Oleh ISWAN SHAFIQ ISA
SEBERANG PERAI – Polis hari ini mengesahkan bahawa kenyataan media yang kononnya dibuat oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Janggus berhubung satu permohonan maaf yang kemudian ditularkan di media sosial adalah palsu semata-mata.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, pengerusi PIBG sekolah itu juga telah tampil membuat laporan polis bagi menafikan kenyataan terbabit untuk membersihkan nama baik sekolah mereka.
“Justeru, kita akan siasat kes ini di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksan kerana mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah.
“Pada masa yang sama, kes ini juga akan disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana menyalahgunakan media sosial dan perkhidmatan komunikasi,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Sebelum ini, tular satu kenyataan yang kononnya dibuat oleh PIBG sekolah tersebut bahawa mereka menuntut Exco Kerajaan Negeri Kedah memohon maaf kepada semua guru dan ibu bapa murid sekolah terbabit kerana sikap tidak bertanggungjawab salah seorang Exco tersebut telah menyebabkan hampir 600 guru dan murid mengalami masalah.
Hal ini demikian kerana, isterinya yang juga seorang guru di sekolah itu telah disahkan positif Covid-19 hingga menyebabkan satu ujian pengesanan pandemik tersebut dibuat secara besar-besaran di sekolah berkenaan baru-baru ini. – K! ONLINE
















