DARI satu arah, jelas kedengaran bunyi yang terhasil daripada alat muzik gendang dhol. Semakin lama semakin kuat bunyi yang dihasilkan hingga menjadi tanda tanya dan menarik perhatian siapa sahaja yang mendengarnya.
Di sebalik keramaian penonton yang sedang menyaksikan persembahan dhol tersebut, siapa sangka bunyi rancak yang terhasil itu sebenarnya ‘kerja’ dua wanita kembar seiras berwajah manis, Rebecca dan Rachel Joseph, 25.
Mereka berdualah insan yang bertanggungjawab mengangkat muzik tradisional seperti dhol terus dikenali terutama bagi generasi masa kini.
Pasangan kembar itu meraih perhatian media baru-baru ini atas penampilan unik dua wanita yang bermain dhol.
Saat dilayangkan soalan kepada Rebecca yang merupakan kakak mengenai mengapa dhol menjadi pilihan, wanita berambut pendek itu lantas menjawab semuanya berlaku secara tidak sengaja.
“Macam mana mahu cakap ya, sebenarnya apa yang terjadi kini tanpa diduga apatah lagi dirancang.
“Kalau ditanya, dalam keluarga kami memang langsung tiada seorang pun yang berdarah seni atau minat bermain muzik,” katanya kepada Panorama sebagai pembuka bicara.
Meleraikan segalanya, Rebecca berkata, dia dan adiknya terlibat sebagai pemain dhol tanpa pernah dirancang.
Ceritanya, mereka berdua mula menjadi serasi dan minat bermain dhol selepas terjadinya satu insiden tidak diingini.
“Permulaan kami bermain dhol ini sebenarnya berlaku secara tidak sengaja. Pada awalnya, kami ingin mengundang pemain dhol untuk membuat persembahan pada majlis perkahwinan kakak sulung, namun bayaran yang dikenakan terlalu mahal.
“Jadi saya dan Rachel bersepakat untuk membeli dua buah dhol dengan harga RM1,000 setiap satu.
“Harga itu sangat berbaloi dan paling penting, kami dapat buat persembahan dan meninggalkan kenangan manis buat keluarga. Dari situ jugalah kami berdua mula berguru melalui YouTube sebelum berani bermain sendiri,” tuturnya.

Menurut Rebecca lagi, insiden tersebut berlaku semasa negara masih lagi dibadai pandemik dan memaksa perkahwinan kakaknya ditunda.
Katanya, peluang dan masa yang ada itu diambil mereka berdua sepenuhnya untuk belajar bermain dhol hingga terbit rasa cinta dengan instrumen tradisional tersebut.
Meskipun alat muzik tersebut sinonim dengan golongan lelaki dengan beratnya yang mencecah tujuh kilogram setiap satu, Rebecca berkata, tidak wujud isu gender dan dhol.
“Ya, kalau ikutkan memang alat muzik tersebut berat dan biasanya lelaki sahaja yang terlibat, tetapi bagi kami berdua, tidak pernah dan tidak perlu wujud isu gender dengan alat muzik tersebut.
“Lagipun sejak kecil, ibu sentiasa mengingatkan kami bahawa tidak semestinya aktiviti berat dan lasak hanya perlu dilakukan kaum lelaki sahaja,” katanya.
Justeru ujarnya, mereka berdua tidak pernah menyerah apatah lagi berputus asa dalam apa jua perkara yang dilakukan meskipun sering dipersoalkan.
Meneruskan perkongsian, Rachel memberitahu, dia dan kakaknya memang tidak pernah menyangka bahawa populariti mereka sering disebut-sebut hingga ke luar negara.
“Bergelar pemain dhol wanita tunggal negara pun sudah membanggakan kami dan seakan-akan tidak percaya kepada pencapaian tersebut. Mungkin disebabkan itu juga saya dan kakak dikenali sekali gus menjadi daya penarik orang ramai mengupah kami berdua untuk memenuhi pelbagai acara keraian.
“Tidak sekadar dalam negara, kami bersyukur jemputan dari luar juga banyak diterima. Saya pun pada awalnya tidak tahu bagaimana orang luar boleh tahu kewujudan kami berdua,” katanya.
Kongsi Rachel, dia dan kakaknya pernah dijemput dan diupah membuat persembahan luar seperti di Singapura, India, Maldives dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE).
Akui mereka berdua lagi, bermain dhol kini menjadi karier tetap mereka berdua sekali gus langsung tidak pernah menyesal melepaskan dunia makan gaji sebelum ini.
“Kalau ditanya dari segi persembahan, jadual kami memang padat lebih-lebih lagi lepas negara memasuki fasa endemik. Dalam sebulan kami akan ada 15 hingga 20 jemputan bermain dhol. Itu tidak masuk jemputan luar negara dan ada yang terpaksa kami tolak kerana kekangan masa.
“Justeru, kami berdua sepakat melantik seorang pengurus peribadi merangkap jurulatih muzik sejak tahun lalu yang berperanan mengurus semua jadual dan waktu latihan kami,” katanya.














