PETALING JAYA – Berat mata memandang berat lagi bahu seorang ibu tunggal yang terpaksa menggendong anaknya yang juga orang kelainan upaya (OKU) penglihatan setiap hari bagi mencari rezeki sebagai penghantar makanan.
Rutin Azimah Abdul Rahim, 37, membawa anaknya Nur Ainul Zahira Rashidi, 6, menaiki motosikal menghantar pesanan di sekitar Lembah Klang berlarutan sejak November 2020.
Semuanya gara-gara 11 pengasuhnya tidak tahan menjaga anaknya sehingga ada yang memberi ubat batuk.
Cerita Azimah, dia tidak mempunyai daya selain terpaksa membawa anaknya mencari rezeki bagi menampung kos sara hidup dan perubatan anaknya.
Luahnya, dia pernah menghantar anaknya untuk dijaga 11 pengasuh sebelum ini, namun terpaksa menghentikannya kerana tidak sanggup membahayakan nyawa Nur Ainul.
“Saya tidak sanggup menghantar anak kerana ada yang sampai beri anak ubat batuk. Lebih rela bawa daripada dengar berita anak kaku,” katanya ketika dihubungi semalam.

Cerita Azimah, dia banyak menerima kritikan dan tohmahan daripada masyarakat sekeliling kerana dianggap membahayakan nyawa anaknya.
Namun, Azimah yang sebelum ini bekerja di kedai dobi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkata, bukan dirinya tidak pernah memohon kerja ditempat lain, namun berkali-kali ditolak kerana kebanyakan majikan tidak mahu dia membawa anaknya bersama.
“Pada waktu pagi anak saya akan bersekolah dari pukul 8 pagi hingga 1 tengah hari dan sementara itu saya akan menghantar makanan dulu. Selepas pukul 1 tengah hari, saya akan ambil dia dan bawa sekali bersama-sama dengan saya bekerja.
“Banyak sudah tohmahan dan kritikan orang sekeliling tetapi terpaksa ditelan,” ujarnya.
Luah Azimah, meskipun banyak cabaran dihadapi kerana membawa anak bekerja, Azimah sentiasa berserah kepada Ilahi tentang keselamatan mereka.
“Cuaca buruk juga semestinya cabaran buat mana-mana penghantar makanan. Jadi, bila hujan atau angin terlalu kuat, saya akan berteduh sebentar dan hubungi vendor untuk mengambil makanan sedikit lewat,” katanya.
Ketika ditanya mengenai anaknya sepanjang bekerja, dia memberitahu sangat bersyukur apabila anaknya berkelakuan baik dan tidak meragam kecuali berhenti lama di lampu isyarat.
Dalam pada itu, Azimah yang menetap di Jalan Ipoh berkata, rezekinya sebagai penghantar makanan sedikit sebanyak dapat menampung kos perbelanjaan anaknya seperti lampin dan susu formula yang menelan perbelanjaan RM500 sebulan.
Azimah memberitahu, dia menerima bantuan daripada Baitulmal, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan bantuan perubatan anaknya yang sedikit sebanyak meringankan bebannya.
Sementara itu, Azimah berkata, anaknya menjadi penguat semangat dirinya selain turut berpesan buat ibu tunggal diluar sana agar sentiasa kuat demi anak-anak walaupun tiada pasangan di sisi.
“Abaikan tohmahan, hinaan orang lain, yang penting kita kerja halal untuk anak kita. Jadikan anak-anak sebagai semangat kita untuk terus ke depan,” luahnya.














