JENAMA Audi pernah menjadi antara kenderaan automotif mewah yang popular di Malaysia melalui pelbagai varian yang ditawarkan terutama dalam segmen kenderaan utiliti sukan (SUV).
Rekaan yang menarik antara faktor SUV di bawah jenama dari Jerman itu mendapat sambutan bagi golongan yang ingin membeli jenama bertaraf premium.
Antara model SUV yang ditawarkan sebelum ini seperti Q5 dan Q7 bersaing dengan model-model daripada jenama Mercedes Benz, BMW dan Volvo.
Pengedar rasmi Audi di negara ini sejak beberapa bulan lalu merupakan syarikat PHS Automotive Malaysia (PHSAM).
Selain dua model SUV tadi, model Q2, Q3 dan Q8 turut ditawarkan, manakala Q7 tiada dalam senarai buat masa ini.
Untuk pengetahuan pembaca, PHSAM merupakan syarikat milik penuh pakar automotif dari Eropah, Porsche Holding Salzburg (PHS).
Secara tidak langsung syarikat itu menjadi pemborong, pemasar dan penyedia perkhidmatan selepas jualan jenama Audi di Malaysia.
Baru-baru ini, penulis telah memandu uji model Q5 S Line. Perkara pertama yang menjadi tumpuan penulis adalah harga ditawarkan di negara ini iaitu pada RM486,223.60.
Ia agak tinggi berbanding jenama pesaing terhampir bagi model sama.
Namun, mungkin faktor model ini merupakan kenderaan import sepenuhnya (CBU), tanda harga itu agak ‘keras’ sedikit.
Bagaimanapun, penulis percaya pembeli model-model seumpamanya tidak pernah kisah mengenai harga.

Dari segi rekaan, jelas kelihatan karakternya yang mirip dengan model Audi terkini seperti jeriji gril dan lampu hadapan.
Pada bahagian belakang pula sedikit berkotak dan tidak seperti generasi terdahulu yang banyak menggunakan elemen bulat.
Model ini menggunakan rim dengan rekaan lima jejari berkembar bersaiz 19 inci dengan menawarkan tayar 235/55.
Karakter model ini dilihat seperti gabungan sebuah SUV dan kereta.
Ini kerana pengalaman pemanduannya yang mirip dengan sebuah sedan, tetapi menawarkan ruang lebih luas dan selesa buat penumpang.
Mungkin faktor tersebut mendorong mereka yang berhajat memiliki model itu membayar lebih kerana hadir dengan standard tersendiri.

Model ini menggunakan enjin 2.0 liter TFSI dengan transmisi tujuh kelajuan automatik. Kombinasi itu mampu menghasilkan kuasa maksimum 249 PS dan tork tertinggi 370Nm.
Di atas kertas kelajuan tertinggi yang dicatatkan adalah 237 kilometer sejam (kmj) dengan kadar pecutan dari pegun hingga 100kmj dalam masa 6.3 saat.
Kadar purata penggunaan bahan api ialah 8.0 liter untuk 100 kilometer (km) perjalanan. Sekadar maklumat, tangki petrol model ini bersaiz 70 liter.
Masuk ke ruang kabin, model ini menggunakan material kulit Nappa berwarna terang yang berjaya menyerlahkan ruangan itu.
Untuk keselesaan, tempat duduk bahagian hadapannya boleh dilaras secara elektrik dan tempat pemandu mempunyai fungsi ingatan.
Unit pendingin hawa tiga zon ditawarkan bagi memberi lebih pilihan kepada pemandu dan penumpang yang menaiki kenderaan ini.
Dari sudut teknologi pula SUV ini hadir dengan Audi smartphone interface (Apple CarPlay atau Android Auto), Audi virtual cockpit plus, Audi drive select (lima mod pemanduan) dan MMI navigation plus dengan MMI touch.
Ruang simpanan di belakang model ini bersaiz 520 liter. Jika mahukan lebih ruang, tempat duduk belakang boleh direbahkan dengan menekan butang di but belakang.
Kesimpulannya, pesaing-pesaing terdekat model ini mungkin hadir dengan ciri-ciri lebih ‘wow’, tetapi Audi Q5 S Line menawarkan pengalaman berbeza dari aspek pemanduan dan keselesaan.
Saya berpendapat Audi telah meletakkan standard yang tersendiri kepada pemilik-pemilik jenama itu.








