fbpx
WAN NAIN (kanan) dan Nik Norzi ditemui dalam keadaan selamat selepas dilaporkan hilang ketika menjala di Sungai Telor, Kota Tinggi kelmarin.

Dua sahabat ‘disorok’ di alam ghaib ketika jala ikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA TINGGI – Dua sahabat yang dilaporkan hilang ketika menjala ikan di Sungai Telor di sini petang kelmarin mendakwa telah ‘disorok’ dan dibawa ke alam ghaib selepas mereka gagal menemui jalan pulang.

Menurut seorang mangsa yang bekerja sebagai pemandu lori, Wan Nain Wan Abd Kadir, 43, dia bersama isteri serta rakannya, Nik Norzi Abd Rahman, 48, keluar memancing dan menjala ikan di sungai berkenaan kira-kira pukul 7 malam.

“Saya dan isteri dari Taman Johor Jaya, manakala kawan saya pula dari Senai, Kulai. Kami gerak serentak dan bertemu berdekatan Sungai Telor.

“Kami selalu turun mengail dan menjala. Kali ini kami ingin mencuba lokasi baharu di Sungai Telor kerana sebelum ini, kami tak pernah sampai sini.

“Sebaik sampai ke lokasi, saya dan Nik Norzi menyusuri sungai untuk menjala ikan, lama kelamaan kami rasa sudah terlalu jauh berjalan dan laluan di situ juga gelap.

“Kami cuba berpatah balik, tetapi malangnya tak jumpa jalan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

PASUKAN mencari dan menyelamat yang terlibat dalam operasi mengesan dua pemancing yang hilang.

Wan Nain berkata, selepas gagal mencari jalan pulang, mereka mengambil keputusan untuk bermalam di dalam hutan berhampiran sungai berkenaan.

Katanya, ketika terdengar siren pasukan penyelamat, mereka bertindak menyalakan unggun api bagi tujuan menarik perha­tian pasukan tersebut.

“Masa itu, kami dua-dua tak bawa telefon, hanya ada pemetik api. Ketika dengar siren bomba, kami nyalakan api sebagai tanda supaya mereka senang jejak kami. Namun, mereka tidak mengesan kedudukan kami walaupun jarak hanya 700 meter.

“Kami seolah-olah disorok ke alam ghaib yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar. Memang orang kampung cakap kawasan ini adalah kawasan ‘keras’,” katanya.

Terdahulu, kedua-dua rakan itu ditemui tidak jauh dari lokasi hilang pada pukul 7.58 pagi dalam keadaan selamat.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulai, PBT II Bahtiar Selamat pula berkata, pihaknya terlebih dahulu me­nerima laporan kejadian itu pada pukul 9.24 malam dan menghantar seramai tujuh anggota ke lokasi.

“Laporan berkenaan kehila­ngan dua lelaki itu dibuat oleh isteri mangsa yang mana memaklumkan suami dan seorang rakannya telah pergi menjala ikan kira-kira pukul 7 malam, namun dipercayai telah sesat.

“Ekoran itu, pihak bomba te­lah ke lokasi terakhir mangsa dilihat sebelum membuat pencarian di kawasan tersebut menggunakan teknik surface searching,” ujarnya.

Bagaimanapun katanya, pihak bomba tidak mengesan sebarang tanda-tanda kejadian lemas di kawasan berkenaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN