MELAKA – Orang ramai yang memilih untuk membuat persiapan lebaran pada saat akhir berisiko terjebak dengan pinjaman ah long apabila rambang mata untuk membeli barangan yang mempunyai diskaun yang akhirnya mengundang pembaziran.
Berdasarkan rekod tahun lalu, sikap boros sesetengah orang untuk bergaya ketika hari raya telah memaksa mereka membuat pinjaman daripada 500 syarikat pinjaman wang berlesen di seluruh negara mencecah RM1 juta.
Sumber industri memberitahu, walaupun ramai yang merungut dengan kenaikan kos sara hidup dan terpaksa mengeluarkan belanja yang lebih bagi membeli barangan keperluan harian, sikap boros dan ingin berhias pada Hari Raya Aidilfitri membuatkan mereka mengenepikan semua masalah itu.
Katanya, mulai bulan ini, ah long telah mula menerima panggilan daripada orang ramai bertanyakan mengenai pinjaman, faedah yang dikenakan dan beberapa maklumat lain bagi mendapatkan wang.
“Rata-rata orang membuat pinjaman antara RM1,000 hingga RM5,000 pada tahun lalu mengikut kelayakan masing-masing. Pinjaman biasanya diberi kepada mereka yang mempunyai slip gaji.
“Apabila kita membuat semakan secara kolektif, kita mendapati, mereka telah membuat pinjaman daripada 500 ah long berjumlah RM1 juta. Mereka ini mempunyai pekerjaan, tetapi wang tidak cukup disebabkan terpengaruh dengan tawaran diskaun pada saat akhir,” katanya.
Menurut sumber itu, antara yang dibuat dengan wang pinjaman itu ialah membeli perabot, menghias rumah, mengadakan kenduri di kampung ketika hari raya, balik kampung, ubah suai rumah, tukar dapur dan membuat garaj.

Tambahnya, terdapat sesetengah individu yang ketagih untuk membuat pinjaman di mana mereka akan menghubungi ah long sehingga 20 kali sehari sehingga memperoleh wang yang dikehendaki.
“Ada kakitangan kerajaan yang membuat pinjaman dengan koperasi tetapi tidak mendapat jumlah wang diingini dan jalan penyelesaian ialah dia akan membuat pinjaman dengan ah long pula,” katanya.
Ujar sumber itu, syarikat pemberi pinjaman wang berlesen sudah mula menaikkan kadar faedah pada tahun ini tetapi ia langsung tidak menurunkan jumlah peminjam sebaliknya nilai hutang akan meningkat sehingga lebih sejuta ringgit atau sekali ganda.
Bagaimanapun, katanya, dalam keghairahan syarikat membuat untung dengan memberi pinjaman, mereka berdepan dengan masalah peminjam enggan membayar hutang dan cuba melarikan diri.
“Mereka ini membuat aduan palsu kepada organisasi atau pertubuhan bukan kerajaan kononnya menjadi mangsa keadaan dan mendakwa ditipu pemiutang berkenaan berkaitan kadar faedah,” katanya.
Ujar sumber itu, peminjam sukar melarikan diri kerana semua pinjaman mempunyai perjanjian dan dokumentasi khas termasuk surat dan akuan bersumpah yang sah,” katanya yang memberitahu kelulusan pinjaman dengan syarikat peminjam wang berlesen hanya mengambil masa seminggu bermula tarikh ia dipohon.















