fbpx

Tewas kepada Spurs, Chelsea terus dirundung malang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penyerang Spurs, Harry Kane meraikan jaringan ketika membantu pasukan menewaskan Chelsea 2-0 pada aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium Tottenham Hotspur sebentar tadi.

LONDON – Tottenham Hotspur menambah derita Chelsea selepas menewaskan pasukan itu 2-0 pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) yang berlangsung di Stadium Tottenham Hotspur sebentar tadi.

Keputusan itu menyaksikan pengurus The Blues, Graham Potter terus berada dalam tekanan apabila gagal mencatat sebarang kemenangan dalam 11 perlawanan terakhir sehingga menyaksikan penyokong mendesak beliau dipecat.

Pada perlawanan tersebut, kedua-dua pasukan pada awalnya bermain secara berhati-hati, namun Chelsea memiliki lebih banyak penguasaan bola selain beberapa kali merencana gerakan menerusi gandingan Joao Felix, Raheem Sterling dan Kai Havertz.

Paling mencuri tumpuan adalah keputusan pengadil perlawanan, Stuart Atwell menarik balik layangan kad merah terhadap pemain sayap Chelsea, Hakim Ziyech yang didakwa menampar Emerson Royal sebelum rehat separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, Spurs memerlukan masa kurang seminit untuk membuka tirai jaringan apabila pemain tengah, Oliver Skipp melakukan sepakan deras dari luar kotak penalti menewaskan penjaga gol, Kepa Arrizabalaga.

Sebaik sahaja dibolosi, Chelsea kelihatan agak goyah di bahagian pertahanan, sekali gus membenarkan Spurs bergerak bebas dalam kawasan mereka bagi melancarkan serangan ke arah pintu gol.

Chelsea yang terdesak untuk mendapatkan tiga mata kemudiannya cuba memperkemaskan rentak permainan selain memasukkan Mason Mount, Denis Zakaria, Pierre Emerick-Aubameyang dan Mykhailo Mudryk bagi memburu jaringan.

Bagaimanapun, penyerang Spurs, Harry Kane ‘membunuh’ semangat juang The Blues apabila meledak gol kedua Spurs ketika perlawanan berbaki lapan minit, sekali gus jaringan ke-18 peribadi dalam Liga Perdana. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI