fbpx

Piala Dunia: Deschamps mula terbayang trofi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HERNANDEZ (kanan) membuka tirai jaringan buat Perancis ketika mereka meraih kemenangan 2-0 ke atas Maghribi sekali gus layak ke pentas final Piala Dunia. – AFP

AL KHOR – Ketua Jurulatih Pe­rancis, Didier Deschamps mula berkira-kira untuk mempertahankan trofi yang dimenangi empat tahun lalu selepas mela­yakkan diri ke perlawanan akhir saingan Piala Dunia 2022.

Pada aksi separuh akhir yang berlangsung di Stadium Al Bayt awal pagi semalam, Les Bleus menepati ramalan sebagai pasukan pilihan apabila berjaya menewaskan Maghribi 2-0 menerusi jaringan Theo Hernandez dan Randal Kolo Muani.

Menerusi kemenangan itu, nama Deschamps kini terpahat dalam sejarah Piala Dunia apabila beliau menjadi jurulatih keempat yang membawa pasukan mara ke perlawanan akhir dua kali berturut-turut.

Selain itu, Perancis juga berpeluang menjadi pasukan pertama yang mempertahankan trofi Piala Dunia selepas kali terakhir dilakukan Brazil ketika pasukan dari Amerika Selatan itu menjuarai edisi 1962.

“Semua orang dalam pasukan cukup beremosi ketika ini kerana kami sudah berada pada fasa terakhir kejohanan. Sudah sebulan kami bersama dan ia bukanlah cabaran yang mudah, namun semua pemain sangat gembira dan harmoni.

“Semua pemain sudah bekerja keras pada perlawanan hari ini (semalam) dan mereka layak untuk menikmatinya. Bagaimanapun, tugas kami belum selesai kerana Argentina sedang menanti di perlawanan akhir,” kata Deschamps.

Meskipun menang, namun juara bertahan itu terpaksa bergelut sepanjang perlawanan memandangkan Maghribi langsung tidak memberi laluan mudah kepada mereka selain turut melancarkan serangan ke arah pintu gol Perancis.

Pada masa sama, Hernandez tekad untuk membawa pulang trofi Piala Dunia ke bumi Perancis sebagai penghargaan kepada abangnya, Lucas Hernandez yang mengalami kecederaan lutut serius ketika berdepan Australia di peringkat kumpulan.

“Kami akan bekerja keras untuk menang pada perlawanan akhir itu nanti. Saya juga sentiasa berfikir mengenai abang selepas dia tercedera sebelum ini, jadi kami akan turun ke final dengan sasaran juara,” ujarnya.

Sementara itu, Presiden Pe­rancis, Emmanuel Macron yang hadir pada perlawanan tersebut mengakui bangga dengan pasukan bimbingan Deschamps itu selain berharap mereka mampu membawa pulang trofi Piala Dunia. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI