fbpx

Skuad B-17 negara akan berkampung di Doha

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
CHRISTOPHER menjelaskan skuad B-17 negara akan berkampung selama dua minggu di Doha sebelum mengharungi aksi Piala Asia di Thailand Jun depan.

SKUAD bawah 17 (B-17) negara bakal ‘berkampung’ di Doha, Qatar selama dua minggu bermula 7 hingga 21 April ini bagi menjalani persiapan rapi sebelum mengharungi kejohanan Piala Asia B-17 2023 di Thailand pada Jun depan.

Pengurus skuad B-17 kebangsaan, Christopher Raj berkata, persiapan rapi itu sememangnya menjadi sebahagian daripada perancangan bagi memastikan pemain bersedia untuk mengharungi kejohanan berprestij peringkat belia itu nanti.

“Perancangan pasukan selepas ini adalah untuk menjalani kem latihan pusat di Doha, Qatar bermula 7 hingga 21 April ini. Namun, butiran mengenai aktiviti pasukan di sana hanya akan dimaklumkan dalam masa terdekat,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Sementara itu, Christopher mengakui peluang untuk anak-anak buahnya melangkah jauh pada kempen Piala Asia B-17 nampak seimbang selepas diundi dalam Kumpulan A bersama Yemen, Laos dan tuan rumah, Thailand pada sesi undian yang berlangsung di Bangkok, kelmarin.

“Di atas kertas, ini adalah undian yang cukup baik tetapi saya yakin dalam mana-mana kejohanan akhir, semua 16 pa­sukan adalah yang terbaik dan sudah tentu kita tidak boleh memandang rendah dengan mana-mana negara.

“Kita tahu kualiti yang ada pada Thailand dan Yemen selain ancaman yang boleh diberikan oleh Laos. Saya pasti barisan kejurulatihan ada perancangan mereka dan apa yang penting kita lakukan persiapan rapi,” katanya.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebelum ini meletakkan harapan yang tinggi agar skuad B-17 negara dapat menjadi pasukan pertama negara layak ke pentas Piala Dunia secara merit.

Skuad remaja Harimau Malaya bakal mengharungi saingan Piala Asia B-17 2023 di Thailand pada Jun depan dengan empat tiket automatik ke kejohanan Piala Dunia B-17 2023 di Peru menjadi rebutan.

Skuad negara dijadualkan bertemu dengan Yemen pada aksi pertama Kumpulan A di Stadium Thammasat, Bangkok pada 15 Jun, Thailand (18 Jun) di Stadium Phatum Thani dan Laos (21 Jun).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI