Belanjawan 2023 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada minggu lalu menunjukkan komitmen jelas kerajaan bagi mengatasi masalah ekonomi negara.
Peruntukan melibatkan RM338.1 bilion, antara yang tertinggi dalam sejarah bajet negara itu selaras dengan prinsip madani yang mengutamakan kebajikan dan kesejahteraan rakyat Malaysia.
Bertemakan ‘Membangun Malaysia Madani’, Belanjawan 2023 turut menunjukkan komitmen serta amanah kerajaan dalam memastikan kemakmuran rakyat terus terpelihara tanpa tercicir.
Bagi mengulas lebih lanjut mengenai Belanjawan 2023, wartawan Kosmo! Ahad, SAIRUL ZAMRI MISRANI berkesempatan menemu bual Pensyarah Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia, Prof. Madya Dr. Irwan Shah Zainal Abidin baru-baru ini.
KOSMO! AHAD: Secara keseluruhan, apakah pendapat Prof. terhadap Belanjawan 2023 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri baru-baru ini?
IRWAN SHAH: Bajet ini amat baik dari segi jumlah dana yang diperuntukan, keutamaan perbelanjaannya serta bagaimana ia mengartikulasi cabaran ekonomi yang dihadapi negara di peringkat domestik mahupun antarabangsa.
Belanjawan ini bersifat mengembang dan bukannya menguncup yang mana dana diperuntukan sebanyak RM388.1 bilion, antara jumlah yang terbesar dalam sejarah negara.
Bajet ini yang diungkapkan sebagai belanjawan madani telah melakukan satu analisis yang jujur terhadap keadaan ekonomi semasa negara seperti masalah daya saing ekonomi, hutang negara, isu tata kelola dan tadbir urus serta kemiskinan tegar dan juga keterjaminan makanan.
Jika ada satu elemen yang dapat ditafsirkan sebagai kebijakan baharu dalam belanjawan ini, ia adalah pemfokusan kembali kepada pembangunan ekonomi desa.
Sudah tiba masanya untuk Malaysia membentuk sebuah model ekonomi lebih ihsan, sejahtera dan mampan dengan menumpukan kepada pembangunan manusiawi dan penjagaan alam sekitar berbanding materialistik semata-mata.
Namun begitu, belanjawan ini dilihat kurang dari segi reformasi struktur yang berbentuk menyeluruh dan struktural. Misalnya, dari aspek hasil, pendekatan yang dilakukan lebih berbentuk ad-hoc dan tidak secara komprehensif.
Adakah bajet yang dibentangkan baru-baru ini mampu membantu mengurangkan hutang negara mencecah RM1.5 trilion?
Pertama sekali, kita perlu meletakkan isu hutang negara ini pada perspektif yang betul. Hakikatnya, kita tidak boleh menilai prestasi sesebuah ekonomi dengan hanya melihat nilai hutang itu semata-mata.
Contohnya, jika negara A mempunyai nilai hutang sebanyak RM3 trilion dan negara B mempunyai nilai hutang sebanyak RM30 trilion, adakah kita boleh membuat kesimpulan bahawa ekonomi A lebih baik daripada ekonomi B?
Jawapannya tidak semestinya. Lihat sahaja ekonomi Amerika Syarikat (AS).
Hutangnya sudah mencecah sekitar AS$30 trilion. Dengan hutang yang banyak itu ekonomi AS masih lagi menjadi magnet kepada pelabur asing di seluruh dunia.
Sebab itu, jika ahli ekonomi melihat isu hutang ini, nilai hutang tersebut perlu dibandingkan dengan nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara tersebut dengan menggunakan nilai nisbah hutang kepada KDNK.
Nilai nisbah hutang Malaysia kepada KDNK pada ketika ini adalah pada 60.4 peratus.
Nilai ini masih lagi di bawah had siling yang telah ditetapkan iaitu pada 65 peratus.
Dalam konteks ini, nilai hutang negara masih lagi dalam keadaan yang terkawal dan tidak begitu membimbangkan.
Jika kita lihat dari sudut sejarah, pada tahun 1986 dan 1987, negara kita pernah mencatat nilai nisbah hutang kepada KDNK berjumlah 103.4 peratus dan 101.7 peratus.
Alhamdulillah, negara kita tidak juga terjerumus dalam kebankrapan ataupun menjadi muflis sehinggalah ke hari ini.
Berbalik kepada soalan, hutang negara boleh dikurangkan. Namun, memakan masa yang panjang, asalkan kita boleh konsisten mengurangkan nilai defisit dari tahun ke tahun.
Bank Dunia menyasarkan pertumbuhan ekonomi negara pada tahun ini sekitar 4 peratus. Adakah bajet yang dibentangkan baru-baru ini mampu menyuntik pertumbuhan ekonomi negara?
Dalam bajet kali ini, sasaran pertumbuhan ekonomi pada tahun 2023 adalah sekitar 4.5 peratus ataupun lebih.
Jadi, bajet kali ini dijangka dapat merangsang ekonomi negara untuk bertumbuh melepasi daripada apa yang disasarkan Bank Dunia dengan penerusan projek infrastruktur seperti penambahbaikan sekolah, klinik daif dan lain-lain.
Pertumbuhan ekonomi negara pada tahun lepas juga bertumbuh secara baik pada kadar 8.7 peratus, iaitu tertinggi sejak tahun 2000.
Ini memberikan satu permulaan yang baik untuk ekonomi negara bertumbuh dengan lebih mampan pada tahun ini.
Di samping itu, harga komoditi global yang bertambah stabil dengan pembukaan ekonomi China. Ini juga dijangka merangsang sektor luaran negara dan memantapkan lagi sektor pelancongan.
Daripada pembentangan bajet tersebut, apakah usul-usul yang dilihat mampu memberi kesan cepat dan menyeluruh kepada masyarakat serta ekonomi negara?
Sememangnya bantuan tunai secara langsung dan inisiatif yang diperkenalkan di bawah konsep payung rahmah seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR).
Pemberian tunai secara langsung ini akan memberikan kesan pengganda kepada ekonomi seterusnya akan memberikan impak lebih menyeluruh kepada masyarakat dan ekonomi negara.
Misalnya, jika wang diberikan kepada rakyat, orang ramai akan berbelanja dan ini akan menguntungkan peniaga.
Peniaga pula akan menawarkan pekerjaan baharu dengan kadar upah yang lebih bermaruah.
Dalam konteks ekonomi negara pula, ia akan meningkatkan penggunaan swasta, sekali gus akan merangsang KDNK negara.
Apabila KDNK negara meningkat, hasil kerajaan juga meningkat dan hasil ini boleh meningkatkan lagi perbelanjaan kerajaan dari segi penambahan dalam bantuan-bantuan tunai secara langsung.
Selain itu, usaha merancakkan sektor pelancongan, kemudahan internet serta bantuan kepada pemain perusahaan kecil dan sederhana dijangka memberikan kesan cepat dan menyeluruh kepada ekonomi negara secara keseluruhan.
Kerajaan dilihat lebih mengutamakan B40 dan penjawat awam pada Bajet 2023. Ini menyebabkan golongan M40 rasa seperti terpinggir. Apakah penjelasan mengenai perkara ini?
Bagi golongan M40, ada disentuh berkaitan dengan usaha untuk meningkatkan pendapatan boleh guna mereka melalui pengurangan kadar cukai pendapatan individu.
Namun begitu, memang benar, kesannya masih lagi terhad jika dibandingkan dengan peningkatan kos sara hidup.
Jadi, golongan M40 masih lagi terjejas. Golongan M40 juga ingin melihat inisiatif dalam isu perumahan mampu milik dan harga kereta yang masih lagi tinggi.
Pelaksanaan Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) juga hanya kepada golongan B40 dan golongan miskin.
Bagi golongan M40, mereka menantikan perubahan dari segi kenaikan pada kadar gaji minimum yang tidak dibincangkan dalam belanjawan ini.

Ada segelintir pihak melihat bajet kali ini tidak menyelesaikan masalah kos sara hidup. Adakah tanggapan ini benar?
Saya tidak fikir belanjawan kerajaan akan dapat memuaskan hati semua pihak. Ini adalah lumrah bagi setiap belanjawan yang dibentangkan.
Apa yang penting adalah sesebuah belanjawan tersebut perlu jelas untuk mengenal pasti cabaran dan masalah kritikal yang perlu diselesaikan, baik dalam jangka pendek, sederhana ataupun panjang.
Isu kos sara hidup ini merupakan fenomena global dan ia adalah masalah struktural yang memerlukan masa yang lebih untuk diurus serta ditangani dengan lebih tuntas.
Namun begitu, saya bersetuju bahawa kaedah bantuan tunai yang diguna pakai pada ketika ini mungkin tidak mencukupi bagi kebanyakan rakyat Malaysia.
Sebab itu saya mencadangkan agar kerajaan dapat melihat dan mengkaji kaedah dan sistem yang lebih baik untuk memberikan bantuan tunai secara langsung kepada rakyat. Ia perlulah lebih meluas dan diberikan secara berkala serta berterusan.
Bajet 2023 menyaksikan kerajaan memperkenalkan cukai barang mewah dan cecair vape. Sejauh manakah kedua-dua cukai ini mampu membantu meningkatkan kantung kerajaan?
Dari segi membantu meningkatkan kantung kerajaan, peranan kedua-dua cukai ini adalah terhad.
Ini kerana kedua-dua cukai ini tidak dapat mengatasi masalah struktur yang dihadapi dalam sistem cukai yang ada pada ketika ini iaitu tidak broad-based. Lagipun, berkenaan dengan cukai barang mewah ini, ia masih belum ada perinciannya.
Contohnya jenis barang apa yang akan dikenakan cukai pada kategori ini, berapa peratus kadar cukai yang akan dikenakan dan sebagainya.
Kerajaan juga perlu memastikan bahawa pelaksanaan cukai barang mewah ini tidak memberikan impak negatif kepada sektor pelancongan dan industri peruncitan di negara ini.
Bagi cukai cecair vape pula, ia lebih bertujuan mengawal aktiviti ataupun kegiatan kurang sihat dalam masyarakat. Namun, kerajaan juga perlu berhati-hati supaya pelaksanaan cukai cecair vape ini tidak mengakibatkan wujudnya pula pasaran gelap untuk cecair vape ini.
Kerajaan juga telah membuat pindaan Akta Insolvensi 1967 bagi membolehkan individu muflis di bawah RM50,000 dilepaskan. Bagaimanakah Prof. melihat impak pembebasan ini kepada masyarakat dan ekonomi negara?
Setakat Januari tahun ini, lebih 260,000 kes muflis telah direkodkan.
Banyak sekatan dan kekangan yang dikenakan jika seseorang telah dikategorikan sebagai muflis.
Namun, membuat pindaan Akta Insolvensi 1967 sahaja tidak menyelesaikan the root cause of the problem. Beberapa masalah pokok dalam isu kemuflisan ini perlu ditangani segera seperti mencipta banyak peluang pekerjaan dan perniagaan serta memupuk nilai keusahawanan dalam masyarakat.
Kerajaan juga boleh memikirkan bagaimana silibus berkenaan dengan literasi kewangan ini boleh diperkenalkan di peringkat sekolah.
Masyarakat yang mempunyai tahap literasi tinggi akan memberikan impak positif kepada masyarakat dan pertumbuhan ekonomi negara secara keseluruhan.
Perdana Menteri juga memaklumkan ketika pembentangan Belanjawan 2023 bahawa satu Rang Undang-Undang (RUU) Tanggungjawab Fiskal akan dibentang di Parlimen pada tahun ini. Apakah pendapat dan harapan Prof. terhadap RUU ini?
Bagi saya ini adalah satu tindakan yang tepat. Menerusi Akta Tanggungjawab Fiskal ini, diharapkan segala perbelanjaan kerajaan dapat dilakukan secara telus dan terbuka.
Apa yang lagi penting adalah sistem semak dan imbang yang efektif untuk memastikan segala perbelanjaan yang dibuat akhirnya mencapai objektif yang disasarkan.














