KUALA TERENGGANU – Walaupun gusi berdarah, gigi rosak, rahang sukar dibuka atau mulut berbau busuk, pelanggan yang menerima rawatan daripada doktor gigi palsu dilarang mendedahkan identiti doktor terbabit.
Mangsa juga tidak dibenarkan membongkar lokasi perkhidmatan yang ditawarkan serta caj bayaran yang dikenakan.
Itu antara perjanjian yang dibuat antara doktor gigi palsu dengan pelanggan terutama wanita yang terlalu obses untuk kelihatan cantik, namun inginkan kadar bayaran yang murah.
Pengarah Kanan (Kesihatan Pergigian) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dr. Noormi Othman berkata, sebelum melakukan rawatan, pelanggan akan diarahkan oleh doktor gigi palsu untuk menandatangani aku janji.
Menurutnya, mangsa juga akan dimomokkan atau diugut kononnya akan dikenakan tindakan perundangan oleh pihak berkuasa jika mendedahkan perkhidmatan yang diterima.
“Doktor gigi palsu biasanya mendakwa operasi mereka mengikut prosedur pergigian yang ditetapkan, tetapi kononnya mendakwa diganggu pihak berkuasa kerana tidak berlesen,” katanya kepada Kosmo!.
Dr. Noormi mengakui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengalami kesukaran untuk membanteras kegiatan perkhidmatan doktor gigi palsu ekoran sikap segelintir mangsa yang enggan bekerjasama.
Katanya, mangsa mendakwa bimbang dikenakan tindakan kerana telah menandatangani perjanjian untuk tidak mendedahkan maklumat perkhidmatan pergigian yang diterima mereka.
“Ada yang takut untuk membuat aduan rasmi kerana ‘perjanjian’ mengarut tersebut sehingga diri sendiri yang merana.
“Sebenarnya, ‘perjanjian’ itu tidak sah dan KKM juga tidak akan mendedahkan identiti mangsa yang memberi maklumat terbabit,” ujarnya.
Beliau berkata, kerjasama daripada mangsa sangat penting untuk mengheret doktor gigi palsu ke muka pengadilan.
Tambahnya, kira-kira 500 doktor gigi palsu pernah aktif menawarkan perkhidmatan pergigian tidak bertauliah di negara ini dan sebahagian besar dilihat masih meneruskan perniagaan berkenaan pada masa kini.
Ujarnya, anggaran itu berdasarkan jumlah aduan aktiviti haram terbabit yang diterima sejak lima tahun lalu.
“Kita menerima 528 aduan perkhidmatan pergigian oleh individu tidak bertauliah sejak tahun 2017.
“Ia melibatkan 377 kes pendakap gigi palsu, venir (58 kes) serta pemutihan gigi gigi palsu dan cabutan gigi (93 kes),” katanya.
Kosmo! 13 Februari lalu melaporkan ramai yang obses dengan kecantikan gigi terperdaya apabila menjadi mangsa perkhidmatan doktor gigi tidak bertauliah.
Doktor gigi terbabit menawarkan perkhidmatan di rumah pelanggan, inap desa, hotel dan salon kecantikan.
Contohnya, kadar bayaran semurah RM100 bagi pemasangan venir tiruan untuk sebatang gigi berbanding venir asli antara RM250 hingga RM1,800 sebatang.
Bagaimanapun, kecantikan yang dimiliki cuma sementara, mangsa kemudian mengalami pelbagai masalah.
Baru-baru ini, KKM telah mengenal pasti Setapak sebagai lubuk bagi kegiatan doktor gigi palsu dan aktif mempromosikan perkhidmatan mereka menerusi media sosial.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dilaporkan berkata, KKM memandang serius perkara itu dan menerusi Akta Pergigian 2018 yang dikuatkuasakan pada 1 Januari lalu, sebanyak 10 serbuan telah dilakukan KKM ke atas premis pergigian tidak bertauliah di seluruh negara setakat ini. -KOSMO! ONLINE













