TANGAN kanan wanita itu pantas mencapai sebatang sayur kacang panjang yang dihulur seorang petugas di ladang besar di dalam sebuah pusat beli-belah di Putrajaya.
Ibu muda itu yang hanya mahu dikenali sebagai Amira kemudian mendukung anak perempuannya untuk bersama-sama memberikan kacang panjang tersebut kepada beberapa ekor arnab yang ditempatkan di situ.
Mereka berdua seronok dapat memberi makan arnab-arnab tersebut.
Begitulah keterujaan Amira yang tinggal di sebuah kuarters kerajaan di Putrajaya ketika berkesempatan berkunjung ke ladang urban dalam bangunan (urban indoor farm park) pertama di negara ini iaitu IOI City Farm di pusat beli-belah IOI City Mall bersama anak perempuannya yang berusia tiga tahun baru-baru ini.
Ladang seluas 18,000 kaki persegi (1,672 meter persegi) itu menghimpunkan pelbagai tanaman dan haiwan termasuk hidupan air di bawah satu bumbung.

Ujar Amira, dia berminat untuk mengunjungi ladang tersebut yang disifatkan sebagai sebuah lokasi pembelajaran dan hiburan yang menarik buat kanak-kanak.
“Memandangkan saya berkunjung ke situ ketika baru sahaja dibuka, maka ia masih belum sesak dengan orang ramai dan kami boleh melihat kesemua tarikan yang ada di situ.
“Saya dan anak seronok melihat arnab dan berpeluang bersama-sama memberi makan kepada haiwan-haiwan yang ada,” katanya kepada K2.
Selesai memberi makan dan membelai arnab di situ, Amira kemudiannya membawa anak perempuannya ke zon dikenali sebagai Freshwater World di ladang tersebut.
Di situ, mereka melihat beberapa beberapa spesies hidupan air menarik yang belum pernah dilihatnya sebelum ini.
“Bagi saya, zon ini agak menarik memandangkan saya sebagai individu dewasa juga boleh belajar mengenali beberapa jenis spesies hidupan air tawar yang mungkin tidak pernah saya ketahui sebelum ini.
“Anak saya juga nampak seronok apabila berpeluang melihat hidupan-hidupan yang ada di sini,” ujarnya.
Ladang IOI City Farm yang membuka pintunya kepada pengunjung pada 25 Ogos lalu itu merupakan sebuah lokasi pembelajaran dan hiburan (edutainment) terbaharu di dalam pusat beli-belah.

Ketua Runcit IOI City Mall, Chris Chong berkata, lokasi tersebut merupakan peluang terbaik buat orang ramai sama ada kanak-kanak mahupun golongan dewasa untuk lebih mengenali tanaman serta haiwan.
“Pusat beli-belah IOI City teruja untuk menunjukkan keajaiban alam semula jadi di dalam pusat beli-belah di negara ini.
“Ini merupakan ladang hiburan dan pembelajaran pertama seumpamanya di negara ini dan tarikan berkenaan mampu memuatkan sehingga 250 pengunjung dalam satu-satu masa,” ujarnya sambil menambah lokasi itu menggabungkan tiga elemen utama alam semula jadi iaitu tanaman, haiwan daratan dan hidupan laut.
Jelasnya lagi, dia berharap agar kesemua pengunjung boleh menikmati tarikan yang disediakan di situ yang pastinya memberikan pengalaman menarik saat berkunjung ke sebuah pusat beli-belah.
Dibina meliputi dua tingkat pusat beli-belah, ia dibahagikan kepada tiga zon utama iaitu Greenland, Little Rimba dan Freshwater World.
Sebaik sahaja melangkah masuk ke dalam IOI City Farm, pengunjung akan melihat kehijauan alam semula jadi di Zon Greenland yang menampilkan 111 jenis tumbuhan yang dibahagikan kepada sembilan bahagian berbeza.
Ia menampilkan ruangan tanaman yang ditanam secara menegak atau vertical farm, ladang bandar, terowong glow in the dark dan insectopia yang merupakan zon untuk pengunjung melihat dan mengenali pelbagai jenis serangga.
Salah satu tarikan utama di ruangan tersebut adalah Green Glades yang merupakan ruangan terrarium terbuka yang dipenuhi pelbagai spesies tumbuhan.
Jelas Chong, zon kedua iaitu Little Rimba pula menempatkan 17 jenis haiwan berbulu seperti arnab, guinea pig, meerkat dan juga anak ayam.
“Di sini, pengunjung khususnya kanak-kanak boleh berinteraksi dengan haiwan-haiwan tersebut seperti memberi makanan kepadanya atau membelai haiwan-haiwan tersebut,” ujarnya.
Zon ketiga yang juga merupakan zon terakhir pula adalah ruangan Freshwater World yang menempatkan lebih 50 spesies hidupan air tawar seperti ikan Amazonian arapaima dan juga udang buluh.
Menariknya, tarikan terbaharu itu bukan hanya sekadar ruang pameran, namun ia juga memberi peluang kepada pengunjung untuk melakukan aktiviti interaktif bersama hidupan air tawar.
Pengunjung boleh berinteraksi dengan ikan-ikan di situ melalui aktiviti mencelup jari ke dalam kolam ikan untuk menyentuh hidupan tersebut.
Selain itu, mereka juga berpeluang untuk melakukan aktiviti memancing berkonsepkan ‘catch and release’.
Kongsi seorang pengunjung, Ashikin Hassan, dia dan keluarganya cukup gembira menghabiskan masa di premis itu dengan melihat haiwan dan memberi makanan kepada ikan.
“Ini merupakan ladang dalam bangunan yang pertama di Malaysia dan bagi saya, ia cukup menarik memandangkan ia menempatkan ratusan jenis tumbuhan, haiwan dan hidupan air tawar.
“Selain itu, saya difahamkan lokasi ini turut menjalankan bengkel dan aktiviti berkaitan tiga zon utamanya yang pastinya memberikan peluang untuk orang ramai belajar lebih banyak tentang tanaman dan haiwan,” ujarnya.
Dibuka setiap hari bermula pukul 10 pagi sehingga 10 malam, harga tiket masuk IOI City Farm adalah RM48 untuk kanak-kanak dan RM37 untuk dewasa pada Isnin hingga Jumaat, manakala Sabtu dan Ahad pula, tiket masuk dijual pada harga RM58 untuk kanak-kanak dan RM47 untuk dewasa.














