Oleh IVAN AMIRUL
BEAUFORT – Seorang lelaki maut selepas pacuan empat roda dinaikinya terbabas dalam kejadian di Kawasan Hutan Simpan Lumadan semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1 tengah hari itu, mangsa maut, Kusan Anumanthan Kumar, 46, dikatakan menaiki kenderaan jenis Toyota Hilux yang dipandu majikan bersama beberapa rakannya.
Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Azmir Abd Razak berkata, kumpulan pekerja terbabit difahamkan dalam perjalanan pulang selepas menjalankan kerja-kerja pembinaan pencawang serta pemasangan kabel elektrik di kawasan Hutan Simpan terbabit.
“Siasatan mendapati, lokasi kejadian adalah laluan di kawasan berbukit dan kenderaan yang dipandu lelaki berusia 50 tahun itu dipercayai hilang kawalan sebelum mengundur ke belakang lalu terbabas ke kanan jalan dan terbalik.
“Ekoran kejadian itu, salah seorang daripada tujuh penumpang berada di bahagian trak belakang tersepit dan mengalami kecederaan parah di bahagian leher.” katanya di sini tadi.
Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala mangsa lain hanya mengalami kecederaan ringan.
“Pemandu kenderaan tidak disyaki mabuk tetapi sampel darah diambil bagi ujian dadah dan alkohol,” ujarnya. -K! ONLINE














