KALENDAR 2022 hanya berbaki sehari sebelum ke halaman terakhir. Buat tiga figura seni ini, tahun tersebut telah menguntumkan banyak pengajaran dan pengalaman tersendiri, baik kerjaya seni mahupun merentasi kehidupan peribadi.
Faizal Hussein terus memanaskan saham handalan dengan jenama One Cent Thief, Shila Amzah kembali relevan dengan penglibatan seni muzik yang bertalu-talu, manakala wajah baharu, Siti Khadijah menjadi sebutan menerusi drama Sekali Lagi Cinta Kembali (SLCK).
Faizal belum kenal puas
Selepas melalui fasa pahit manis bergelar anak seni selama lebih 30 tahun, Faizal Hussein yang kini mencecah usia 55 tahun tidak terfikir untuk meletakkan noktah terhadap perjalanan kariernya.
Bagi bintang Bunohan itu, dia belum lelah menemukan kepuasan, selain amat mencintai hakikat yang berakar umbi di jiwanya itu.
HIBGLAM: Bagaimana anda melihat perjalanan karier sepanjang 2022?
FAIZAL HUSSEIN: Tahun 2022 menjadi tahun paling sibuk yang pernah saya lalui. Sejak Di
sember 2021 hingga hujung 2022, jadual saya penuh. Tahun ini saya terlibat dalam beberapa filem seperti Imam, Harum Malam dan Daddyku Gangster.
Tahun ini juga saya terbabit dalam beberapa drama untuk RTM, TV3 dan Astro selain iklan YouTube.
Mungkin ada yang beranggapan saya tak menjaga nilai eksklusif, hakikatnya saya masih memilih tawaran dan menolak watak selain daripada pelakon utama atau ‘second lead’.
Insya-Allah saya akan terlibat dalam sebuah projek bersama sebuah syarikat stesen yang berpangkalan di United Kingdom pada Januari nanti.
Pernahkah anda berasa jemu bergelar pelakon?
Tidak pernah ada istilah jemu dalam diri saya sebagai pelakon. Saya buat perkara baharu dalam setiap projek. Itu yang menyeronokkan.
Sebagai pelakon sepenuh masa, saya perlu memberikan komitmen tinggi kerana tidak ada kemahiran lain, selain berlakon.
Saya juga belum puas dan tidak akan pernah puas dengan kerja ini. Sehingga kini saya tidak terfikir untuk bersara atau meninggalkan kerjaya ini.

Bagaimana seorang Faizal Hussein kekal merendah diri?
Setiap orang akan melalui satu fasa berada di kemuncak. Ketika itu jugalah diri kita akan diuji.
Saya pernah melalui fasa begitu lebih-lebih lagi selepas menang anugerah Pelakon Pembantu Popular menerusi filem XX Ray pada 1992. Tapi saya tidak boleh terima perhatian kepada saya ketika itu.
Jadi saya berbalik pada fitrah menjadi manusia yang merendah diri dan berpijak di bumi yang nyata.
Mewarisi legasi daripada ibu bapa, adakah anda juga mahu anak-anak meneruskan legasi sama?
Saya ada sepasang cahaya mata yang kini berusia 17 dan 14 tahun, namun tidak pernah memaksa mereka terjun ke dunia hiburan. Jauh di sudut hati, sebenarnya saya mahu mereka meneruskan perjalanan saya sebagai anak seni.
Meskipun tidak bergelar pelakon, namun darah seni tetap ada apabila anak-anak berminat dalam muzik. Saya hantar mereka ke kelas piano dan gitar. Jika mereka mahu bergelar seorang artis, syaratnya perlu habiskan persekolahan.
Boleh kongsikan harapan tahun 2023?
Sejujurnya saya tiada sebarang sasaran untuk tahun baharu. Saya cuma lega apabila industri menampakkan perkembangan dengan terhasilnya karya bermutu sepanjang 2022.
Kutipan filem yang ditayangkan juga capai sasaran pecah panggung dan amat memberangsangkan. Saya juga berharap produser dapat mengeluarkan bajet lebih untuk hasilkan naskhah berkualiti pada masa depan.
Tahun bebas Shila Amzah
Buat pemilik nama lengkap, Nurshahila Amir Hamzah, 2022 mematangkan dirinya sebagai seorang manusia. Dia berlapang dada dan berdamai dengan takdir hidup menjadi ibu tunggal dan kembali aktif menyerlahkan potensi sebenar.
HIBGLAM: Bagaimana anda melihat naratif perjalanan karier yang kembali bersinar sepanjang 2022?
SHILA AMZAH: 2022 dipenuhi dengan perkara yang saya inginkan, terutama dari segi kerjaya. Orang kembali terima saya dan mereka lebih dapat melihat bakat saya.
Saya diberi peluang menyertai beberapa platform menonjolkan bakat yang mungkin sebelum ini, orang tidak begitu nampak.
Tahun 2022 ini sangat memberikan saya pembakar semangat luar biasa untuk lebih baik pada hari mendatang.
Orang hanya nampak kejayaan, namun tidak tahu apa yang dikorbankan. Boleh kongsikan?
Sebagai seorang ibu berkerjaya antara perkara terbesar yang terpaksa dikorbankan adalah masa dengan anak, Seth Uwais. Tahu-tahu selepas habis GV9, dia pandai cakap dan pandai membaca.
Seperti yang orang tahu, selepas bercerai, saya dedahkan Seth mengalami speech delay (lambat bercakap). Sekarang Seth dah boleh panggil saya ibu dan dia boleh bertutur dengan baik dan menggabungkan ayat.
Disebabkan sibuk bekerja, saya terlepas menjadi orang pertama yang menyaksikan magis situasi tersebut. Pembantu rumah saya yang menjadi orang pertama tengok Seth berjaya bertutur dengan baik.

Punya banyak peranan, bagaimana anda membahagikan waktu agar semuanya teratur?
Jaga kesihatan mental adalah perkara yang saya utamakan sekarang. Saya ketua keluarga. Jika tak jaga diri, bagaimana saya nak jadi nakhoda ‘kapal’ ini.
Sebagai ibu, bekerja dalam dunia seni ditambah dengan tanggungjawab lain, itu bukanlah tugas ringan. Tidak lama lagi akan keluar dengan projek audio siar (podcast).
Selain bekerja sebagai seorang pemuzik, saya nak bina kandungan yang boleh beri manfaat kepada orang ramai.
Bagaimana hubungan anak dengan bekas suami?
Bapa Seth berada di United Kingdom. Nak ‘co-parenting’ bukan mudah. Kebanyakan masa memang Seth bersama saya.
Cuma, dia (bekas suami) ada sekali-sekali buat panggilan video dengan anaknya. Tentang nafkah, kalau ada, itu bonus.
Pernah dingin dengan media Melayu dan sekarang semua kembali pulih, apa yang anda pelajari?
Sekarang lebih terbuka dan neutral. Dahulu, saya tak nafikan pemikiran sedikit tertutup. Kalau wartawan nak tanyakan sesuatu, mereka perlu melalui pengurusan saya dan mungkin kena tapis. Kini, saya tegaskan kepada pengurusan, ‘saya dah tiada apa-apa’, boleh jawab apa sahaja soalan.
Jawapan datang dari mulut saya sendiri dan saya nak bebas. Pengalaman banyak mengajar untuk lebih matang sebagai anak seni. Sekarang, saya lebih bebas menjadi diri sendiri dan itu akan saya tunjukkan kepada khalayak.
Tahun tidak terjangka Siti Khadijah
Bagi pemilik nama penuh Siti Khadijah Abd. Halim atau mesra disapa sebagai Siti, berjuta rintangan perlu dilalui untuk berada di posisinya ketika ini.
Dilihat sebagai antara bintang baharu yang menyerlah tahun ini, Siti, 25, juga dijangka meneruskan momentum sama menjelang 2023.
HIBGLAM: Meledak menerusi lakonan dalam drama Sekali Lagi Cinta Kembali (SLCK), pernahkah anda membayangkan hal tersebut selepas bergelar anak seni?
SITI KHADIJAH: Sejujurnya tidak pernah terbayang walau sekali pun tentang populariti mendadak seperti sekarang.
Sejak memulakan langkah dalam liga seni sekitar 2017, banyak perubahan yang berlaku dan paling ketara adalah sepanjang 2022.
Drama viral dan nama rancak meniti di bibir peminat, itu sudah cukup menghujani hati dengan rasa syukur serta gembira.
Kejayaan SLCK bukan tentang saya tetapi termasuk pelakon lain, kru produksi, pengarah dan penerbit.
Adakah drama tersebut memberi impak besar terhadap kerjaya anda pada tahun ini?
Terlalu banyak, bukan sahaja peminat sedar tentang kehadiran saya tetapi pengarah dan penerbit tanah air mula nampak bakat seorang pelakon bernama Siti Khadijah.
Semuanya memang tidak terjangka tetapi syukur keberadaan saya dalam bidang seni mula dihargai ramai pihak.
Satu hal lain yang saya belajar, walau sehebat manapun drama mahupun filem, jika lakonan tidak bagus, semuanya tidak akan ‘menjadi’.
Sepanjang bergelar pelakon, nama anda bersih daripada kontroversi mahupun gosip. Adakah itu strategi untuk kekal sebagai selebriti yang ‘bersih’ sensasi?
Ya, memang saya jauhkan diri daripada terjebak atau merelakan diri menjadi mangsa gosip murahan. Bukan berlagak eksklusif tetapi itu cara untuk saya kekalkan nama baik sendiri dan keluarga.
Selagi boleh tepis, saya akan terus lakukan kerana tidak mahu semua itu memberi kesan terhadap kerjaya seni yang baru hendak memuncak.

Sebenarnya ada pihak percaya, gosip dan kontroversi kadang-kadang membantu melonjakkan nama seorang anak seni, adakah anda tergolong dalam kategori sama atau lari dan ambil pendekatan berbeza?
Bukan lari tetapi seboleh-bolehnya hendak minimumkan perkara tersebut dalam kanvas kerjaya.
Saya akui, memang tidak akan terlepas daripada menjadi mangsa gosip, jadi perkara yang boleh saya buat ialah fokus kerja dan sekiranya wujud gosip, redah sajalah.
Sebagai pelakon yang baru bertatih mencari rentak dan hala tuju, adakah persaingan dalam kalangan pendatang baharu agak sengit?
Memang sengit tetapi prinsip saya ialah buat kerja dengan bagus dan berikan yang terbaik dalam setiap kerja. Dari situ, orang akan mula buka mata tentang cara kerja dan hasil yang diberikan.
Bukan mudah orang nak beri kepercayaan untuk menggalas watak-watak dalam drama atau filem.
Sebenarnya tiada istilah persaingan dalam kamus kerja sebab semua pendatang baharu mempunyai kelebihan dan kekuatan sendiri untuk ditonjolkan.
Semuanya bergantung kepada rezeki masing-masing.
Untuk tahun 2023, apakah ‘hadiah’ yang bakal ditawarkan kepada peminat?
Tahun depan ada beberapa projek drama yang menanti. Paling teruja, saya diberi kepercayaan untuk memegang watak utama. Selain itu, saya tidak boleh berkongsi lanjut siapa pasangan hero untuk drama tersebut, semuanya akan dihebahkan nanti.
Harapan dan azam saya untuk tahun depan, pastinya ingin merealisasikan setiap impian termasuk berlakon dalam naskhah yang mampu memberi impak kepada penonton dan mengembangkan sayap saya menjadi aktres versatil.
Semoga tahun hadapan kerjaya saya tidak malap dan harap akan lebih banyak sinar muncul dalam perjalanan untuk terus memahat nama sebagai seorang pelakon.














