fbpx
AYDA JEBAT

Tolak naskhah klise, merdeka cara Ayda Jebat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SETIAP dari kita, andai sampai usia yang semakin matang, pasti akan sampai ke satu tahap atau fasa kehidupan untuk melakukan perubahan sekali gus meninggalkan bayangan lama.

Demikian yang sedang dialami penyanyi juga pelakon Ayda Jebat apabila mengakui, kehidupannya kini jauh semakin matang apatah lagi selepas bergelar isteri dan ibu.

Mahu memerdekakan corak kariernya tanpa ada perkara yang boleh menimbulkan sensitiviti, kontroversi mahupun sensasi, bintang berusia 30 tahun itu seboleh-bolehnya mahu mengelak naskhah percintaan klise.

Itu erti merdeka pilihan Ayda atau nama sebenarnya Nur Suhada Jebat. Haluan kariernya kini terarah dengan memburu karya berkualiti tanpa perlu adegan mesra terlampau antara pasangan pelakon utama.

Dalam erti kata lain, dia tidak lagi terbuka menjayakan mana-mana naskhah yang melibatkan adegan bersentuhan atau bertepuk tampar dengan jantina berlawanan.

MENGELAK cerita cinta yang memerlukan berpegangan dengan pasangan hero, selain kematangan, Ayda menjadikan itu cara dia menjaga nama baik suami serta keluarga.

Mendidik penonton

Keputusan tersebut dibuat seiring dengan statusnya selaku seorang isteri, maka ada nama baik orang tersayang yang perlu dijaga dan dilindungi pelakon itu.

“Mungkin dahulu saya pun tak bagus dan tak baik. Pernah juga buat adegan begitu dalam lakonan. Ya, kalian boleh cakap macam itu kepada saya. Tetapi selepas ini, ‘no more’.

“Bagi saya, zaman itu dah berlalu. Saya dah berlakon lebih sedekad, jadi cukuplah. Sekarang bukan saya nak kena bawa nama sendiri, tetapi juga suami dan keluarga.

Malulah kalau masih buat adegan sebegitu,” ujarnya.

Tak lagi ingin dibelenggu dengan lakonan klise, Ayda juga mahu penonton ‘bebas’ dan tidak lagi dilambakkan dengan naskhah sebegitu sekali gus menjadikan industri tempatan mampu melahirkan banyak cerita berkualiti tanpa adanya percikan sensasi.

Sebagai suri teladan buat masyarakat, dia mahu menjadi contoh terbaik buat penonton.

BIARPUN belum bersedia untuk aktif berlakon, karier nyanyian Ayda tetap berjalan seperti biasa apabila dia akan muncul dengan sebuah single baharu berjudul Tak Bisa Lepas pada 2 September ini.

“Kita dah tak perlu jenis cerita yang menayang kemesraan berlebihan antara pelakon. Sebenarnya kita boleh pergi ke arah itu. Sebab bagi saya, berlakon bukan perlu buat sesuatu yang kontroversi atau gimik untuk viral.

“Kita sebagai suri teladan untuk masyarakat, perlu didik penonton dengan sesuatu yang berbeza. Nak cipta babak romantis yang buatkan penonton tersenyum dan rasa berbunga-bunga, boleh saja buat tanpa bersentuhan, ambil contoh naskhah Korea Selatan misalnya,” ujar Ayda.

Belum puas

Sementara ditanya tentang perkembangan terkini kariernya, Ayda mengakui menerima banyak tawaran berlakon tetapi setakat ini masih belum bersedia kembali turun ke set penggambaran.

Semuanya disebabkan keinginannya untuk menghabiskan masa bersama si permata hati, Ana Nayla yang akan menginjak usia setahun pada bulan depan.

Tebal rasa ‘bersalah’ kerana harus menolak ke tepi undangan yang diterima, namun isteri kepada Nabil Mahir itu sedar akan peranannya selaku ibu mendahului segala-galanya.

“Memang minta maaf sangat buat mereka yang bertanya, bila saya nak kembali berlakon. Bukan tak nak, sebenarnya ada banyak karya menarik yang saya dapat tawaran.

“Tetapi saya tak bersedia lagi nak tinggalkan Ana, terutama kalau terpaksa pulang dari set penggambaran awal pagi.

“Kalau sehari dua mungkin okey, tetapi jika setiap hari, memang susah. Bagi masa untuk saya bersedia terlebih dahulu,” pintanya.

Ujar Ayda yang menempa populariti menerusi drama Rindu Awak 200% pada 2014, sebolehnya dia mahu si permata hatinya itu pandai berjalan terlebih dahulu.

AYDA mahu anaknya, Ana Nayla membesar terlebih dahulu sebelum dia benar-benar bersedia kembali turun ke set penggambaran.

“Anak masih kecil, jadi susah nak keluar bekerja lama-lama. Bulan depan, Ana dah setahun. Biar dia pandai berjalan dahulu dan saya pun puas bermain dengan dia atau dapat bercuti ke, barulah boleh berlakon semula,” katanya.

Penyanyi itu berkata demikian ketika ditemui pada sidang akhbar program Awesome Raja Lawak musim pertama baru-baru ini dengan menyaksikan dia menjadi salah seorang juri tetap di samping Khir Rahman dan Saiful Apek.

Bercerita tentang peranannya di kerusi juri menerusi rancangan yang akan memulakan siarannya pada 7 September tersebut, Ayda akui perasaannya bercampur-baur.

Kongsi ilmu

Ada rasa gementar pada awalnya tetapi semua itu pantas terhapus kerana dia percaya, kehadirannya selaku juri boleh memberikan warna untuk program berkenaan.

“Tanggungjawab ini memang besar, pernah juga rasa, layakkah saya berada di sini, tetapi mungkin saya ada kriteria dan ilmu yang berbeza berbanding senior (Saiful dan Khir).

“Seni itu subjektif, jadi menerusinya saya boleh gunakan ilmu kemahiran dimiliki iaitu menyanyi dan berlakon untuk disalurkan ketika menyampaikan komen kepada peserta. Sebenarnya ini adalah gabungan yang bagus untuk barisan juri, sebab era kami berbeza-beza,” katanya teruja.

LAGU Tak Bisa Lepas bergenre pop jazz ditulis Ayda tiga tahun lalu dengan menceritakan tentang perjalanan hubungannya sewaktu awal perkenalan dengan suami.

Selain mahu berkongsi ilmu dalam bidang yang dikerjakannya, pelantun lagu Pencuri Hati itu juga melihat penglibatannya dalam program tersebut sebagai satu bentuk motivasi buat peserta.

“Saya pernah dikata tak berbakat dan saya akui, dahulu saya tak pandai menyanyi sangat pun. Tetapi saya tak mengalah, gunakan platform yang ada (industri) untuk belajar dan berusaha.

“Penglibatan saya bukan hanya pasal penjurian tetapi juga boleh jadi contoh buat peserta agar gunakan peluang yang mereka dapat ini sehabis baik,” tutup Ayda.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN