fbpx
GOLONGAN songsang kini berani ‘menyerlahkan’ diri mereka di khalayak ramai. – GAMBAR HIASAN

Lebih 50 miliki nafsu songsang masuk KL sebulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Komuniti yang terjebak dalam budaya songsang di negara ini semakin membiak umpama ‘cendawan tumbuh selepas hujan’, malah ada kanak-kanak berusia 10 tahun juga terpengaruh untuk menjadi pondan.

Lebih membimbangkan apabila dianggarkan kira-kira 50 individu songsang mula berhijrah dari kampung ke kawasan bandar-bandar besar setiap bulan disebabkan tidak tahan dicemuh masyarakat sekeliling selain disisih keluarga.

Seorang aktivis kemanusiaan, Nurul Azalia berkata, komuniti itu didapati meningkat setiap tahun hasil daripada tinjauan serta program kesedaran yang dilakukan pihaknya bersama individu terlibat di bandar-bandar besar.

“Jumlah mereka makin ramai dan mudah mempengaruhi orang lain dengan gaya hidup bebas yang ditonjolkan dalam komuniti itu. Berpuluh-puluh individu songsang ‘lahir’ di bandar-bandar besar terutama di ibu kota setiap bulan.

“Jadi tidak hairanlah dengan kejayaan mereka dalam sesuatu bidang terutama perniagaan sehingga menjadi kaya-raya sekali gus mampu meletakkan diri mereka sebagai ‘idola’ kepada orang lain.

“Malah ada kanak-kanak berusia 10 tahun berkata dia mahu jadi pondan sebab boleh kaya macam individu tertentu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad semalam.

Seorang wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang enggan dikenali pula mendedahkan, komuniti songsang semakin membarah dalam kalangan masyarakat sehingga berani mempamerkan diri secara terbuka selain di media sosial sebelum ini.

Menurutnya, golongan itu kini mudah dilihat di kawasan tumpuan ramai seperti di pusat beli-belah serta di kawasan kediaman seperti flat Program Perumahan Rakyat (PPR).

SALAH seorang pondan dirakam berlegar-legar di kawasan sekitar Chow Kit, Kuala Lumpur baru-baru ini.

“Zaman sekarang ini mereka seolah-olah bangga untuk mendedahkan diri sebagai komuniti songsang. Budak sekolah rendah dan menengah pun bangga jalan peluk-peluk, cium-cium dengan ‘pasangan’ masing-ma­sing yang sama jantina.

“Dahulu masih sorok-sorok, nak panggil abang dekat ‘pasangan’ pun tak berani, apatah lagi nak mengaku songsang. Sekarang mereka sudah terlalu terbuka dan berani,” katanya.

Ujarnya, ada ibu bapa ‘terpedaya’ dengan penampilan anak-anak yang sukar dijangka terlibat dalam gejala tidak bermoral itu.

“Jangan terkejut sebab mereka ini juga terdiri daripada kalangan yang bertutup litup, bertudung labuh, malah berniqab pun ada.

“Di negara kita gejala songsang macam barah sebab perkara ini dah jadi normal macam tak ada apa-apa. Lihat saja di media sosial, malah ada juga ibu bapa yang mengaku terima ‘keadaan’ anak itu seadanya,” ujarnya.

Jelas wakil NGO itu, kebia­saannya komuniti tersebut tidak mempunyai ramai teman lain dan mereka hanya akan bersama dengan ‘pasangan’ sejenis sepanjang masa.

“Mereka bebas ‘bergaul’ kera­na beranggapan hubungan itu adalah halal jika sesama jantina, banyak perkara yang boleh berbanding tidak,” katanya.

Menurutnya, dia terpaksa mendedahkan perkara itu bagi memberi kesedaran kepada ibu bapa bahawa gejala tersebut boleh berlaku dalam kalangan anak-anak mereka.

“Anak-anak perlu dididik sejak kecil, pergaulan atau sentuhan perlu dibataskan walaupun sesama jantina. Kalau hantar anak ke asrama, beri perhatian pada setiap aduan anak, jangan sesekali anggap ia remeh,” katanya.

Dia juga menegaskan, peranan masyarakat sangat besar dan bukan hanya pandai mengecam institusi agama seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kononnya hanya berdiam diri dengan isu berkenaan.

“Kalau tak buat laporan macam mana mereka (Jakim) nak bertindak, Kalau nampak atau tahu, buat laporan segera supaya tindakan boleh diambil,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN