kumpul duit.

“Saya sekarang tidak tahu sama ada ingin meneruskan untuk membuat tuntutan mut’ah (pembayaran sagu hati yang diberikan oleh bekas suami kepada bekas isterinya) atau tidak,” katanya yang bekerja di sebuah syarikat media.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN