fbpx
AISHA RETNO & AZIZ HARUN

Aisha Retno, Aziz Harun saling memuji

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KATA orang, kalau tak kenal maka tak cinta. Barangkali perumpamaan tersebut sesuai menggambarkan situasi rasa dua penyanyi muda berbakat besar, Aisha Retno dan Aziz Harun.

Buat pertama kali, mereka disatukan sebagai pasangan duet menerusi lagu berjudul Jarak yang kini sedang hangat diputarkan di radio dan menerusi platform digital seperti Spotify, YouTube dan Apple Music.

Siapa sangka, perkenalan yang bermula sekitar tahun 2019 antara mereka akhirnya memutik ‘kasih’ baharu menerusi paduan suara yang dilancarkan secara rasmi pada 24 Februari lalu.

Lebih menarik, Jarak yang merupakan hasil ciptaan Aisha, Glowrush dan Romeo bakal dimuatkan dalam album pertama Aziz bertajuk Yang Benar, yang dijangka dilancarkan tidak lama lagi.

Suka-suka, akhirnya ‘menjadi’

Penyanyi asal Brunei, Aziz, 25, berasa teruja apabila berpeluang berduet dengan Aisha dan tidak menyangka apabila kolaboratif yang pada mulanya sekadar suka-suka berubah menjadi sebuah karya yang serius.

BAIK Aisha mahupun Aziz, mereka tidak mahu dihimpit persoalan sedang dilamun cinta kerana ingin memberikan fokus 100 peratus terhadap kerjaya seni.

“Saya memang peminat Aisha sejak dari dahulu lagi. Saya selalu memberikan komen setiap kali dia memuat naik lagu nyanyiannya dalam media sosial, tapi kami tidak berkesempatan untuk bertentang mata sebelum ini.

“Namun, pada awal tahun lalu, ketika Aisha menyertai Big Stage musim keempat, dia ada menghubungi untuk bertanyakan mengenai idea lagu baharu yang ditulis, selain ingin melayangkan pertanyaan mengenai pembabitannya dalam program realiti nyanyian tersebut.

Serasi bersama

“Ketika itu, saya masih berada di Brunei, manakala Aisha di Malaysia. Jadi Aisha pun hantar rakaman suaranya berserta melodi lagu Jarak.

“Ketika mendengarnya saya terus jatuh cinta sebab lagu ini ada sentuhan dan ‘vibes’ Indonesia,” katanya.

Jelas Aziz, mereka bertemu buat kali pertama pada pertengahan 2021 dan berpeluang berkongsi idea untuk diketengahkan dalam Jarak.

“Kami akhirnya bertemu pada pertengahan tahun lalu dan berpeluang menyanyi secara langsung bersama-sama,” jelasnya.

Tambah Aziz, dia dan Aisha tidak mengambil masa yang terlalu lama untuk mencipta keserasian, malah proses rakaman hanya mengambil masa selama satu hari.

“Proses rakaman bersama penerbit Glowrush berjalan dengan mudah dan lancar. Semuanya sebab saya dengan Aisha bersepakat untuk tidak terlalu bereksperimentasi menghasilkan lagu ini.

“Lagipun kami nak simpan magis lagu ini pada setiap persembahan yang bakal dibawakan secara langsung sambil diiringi petikan gitar. Kami juga bertuah apabila diberi rezeki untuk bekerja dengan Glowrush yang cukup dikenali sebagai penerbit berbakat besar.

“Glowrush handal bermain piano, jadi sebelum proses rakaman bermula, kami bertiga seperti mengadakan konsert mini di studio apabila menyanyikan beberapa buah lagu terlebih dahulu bagi mencipta keserasian dan memudahkan proses rakaman,” katanya panjang lebar.

AISHA dan Aziz saling mengagumi bakat seni masing-masing.

Dalam pada itu, Aisha pula mengakui sangat mengagumi bakat nyanyian Aziz yang disifatkan seorang pemuzik bijak.

“Dipendekkan cerita, kami sudah lebih tiga tahun berkawan baik. Dia antara penyanyi terawal yang sentiasa menyokong dan memberikan kata-kata semangat ketika saya memilih untuk masuk dalam industri muzik.

“Aziz banyak memberikan tunjuk ajar mengenai selok-belok dunia hiburan.

“Alhamdulillah kami tak berdepan sebarang cabaran besar ketika proses rakaman, sebaliknya segala urusan berjalan dengan lancar dan menyeronokkan.

“Kami ibarat sedang lepak di kedai mamak dan saling bertukar idea untuk mencantikkan lagu ini.

“Keserasian dengan Aziz sudah lama terbina dan kami pun sudah kenal perangai masing-masing,” katanya.

Duet pertama Aisha

Aisha sangat bersyukur dan bangga dengan projek perdananya bersama Aziz menerusi lagu Jarak merupakan lagu duet pertamanya sepanjang berada dalam industri muzik.

“Saya amat teruja berpeluang bekerjasama dengan penyanyi yang cukup terkenal dalam bidang seni suara di Malaysia dan Brunei. Malah, saya selalu mendengar lagu-lagu yang dibawakan Aziz.

“Malah lagu nyanyiannya selalu memberi saya idea dan inspirasi untuk menulis lagu baharu. Apabila diberikan peluang untuk bekerjasama saya sangat teruja,” kata si pencinta kucing itu.

AISHA tidak kisah kerjaya seninya ‘lambat panas’ kerana percaya selagi ada kerja keras, di hujungnya nanti pasti ada kejayaan menanti.

Tambah penyanyi berusia 23 tahun itu lagi, ketika proses rakaman, dia berdepan satu cabaran kecil apabila mengalami masalah kesihatan, namun semuanya dapat dikawal dengan baik.

“Sehari sebelum proses rakaman dijalankan kami terlebih dahulu merakam demo selain mengenali dengan lebih rapat dengan Glowrush.

“Namun, pada keesokan harinya saya tiba-tiba sakit tekak. Namun, Aziz dan Glowrush sentiasa memberikan kata-kata semangat dan menyakinkan saya mampu menyiapkan lagu ini,” katanya sambil menambah, proses rakaman dilakukan sekitar Jun tahun lalu.

Gosip cinta

Ditanya mengenai sejauh mana mereka bersedia berdepan gosip percintaan selepas kejayaan gandingan mantap tersebut, pasangan itu berjanji mahu sentiasa bersikap terbuka dan menerima teguran secara positif.

AZIZ ingin tampil dengan sisi matang yang selama ini tidak dapat ditonjolkan kerana beberapa kekangan, termasuk melunaskan tanggungjawab sebagai pelajar di London.

“Kami bersedia untuk menghadapi apa saja yang akan datang dan menerima perkara itu secara profesional sebagai salah satu motivasi kerjaya kami.

“Kami masih muda dan jauh lagi perjalanan. Lagipun peminat sekarang sangat mendukung dan tidak akan berlaku komen yang tak baik memandangkan itu semua hanya sekadar gosip.

“Rasanya mereka okey dan santai. Cuma saya harap kerjasama ini tidak terhenti di sini saja, sebaliknya akan ada projek untuk kami berkolaborasi lagi selepas ini,” katanya menggulung bicara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN