PENERIMAAN, penyesuaian diri dan berevolusi. Begitulah rutin jiwa sehari-hari Bunga Citra Lestari sejak hari pertama pemergian suami tercinta, Allahyarham Ashraf Sinclair.
Berat, namun tetap harus dilalui wanita berusia 39 tahun itu tambahan pula, satu-satunya zuriat cinta mereka, Noah Ashraf Sinclair sedang membesar menjadi teruna.
Penyanyi yang mesra disapa sebagai BCL itu juga mengakui bukan mudah untuk lari daripada perasaan sedih tetapi tetap harus mencari kekuatan demi kelangsungan hidup keluarga kecilnya ketika ini.
Menyifatkan tahun 2020 sebagai fasa tergelap dalam hidup, serangan pandemik dan kehilangan orang tersayang pernah membuatkan hidupnya ‘terkurung’ dalam rumah selama lapan bulan.
“Fasa itu titik terendah untuk hidup saya. Pandemik menambahkan lagi rasa sunyi dan kegelapan dalam hidup.
“Ketika itu setiap hari saya menangis, merindui insan yang tidak akan pernah kembali lagi,” katanya kepada HibGlam.

– FAIZ ALIFF
Malaysia
Pertama kali berkongsi rasanya bersama media di Malaysia, tidak lekang ucapan terima kasih terbit daripada bibirnya atas semua sokongan dan doa yang dititipkan buat keluarga kecilnya selama ini.
Menjejakkan kaki di sini juga bukan satu perkara mudah untuk dilakukan, terutama Malaysia merupakan ‘rumah’ asal Ashraf.
“Kembali semula ke rumah Ashraf selepas lebih tiga tahun pemergiannya bukan perkara mudah untuk saya. Ini semua memerlukan kekuatan yang besar. Di setiap penjuru dan lokasi memang banyak memori manis kami bersama.
“Paling terasa ketika saya kembali ke rumah milik kami berdua. Semuanya masih sama dan barang milik arwah kekal tersimpan rapi,” tuturnya.
Ditanya apakah kekuatannya untuk terus berdiri teguh melewati kehidupan sebagai ibu tunggal, jawapannya mudah iaitu Noah.
Selepas ketiadaan Ashraf, BCL harus menggalas dua peranan iaitu sebagai ibu dan ayah kepada Noah.

“Kekuatan saya adalah anak. Sekiranya ingin dia menerima realiti yang terjadi, saya perlu pamerkan kebahagian dan kekuatan.
“Namun jika bersedih, saya tetap akan tunjuk depan Noah supaya dia tidak rasa bersalah untuk merasainya juga,” katanya panjang lebar.
Selain menziarahi pusara, Bunga juga mempunyai cara lain bagi melepaskan rindu buat arwah suami yang pernah bersamanya selama 12 tahun.
“Jika rindu, selain doa, saya pakai baju-baju Ashraf. Begitulah yang dilalui sepanjang lebih dua tahun tanpanya di sisi.
“Apa pun, alhamdulillah syukur dengan semua kekuatan yang diberikan Tuhan untuk saya dan Noah selama ini.
“Terima kasih juga untuk semua rasa cinta yang diberikan untuk kami,” ucapnya terharu.

Konsert solo
Kembali menyedut udara di tanah kelahiran suami, kehadiran BCL bukan sahaja pulang ke rumah kedua tetapi juga demi ‘hadiah’ yang bakal diberikan untuk peminat di
Malaysia iaitu konsert solo sulungnya, BCL – Blossom Intimate Concert.
Bakal berlangsung pada 27 Januari 2023, BCL menyifatkam konsert kelak sebagai detik dirinya kembali mekar dan mewangi persis namanya.
“Tema ‘blossom’ (mekar) dipilih kerana berkait rapat dengan perjalanan hidup yang tidak terjangka, kehilangan Ashraf dan fasa gelap pandemik.
“Jadi, selepas melalui semua titik gelap itu, saya seperti mekar semula selain bersedia untuk aturan hidup baharu,” katanya yang bakal mendendangkan sekitar 20 buah lagu menjelang konsert kelak.
Bagi anak kelahiran Jakarta itu, konsert tersebut diibaratkan sebagai buku baharu kehidupan dan semoga mampu memberi impak buat penonton yang hadir.
“Persembahan nanti ibarat penyampaian cerita dan memberi inspirasi buat semua.
“Seberat apa pun badai mendatang, kita boleh bangkit lagi. Bukan sahaja perlu kekuatan tetapi cara penerimaan dan menghadapinya,” tutupnya.















