Khidmat pembersihan rumah merupakan salah satu khidmat yang ditawarkan oleh pekerja bebas di dalam aplikasi Swifty yang menghimpunkan pelbagai kemahiran atau perkhidmatan.

Aplikasi Swifty himpunkan khidmat freelancers ‘segala’ bidang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PADA pagi itu, Nurshahirah Abdul Ghani tiba-tiba perlu menghadiri satu mesyuarat penting di pejabat.

Dia yang sepatutnya bekerja dari rumah pada hari itu, akhirnya terpaksa mencari seorang pengasuh di saat-saat akhir untuk menjaga anak perempuannya yang berusia empat tahun.

“Saya terus membuat carian pengasuh menerusi sebuah aplikasi baharu kerana memerlukan pengasuh untuk anak perempuan.

“Selepas mendapat maklumat pengasuh dalam aplikasi berkenaan, saya terus menghantar anak perempuan ke kediaman pengasuh tersebut.

“Kemudian, saya bergegas ke pejabat bagi menghadiri mesyuarat mengejut itu dalam keadaan tenang,” ujarnya.

Hakikatnya, ramai antara kita pernah berdepan masalah mencari penyedia perkhidmatan seperti pembersihan dan pengangkutan dengan kadar segera.

Situasi tersebut berlaku disebabkan kita tidak mempunyai kenalan yang memiliki kemahiran tersebut atau tidak yakin dengan perkhidmatan ditawarkan.

Siapa sangka, masalah tersebut telah memberi idea kepada dua anak muda tempatan untuk mewujudkan aplikasi dikenali sebagai Swifty.

ALFINA bersama suaminya, Emad Nurdin membangunkan aplikasi Swifty bagi membantu pekerja bebas menjana pendapatan sampingan.

Aplikasi berkenaan bukan saja dapat membantu penyedia perkhidmatan memasarkan khidmat mereka, malah memudahkan orang ramai mendapatkan servis ditawarkan.

Swifty diasaskan oleh pasangan suami isteri, Emad Nurdin Morshidi, 27, dan Alfina Nur Bashir Mohamed, 25, selepas mereka berdepan kesukaran mencari penyedia perkhidmatan ketika lampu premis perniagaan mengalami kerosakan.

“Sebelum ini, saya dan suami mengusahakan perniagaan lain. Ketika itu, boleh dikatakan kami sedang struggle dalam perniagaan. Kebetulan, berlaku satu insiden di mana lampu bilik air premis kami tiba-tiba rosak.

“Jadi, saya terus mencari individu yang boleh membetulkan lampu itu dengan kadar segera. Namun, hanya ada seorang saja individu yang boleh melakukannya.

“Malangnya, dia berada sejauh 150 kilometer dari kawasan perniagaan kami. Disebabkan itu, saya tidak dapat menggunakan perkhidmatannya kerana kos logistik yang terlalu tinggi,” ujar Alfina kepada K2.

Kemudian, dia terfikir bahawa negara ini masih belum mempunyai aplikasi yang mengumpulkan para penyedia khidmat freelance bagi memudahkan orang ramai mendapatkan bantuan secepat mungkin.

Apatah lagi, sewaktu itu, pandemik Covid-19 melanda dan ramai orang yang terkesan berusaha menampung perbelanjaan dengan mendapatkan pendapatan tambahan menerusi apa jua kemahiran yang dimiliki.

Bertitik tolak daripada itu, Alfina dan suaminya memberanikan diri mencipta aplikasi sendiri dengan harapan ia mampu menjadi medium kepada individu mahupun syarikat penyedia perkhidmatan untuk menjana pendapatan sampingan.

Lebih mengagumkan, pasangan itu hanya belajar menghasilkan aplikasi Swifty menerusi YouTube dan Udemy.

“Kos untuk mengupah pemaju aplikasi adalah amat tinggi iaitu boleh mencecah RM30,000. Akibat kekangan modal, maka kami sepakat untuk belajar rekaan aplikasi dan coding secara sendiri sehingga terhasilnya aplikasi Swifty. Ia dilancarkan secara rasmi pada September 2021,” ujar Emad Nurdin.

TANGKAP layar aplikasi Swifty yang menunjukkan jenis-jenis perkhidmatan yang ditawarkan.

Swifty menghimpunkan freelancer-freelancer atau pekerja-pekerja bebas yang menawarkan pelbagai khidmat meliputi 100 kategori kemahiran seperti pembersihan, pembaikian rumah, kecantikan, kandungan kreatif, kecergasan, tutor dan pengajaran, keperluan bisnes, keluarga, haiwan peliharaan serta banyak lagi.

Menerusi Swifty, semua pembekal perkhidmatan yang bekerja secara bebas boleh mendaftarkan khidmat mereka dalam platform berkenaan.

Mereka juga boleh menyertakan sekali harga atau caj perkhidmatan, lokasi dan nombor telefon yang boleh dihubungi oleh orang ramai.

Ini secara tidak langsung dapat memudahkan pencari perkhidmatan melihat profil dan menggunakan khidmat mereka. Ia juga dapat membantu golongan freelancer tersebut menjana pendapatan menerusi profil di Swifty.

Malah, terdapat ruangan review pada profil penyedia perkhidmatan bagi membolehkan pengguna menyemak maklum balas diberikan orang ramai.

Ujar Emad Nurdin, pencari perkhidmatan tidak perlu bimbang diperdaya atau ditipu memandangkan Swifty mempunyai polisi yang menjamin setiap transaksi sekiranya berlaku sebarang masalah pada kualiti perkhidmatan.

“Dalam aplikasi ini terdapat satu polisi yang dipanggil Swifty Guarantee. Ia membolehkan pelanggan meminta wang mereka dipulangkan sekiranya ada masalah pada kualiti perkhidmatan.

“Kemudian, kami akan siasat sama ada isu berkenaan berlaku disebabkan oleh penyedia perkhidmatan atau pelanggan. Sekiranya penyedia perkhidmatan itu bermasalah, maka Swifty akan memulangkan semula wang kepada pelanggan,” ujarnya.

Emad Nurdin berkata, bagi strategi pemasaran aplikasi yang dibangunkannya itu, Swifty ketika ini menjalin kerjasama dengan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), yang mana Swifty bertindak sebagai salah satu rakan kongsi agensi itu.

“Menerusi kerjasama ini, MDEC mengajak kami menganjurkan acara fizikal seperti ceramah kepada orang ramai, khususnya pelajar universiti untuk mengenali produk kami dan bersama-sama menjana pendapatan sampingan menerusi Swifty.

“InsyaAllah, agenda ini akan mula dilaksanakan tahun hadapan,” ujarnya.

Mengulas tentang caj langganan di Swifty, anak kelahiran Pulau Pinang itu berkata, freelancer dikenakan caj bulanan serendah RM29 sehingga RM79.

Emad Nurdin berkata, sebelum ini pihaknya tidak mengenakan sebarang caj kepada penyedia perkhidmatan.

Namun, selepas mendapati terdapat kes pekerja bebas tidak serius dalam menyediakan perkhidmatan, pihaknya terpaksa mengenakan caj berkenaan.

“Sebelum ini, tiada caj dikenakan kepada mereka yang mahu mengiklan perkhidmatan dalam Swifty.

“Disebabkan terdapat beberapa kes yang mana freelancer mengiklankan perkhidmatan mereka secara main-main atau tidak serius, maka kami terpaksa mengenakan caj bulanan,” ujarnya.

Sementara itu, Alfina berharap aplikasi itu boleh dimanfaatkan orang ramai, khususnya pekerja bebas yang mempunyai bakat dalam sesuatu bidang dan mahu jana pendapatan sampingan.

“Saya percaya setiap daripada kita mempunyai kemahiran tertentu. Salah satu sebab kami wujudkan Swifty adalah untuk membantu rakyat Malaysia, khususnya golongan pekerja bebas yang mempunyai kemahiran tertentu untuk menjana pendapatan sampingan.

“Kami juga berharap lebih ramai orang akan memuat turun aplikasi ini, sekali gus membolehkan mereka mendapat pelbagai khidmat ditawarkan para pekerja bebas selain bantu golongan itu raih pendapatan tambahan dalam waktu sukar ini,” ujar Alfina.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN