NADIA termenung mengenangkan nasib diri. Ibu tunggal kepada seorang cahaya mata ini memiliki segala-galanya, baik dari segi harta mahupun pangkat yang bagus dalam pekerjaan.
Bagaimanapun, ketiadaan lelaki bergelar suami dalam hidupnya menyebabkan hidupnya sunyi dan tidak bahagia.
Akuinya, dia berasa cemburu tatkala melihat kebahagiaan rakan-rakan lain bersama suami tercinta.
Mahu mengisi kesunyian hati, keluarga pula tidak merestui perhubungannya dengan beberapa lelaki yang menjadi pilihan hatinya sebelum ini.
Kata Nadia, dalam hal ini, keluarganya bimbang jika kisah malang yang menimpa dirinya dalam perkahwinan terdahulu berulang.
“Saya merupakan seorang janda yang bercerai hidup. Perkahwinan sebelum ini hanya mampu bertahan tujuh tahun memandangkan suami merupakan seorang pemabuk dan kaki pukul.
“Saya sering menjadi mangsa pukul dan sepak terajangnya, biarpun ketika sedang hamil serta berpantang.
“Kesabaran saya akhirnya sampai ke kemuncak apabila suami melepaskan amarahnya di tubuh anak sehingga menyebabkan puteri tunggal kami trauma. Kerana tidak sanggup melihat penderitaan mental dan fizikal dialaminya, saya nekad membawa kes itu ke mahkamah dan kami kemudian berpisah,” katanya.
Berkongsi lanjut menurut Nadia, tahun pertama bergelar janda, dia begitu gembira.
Bukan sahaja tidak lagi didera suami, bahkan dia juga berasa bebas dan boleh pergi ke mana-mana tanpa ada orang melarang.
Memasuki tahun keempat, Nadia mula rasa kesunyian. Lebih-lebih lagi apabila melihatkan aksi mesra rakan-rakan bersama suami masing-masing.
Pada mulanya setiap kali timbul perasaan cemburu, Nadia cuba menepis dan memujuk diri dengan mengatakan dia bahagia hidup sendirian bersama puteri tercinta.
“Lama kelamaan, saya rasa seperti begitu terdesak dan dahagakan perhatian lelaki, tambahan apabila ada yang mula ‘mengintai’ dan menghulurkan salam perkenalan.
“Mahu cuba memulakan hidup baharu, saya beranikan diri untuk berkawan. Selepas melihat keserasian antara kami, saya membawa pulang lelaki itu ke rumah untuk bertemu keluarga.
“Saya sangka ibu dan ayah gembira dengan perkhabaran tersebut. Sebaliknya lain pula yang jadi apabila mereka membantah perhubungan kami,” kongsinya.
Reda dengan keputusan keluarga, Nadia mula menjauhkan diri dengan lelaki itu. Selang beberapa bulan kemudian, dia bertemu pula dengan jejaka lain yang mahu serius menghalalkan perhubungan tersebut.

Sekali lagi, Nadia teruja untuk memperkenalkan teman lelaki baharunya itu kepada keluarga.
Bagaimanapun tanpa disangka, keluarganya memberi reaksi sama seperti mana dia membawa pulang teman lelaki pertamanya sebelum itu.
Bukan itu sahaja, anaknya turut menentang perhubungan tersebut dan tidak mahu Nadia mengahwini mana-mana lelaki.
“Saya rasa ibu dan ayah trauma melihat saya membawa pulang teman lelaki.
“Kata mereka, takut saya tersalah pilih sehingga menyebabkan perkahwinan gagal seperti dahulu.
“Ayah siap berpesan jika benar ingin berkahwin, biar mereka pilihkan jodoh buat saya,” ujarnya.
Rimas kerana berasakan seolah-olah dikongkong keluarga, Nadia nekad untuk tidak membicarakan soal jodoh dengan keluarganya.
Dia nekad merahsiakan hubungannya dengan mana-mana lelaki selepas itu.
“Setelah beberapa episod perkenalan gagal, saya bertemu pula dengan seorang duda. Dia menepati ciri-ciri yang saya inginkan dan tidak kasar seperti bekas suami.
“Kami nekad menjalinkan hubungan secara senyap. Tanpa sedar, kami terlanjur dan ia berlaku beberapa kali. Semua itu dilakukan tanpa paksaan, sebaliknya disebabkan perasaan sayang.
“Mungkin jika hubungan kami direstui dan berakhir di jenjang pelamin, semua ini tidak akan berlaku. Tetapi mahu buat bagaimana, saya sudah terlalu sayang dengan lelaki tersebut,” kesalnya.
Menurut Nadia lagi, enam bulan bersama, dia berasakan lelaki dari sebuah negeri di Pantai Timur itu mampu menjadi suami terbaik buat dirinya, biarpun hanya bekerja sebagai seorang penyelia di sebuah kilang.
Disebabkan itu jugalah, dia nekad untuk segera menghalalkan hubungan mereka selewat-lewatnya penghujung tahun ini dengan bernikah di Selatan Thailand.















