fbpx
TEMPAHAN hotel di bandar-bandar besar tidak setinggi kawasan kampung atau pinggir bandar. – Gambar hiasan

PRU15: 80 peratus hotel sudah ditempah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Keterujaan pengundi untuk memilih calon pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tergambar apabila hampir 80 peratus bilik hotel di seluruh negara telah ditempah pada hari penamaan calon dan pe­ngundian.

Presiden Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia (MyBHA) Dr. Sri Ganesh Michiel berkata, rata-rata penyewa adalah dalam kala­ngan pengundi serta jentera parti dan ia meliputi pinggir bandar dan kawasan kampung.

“Berdasarkan tinjauan kita, 80 peratus tempahan telah pun penuh pada hari penamaan calon iaitu 5 November ini dan hari mengundi pada 19 November.

“Tempahan berkenaan bergantung kepada lokasi terutama di kawasan yang tidak banyak pembekal haram seperti di kawasan kampung dan pinggir bandar.

“Bagaimanapun, dari sudut pertambahan pendapatan kita tidak dapat anggarkan kerana dalam keadaan sekarang hotel penuh pun tiada keuntungan.

“Ini disebabkan kewujudan agensi pelancongan dalam talian menurunkan harga bilik hotel pada kadar amat rendah,” kata­nya kepada Kosmo! semalam.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 20 Oktober lalu menetapkan 19 November ini sebagai hari pengundian bagi PRU15, manakala hari penamaan calon pada 5 November.

ORANG ramai memilih untuk menempah inap desa selama dua hari bermula sehari sebelum pengundian. – Gambar hiasan

Ganesh menjelaskan, tempahan hotel bagi kawasan seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru, Pulau Pinang dan Kota Kinabalu tidak setinggi kawasan kampung atau di daerah-daerah berikutan terdapat banyak pembekal penginapan haram.

“Sebagai contoh di Batu Pahat dan Tanjong Malim, tidak banyak kondominium yang membekalkan penginapan haram jadi tempahan hotel adalah tinggi.

“Terdapat kira-kira 6,000 hotel bajet di seluruh negara ketika ini dan 2,700 daripadanya milik ahli MyBHA,” katanya.

Sementara itu, nada yang sama dinyatakan Presiden Persatuan Kampungstay dan Homestay Malaysia, Zohaime Muhamad Sori apabila memberitahu, lebih 50 peratus inap desa di seluruh negara telah ditempah pada hari pengundian.

Jelasnya, rata-rata penyewa menempah untuk tempoh dua hari iaitu sehari sebelum pe­ngundian.

“Sebagai contoh mereka yang pulang ke kampung untuk me­ngundi dan selepas mengundi mereka akan pulang ke tempat masing-masing.

“Menjelang hari mengundi kita jangka 80 peratus inap desa akan habis ditempah dan kebanyakannya adalah di kawasan kampung atau pinggir bandar,” katanya.

Jelas beliau, terdapat kira-kira 3,000 pengusaha inap desa di bawah persatuannya, bagaima­napun anggaran pendapatan sempena PRU15 belum dapat dipastikan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN