fbpx
Seorang pengguna melihat bekas telur yang kosong ketika hendak membeli barangan keperluan itu di sebuah kedai runcit di daerah Barat Daya, Pulau Pinang semalam.

Rela beli telur ayam mahal daripada buang masa, tenaga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GEORGE TOWN – Pengusaha kek di negeri ini mendakwa mereka lebih rela membeli telur ayam pada harga lebih mahal di premis menjual keperluan membuat pencuci mulut itu daripada terpaksa menunggu untuk mendapatkan stok murah kerana tidak mahu membuang masa dan tenaga.

Rata-rata pembuat kek memberitahu, mereka menggunakan telur gred A bagi memastikan rasa dan tekstur pencuci mulut yang dihasilkan itu kekal seperti sebelum ini.

Pengusaha kek, Nur Hajar Salim, 32, berkata, kesukaran mendapatkan bekalan daripada pembekal memaksanya mendapatkan telur ayam di kedai bakeri di Relau di sini meskipun jarak antara rumahnya di Teluk Kumbar sejauh lapan kilometer.

“Walaupun telur gred A RM14.70 berbanding RM13.50 yang dibeli daripada pembekal, saya terpaksa beli kerana tempahan kek banyak dan saya enggan menunggu.

“Susah nak dapat bekalan daripada pembekal kecuali melalui ejen atau orang tengah yang mengumpul tempahan menerusi saluran media sosial,” katanya.

Menurut Nur Hajar, dia lebih selesa membeli di kedai bakeri kerana semuanya ada di situ termasuk stok telur ayam.

Seorang lagi pembuat kek, Lina, 42, berkata, dia mendapat bekalan telur ayam gred A dan B daripada kedai runcit berdekatan rumahnya pada harga RM13.50 dan RM14.

Katanya, sebelum ini dia membeli telur ayam daripada pembekal tetapi agak jauh dengan rumahnya.

“Rugi masa dan kadang-kadang ada telur yang pecah. Jadi saya pilih beli di kedai runcit sahaja walaupun mahal sedikit,” katanya.

Sementara itu di Pasir Mas, Kelantan, pengusaha kek lapis, Sarihah Mahmood, 58, berkata, dia terpaksa mengurangkan tempahan kerana bekalan telur sukar didapati sejak sebulan lalu di Kampung Gertak Serong, Tendong.

“Saya terpaksa berjimat menggunakan telur ayam bagi mengekalkan kualiti kek tetapi kurang pula dari segi kuantiti. Sebelum ini pembekal jual telur gred A RM12.30 tetapi kini naik RM1.50. Lebih baik beli daripada peruncit sebab harganya sama saja,” katanya.

Ujar Sarihah, kekurangan telur ayam menyebabkan dia terpaksa berjimat dan tidak boleh membeli dalam kuantiti banyak kerana memerlukan modal lebih.

Oleh sebab itu, dia terpaksa menaikkan harga kek daripada RM22 kepada RM25 untuk 700 gram, manakala untuk 1.2 kilogram dijual pada harga RM48.

Di Kuala Terengganu, seorang pemborong, Firdaus, 30-an, berkata, bekalan telur untuk semua gred telah berkurangan sejak dua minggu lalu dan ada peniaga yang terpaksa menutup kedai kerana ketiadaan stok.

“Hampir 4,000 papan dijual sehari kerana mendapat permintaan tinggi pengguna untuk gred A, B dan C.

“Permintaan tinggi kerana musim cuti sekolah dan hanya tinggal gred E serta F sahaja. Itupun berebut,” katanya.

Seorang peruncit, Halimah Daus, 48, berkata, faktor cuaca tak menentu dijadikan alasan untuk pembekal tidak menghantar bekalan sejak minggu lalu.

Di Klang, seorang peniaga, Nuratikah Hamadi, 34, berkata, bekalan telur ayam berkurangan di sekitar Bandar Bukit Tinggi hingga menyukarkan pengguna untuk mendapatkannya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN