Siapa sangka usahawan yang terkenal dengan jenama Sendayu Tinggi pada tahun 1997, Rozita Ibrahim yang lebih dikenali sebagai Bonda Rozita kini berjaya membangunkan sebuah hutan belantara seluas 1.2 hektar jauh terpencil di Jalan Lama Genting, Batang Kali, Selangor.
Peluang yang ada digunakan sebaiknya untuk menjadikan Rumah Hutan Terapi Alam sebagai sebuah resort mewah dan premium serta memiliki ciri-ciri unik, lengkap dengan dusun buah-buahan, persekitaran hutan dan sungai yang masih terjaga serta cantik yang mampu menawarkan pengalaman percutian eksklusif kepada pelanggan.
Usahawan ini menjadikan kejayaan pengasas Genting Highlands, mendiang Tan Sri Lim Goh Tong sebagai contoh utama bagi dirinya mencabar diri meneroka hutan menjadikan ia sebagai sebuah resort berprestij serta mahu menghabiskan sisa usianya di kaki bukit itu sekali gus mahu mencipta rekod sejarah dalam industri pembangunan resort tempatan.
Selain resort, beliau juga begitu aktif dalam bidang pembuatan produk herba di bawah jenama Jamu Ratu Malaya dan DeRatu yang memiliki penguasaan pasaran yang luas.
“Saya bukan seorang yang suka berfesyen, tetapi apa yang saya pakai, ada orang yang akan ikut, jadi saya fikir macam mana nak ambil hati mereka, jadi saya keluarkan produk baju dan tudung untuk mereka membeli.
“Dalam bisnes, kita akan alami kerugian dan juga untung. Saya mungkin rugi daripada jualan tetapi saya akan menang dalam menawan hati orang. Sebab itu kita kena jadi orang yang bijak dalam menguruskan kos,” katanya kepada Penolong Pengarang Berita Kosmo! Daliza Mohamed Ariffin ketika ditemui baru-baru ini.

KOSMO!: Jika dahulu bonda lebih dikenali di sebalik nama Sendayu Tinggi dan kini, lebih terkenal dengan jenama Jamu Ratu Melayu (JRM), DeRatu dan Rumah Hutan Terapi Alam, boleh jelaskan serba sedikit bagaimana bonda terlibat dalam perniagaan ini?
Rozita: Sendayu Tinggi sekarang diusahakan oleh anak saya dan pencapaiannya iaitu jualan juga sangat bagus.
Memandangkan saya ni seorang yang suka bersedekah (tidak mahu mengganggu kestabilan syarikat), saya tubuhkan JRM pada tahun 2010. Jadi ini adalah bisnes saya dan suka hati saya, saya nak buat apa terhadap bisnes ini.
Saya mahu bersaing dengan diri saya sendiri. Kami adalah keluarga bisnes, saya tak tahu formula jualan produk anak saya dan dia juga tidak tahu mengenai formula produk saya. Memandangkan saya tak tahu nak buat produk kosmetik jadi saya perkenalkan seni perubatan holistik. Semuanya tentang saya, ada di sini.
Apa perkembangan terbaharu JRM dan DeRatu?
JRM terdiri daripada produk herba premium dan eksklusif yang menggunakan bahan herba berkualiti tinggi, ia dijual pada harga lebih RM70.
Sekarang ada 35 jenis produk. Saya banyak belajar mengenai perniagaan yang mana saya tidak perlukan item yang banyak tetapi biarlah ia berkesan.
Untuk produk DeRatu pula, jualan tidaklah mencecah kepada jutaan ringgit tetapi ia sedang berkembang secara berperingkat. Produk ini bersaing dengan pasar raya yang mana harganya lebih murah tetapi jualannya sangat tinggi. Ia adalah produk kelengkapan rumah yang sangat laku.
Produk yang dijual dari telekung hingga kepada termos. Ia bukan satu perniagaan yang serius hanya secara kecil-kecilan tetapi ia menyumbang kepada jualan yang baik kepada pendapatan kumpulan.

Bagaimana pula dengan perniagaan resort?
Bayangkan jika dahulu ini adalah kawasan hutan belantara yang tiada air, tiada elektrik dan ia berdekatan dengan kampung Orang Asli. Jadi saya nak sahut cabaran untuk teroka tanah ini dan sekarang kawasan ini boleh dikatakan yang tercantik di Selangor.
Orang dari luar suka datang menginap di sini khususnya golongan kenamaan dan golongan berpendapatan tinggi.
Di sini ada 43 jenis unit rumah dan ia terletak dalam kampung yang tersendiri. Ia tak sama dengan hotel kerana kami menyediakan pakej makanan dan cara kami memberi layanan juga berbeza. Ia terlalu eksklusif di sini, ada sungai yang cantik, ada dusun buah-buahan seperti pulasan.
Bagaimana bonda boleh terlibat dalam perniagaan berkaitan resort dalam hutan?
Saya seorang petani dan saya keluarkan segala ilmu perniagaan dalam bidang ini. Tanah ini pada asalnya hanya seluas 1.2 hektar pada tahun 2016.
Saya belajar tentang selok belok mengenai kajian bumi, hutan belantara dan belajar cara membangunkan sebuah resort. Saya tak malu merendahkan diri dan berkawan dengan Orang Asli. Mereka banyak mengajar saya.
Saya suka resort ini meskipun saya banyak rugi dalam bisnes ini, ia bukan sahaja melibatkan air mata tetapi juga terpaksa menjual aset.
Kenapa nak teruskan juga perniagaan resort yang melibatkan banyak pelaburan dan tidak menguntungkan?
Orang yang degil macam saya ni, kalau dah berjaya dalam satu fasa, ia akan beralih kepada ke satu fasa lain. Saya teruskan bukan sebab untung, saya tak ada kereta mewah, anak yang bagi kereta mewah pada saya, Alhamdulillah.
Kalau nak tengok siapa itu Rozita, kena tengok pada rekaan dalaman, landskap dan kemasan semua unit dalam resort di sini.
Saya tidak melantik mana-mana pereka dalaman. Jimat duit saya. Saya seorang yang berseni. Tengok sahaja langsir di setiap unit resort, berbeza semuanya. Pelanggan suka datang ke sini sebab landskapnya terlalu cantik.
Saya anggap resort ini mahal tetapi ia memiliki sentuhan berbeza sebagai resort mewah yang lain. Pakej resort di sini ditawarkan pada harga serendah RM250 semalam dan pakej paling mahal adalah RM12,000.

Cabang perniagaan mana bonda paling suka?
Resort adalah yang paling mencabar diri saya. Saya buat resort bukan untuk cari duit. Jika mendiang Tan Sri Lim Goh Tong berjaya membangunkan Genting Highlands, jadi saya mahu mengejar cita-cita dalam usia berbaki ini sebelum mati.
Tak kisahlah akan tercipta sejarah atau tidak tetapi saya mahu wanita bernama Rozita Ibrahim yang tidak bersekolah dan tiada pengalaman dalam bidang resort berjaya dalam bidang ini.
Saya juga mahu menghabiskan masa tua saya di sini di kaki bukit ini bersaing dengan usahawan terkenal dan membuktikan wanita juga boleh berjaya dalam bisnes resort.
Apa nasihat bonda kepada usahawan baharu mengenai gimik promosi keterlaluan sehingga boleh menjejaskan maruah diri?
Jangan ikut emosi dan nafsu, apabila anda showoff, anda akan hilang fokus dalam bisnes.
Jangan kerana duit kita jadi hamba. Sebenarnya perniagaan adalah bertahan dan bukan untuk ditunjuk tetapi kita perlu ada kewangan stabil. Meskipun apa juga cabaran dan masalah yang datang, kita tidak akan jatuh.
Usia bukan penghalang untuk berniaga tetapi kalau dah sampai umur pencen tak payah nak berniaga sebab semangat kita semakin lemah. -KOSMO! ONLINE














