Oleh ROHANA MOHD. NAWI
KOTA BHARU – Majlis perkahwinan di negeri ini masih dibenarkan dengan syarat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Shafien Mamat berkata, beliau menasihatkan agar penganjur memaklumkan penganjuran majlis kepada pihak berkuasa agar pemantauan dapat dijalankan pada hari tersebut.
Beliau berkata, kanak-kanak dan warga emas juga tidak digalakkan hadir pada majlis keraian bagi mengelak sebarang jangkitan.
“Saya mengingatkan orang ramai terutama penganjur majlis agar menggunakan khidmat anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) bagi mengawal orang ramai.
“Penganjur majlis juga boleh menghadkan dan mengawal kehadiran tetamu untuk mengawal penjarakan sosial ketika majlis berlangsung mengikut kesesuaian tempat,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Shafien berkata, pihak polis boleh mengambil tindakan dengan mengeluarkan kompaun sekiranya penganjur tidak menyediakan buku catatatan kehadiran, peranti penyukat suhu dan cecair pembasmi kuman di pintu masuk majlis.
Katanya, penganjur juga boleh membuat laluan masuk dan keluar yang berbeza agar tidak berlaku kesesakan pada satu masa.
“Kita sudah mengeluarkan sebanyak 140 kompaun kepada orang ramai dan yang tidak mematuhi SOP sebelum ini.
“Polis juga tidak teragak-agak mengeluarkan kompaun kepada orang ramai yang tidak mematuhi SOP,” katanya. – K! ONLINE.














