fbpx
ASRUL FAIZAL

Kecintaan, apresiasi seni makyung Asrul Faizal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MENGAGUMKAN. Satu gambaran tepat untuk seni tradisional Melayu makyung yang berasal dari Kelantan apabila diangkat sebagai warisan dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Akibat sukar dipelajari, sepertinya seni tarian makyung semakin dilupakan dan disisihkan lebih-lebih lagi dalam kalangan generasi muda yang tidak ada keinginan mempelajari warisan peninggalan nenek moyang yang sewajarnya dibanggakan.

Atas insiatif untuk mengekalkan dan mengangkat seni mahal tersebut, pengarah terkemuka Sabri Yunus menghasilkan filem Duan Nago Bogho yang menggabungkan antara elemen warisan dunia dan gangsterisme.

ASRUL Faizal yang mula dikenali dalam filem Budak Kelantan diangkat sebagai watak utama dalam Duan Nago Bogho. – MUHAMAD IQBAL ROSLI  

Suntikan gangsterisme dalam filem yang mengetengahkan seni makyung tersebut dibuat semata-mata untuk menarik perhatian generasi muda yang semakin tidak menghiraukan warisan tradisional.

Sebagai bintang utama filem Duan Nago Bogho, Asrul Faizal mengakui seni makyung sememangnya disisihkan sejak Kelantan mengharamkan persembahan tradisional tersebut.

Haram

Tambahnya, jika tidak diharamkan sekalipun, makyung tetap akan dilupakan kerana kesusahan untuk mempelajari tarian tersebut lebih-lebih lagi bagi golongan muda.

“Selepas makyung diharamkan di Kelantan, ada pembaharuan dalam seni tradisional tersebut dipanggil makyung patuh syariah yang boleh dipersembahkan kepada umum kerana tiada penglibatan wanita.

“Di negeri Pantai Timur juga, perempuan tidak boleh naik ke pentas bukan sahaja dari segi, visual tetapi qariah pun diharamkan.

“Makyung tidak berkembang selepas diharamkan. Kalau kerajaan tidak mengharamkan sekali pun, seni tradisional tersebut tetap hidup segan mati tidak mahu,” kata pelakon berusia 44 tahun itu.

Berkongsi lanjut, Asrul atau nama lengkapnya Asrul Faizal Kamaruzaman pernah menyaksikan seni dramatari tersebut tidak mendapat sambutan hangat walaupun penonton yang hadir diberikan ganjaran.

SELAIN Asrul, Duan Nago Bogho turut dibintangi Datuk Rosyam Nor, Sangeeta Krishnasamy dan Jojo Goh.

“Saya pernah melihat gelanggang makyung dibuka dan budak-budak kampung diajak mempelajarinya. Token juga diberikan kepada yang datang.

“Namun, perkara tersebut bertahan hanya beberapa bulan kerana budak-budak tetap tidak mahu belajar. Puncanya sebab makyung sukar untuk dipelajari.

“Tenaga pengajar pula tidak tahu mengajar untuk memahamkan murid-murid. Perkara tersebut lebih sukar menarik minat anak muda,” ujarnya.

Sebelum menerima tawaran melakonkan watak Duan dalam filem tersebut, Asrul sememangnya sudah mempelajari budaya seni tradisional makyung semasa melanjutkan pengajian di Universiti Malaya (UM).

“Kalau belajar makyung ketika memulakan penggambaran memang tidak pandai. Cuma alhamdulillah saya pernah mempelajarinya sebelum ini semasa masuk ke UM pada 2000.

“Di universiti itu, saya ambil kos seni persembahan (drama) dan memang belajar berlakon. Sejak itu, saya belajar makyung dan sehingga kini masih mendalami seni tradisional tersebut.

“Untuk melakukan persembahan tersebut, tidak boleh sesuka hati mereka sendiri. Kalau reka, orang yang handal dalam seni makyung boleh nampak ketara sangat direka dan label seseorang itu tidak pandai,” jelasnya.

Ditebak mengenai jika ada kritikan mengenai pembikinan filem yang mengetengahkan seni makyung, Asrul yakin perkara tersebut tidak akan terjadi.

Sisi lain makyung

Malah, dia juga ingin menjaga seni warisan dunia tersebut yang kini akan diangkat di layar perak.

“Untuk orang perlekehkan sesuatu kerja, kita kena tengok ada atau tidak karya seperti ini.

“Bagi saya, orang tidak akan memperlekehkan filem ini kerana bukan kelaziman dalam industri kita.

“Dalam filem ini, ada gabungan makyung dan aksi lasak yang tidak pernah orang buat. Lagipun, kalau tidak jaga warisan tradisional, seni apa lagi yang kita mahu jaga dan naikkan,” tuturnya.

ASRUL mengharapkan orang ramai menjaga maruah makyung kerana itu merupakan seni tradisional tinggalan nenek moyang.

Sebelum menggulung bicara, besar hasrat pelakon filem Budak Kelantan itu agar seni tradisional lain juga diangkat dalam karya lain.

Bahkan, makyung juga mampu dijulang sekali lagi dalam karya lain kerana masih banyak sisi berbeza yang boleh diketengahkan supaya tidak dilupakan oleh generasi kelak.

“Kelantan paling banyak seni budaya seperti makyung, dikir barat, menora, main rebana ubi, retuk, silat Jawi dan banyak lagi.

“Untuk filem lain, boleh juga mengetengahkan makyung dari sisi lain kerana banyak lagi yang belum diangkat,” tutupnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN