fbpx
Peserta mogok memegang sepanduk ketika berarak dari Kolej Universiti London ke Downing Street ketika siri mogok diadakan pada 18 Januari lalu. - AFP

Britain berdepan mogok industri terbesar dalam sedekad

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LONDON – Britain berdepan ‘hari mogok terbesar sejak 2011’ apabila sehingga 500,000 pekerja merancang menyertai langkah industri tersebut bermula semalam, yang merangkumi kakitangan daripada pelbagai sektor kerajaan dan swasta, lapor akhbar The Sun.

Gangguan besar-besaran kepada sistem pendidikan dan perkhidmatan kereta api dijangka berlaku di tengah-tengah pertikaian antara majikan dan pekerja mengenai desakan kenaikan gaji ketika rakyat terhimpit dengan kenaikan kadar inflasi.

Guru, kakitangan kerajaan, pemandu kereta api, pengawal keselamatan, pemandu bas dan pekerja lapangan terbang adalah antara yang dijangka terlibat dalam siri protes tersebut.

Kira-kira 85 peratus sesi persekolahan terpaksa ditutup atau separa tutup selain 15 syarikat pengendali kereta api tidak beroperasi, sekali gus menjejaskan perjalanan di banyak laluan.

Berjuta-juta penduduk juga perlu bekerja dari rumah yang menyebabkan pusat-pusat bandar bertukar menjadi bagaikan ‘pekan hantu’ seperti yang berlaku ketika pandemik Covid-19.

“Kita tidak menamatkan perintah berkurung (Covid-19) untuk melihat kesatuan-kesatuan sekerja kembali mengheret negara ke arah versi ‘perintah berkurung’ mereka sendiri,” kata seorang Ahli Parlimen Britain, Brendan Clarke-Smith.

Ekoran piket tersebut, berjuta-juta pelajar dijangka tidak dapat meneruskan pembelajaran ketika 23,000 sekolah terjejas dalam mogok pertama daripada tujuh mogok yang dirancang.

Ketua bersama Kesatuan Pendidikan Kebangsaan, Kevin Courtney berkata, 40,000 guru baharu telah menyertai kesatuan pendidikan terbesar Britain itu untuk mengambil bahagian dalam piket selain memberi amaran tindakan itu mungkin berlanjutan hingga musim panas sekiranya kerajaan enggan memenuhi permintaan mereka.

Dalam pada itu, pengguna perkhidmatan kereta api juga bakal terjejas akibat protes yang dijangka meningkat esok selain kira-kira 1,900 pemandu bas di London juga akan memulakan mogok selama tiga hari.

Selain itu, kira-kira 100,000 kakitangan awam di 124 jabatan kerajaan turut akan menyertai mogok tersebut.

Downing Street dalam satu kenyataan berkata, siri mogok itu amat membimbangkan dan meresahkan orang ramai.

“Ini amat mengganggu kehidupan orang ramai dan disebabkan itu kami berpendapat rundingan adalah jalan terbaik dan bukannya menerusi mogok,” kata Downing Street dalam satu kenyataan. – Agensi 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN