fbpx
PERKAHWINAN seorang gadis harus mendapat keizinannya. – gambar hiasan

Kerelaan wanita diambil kira sebelum bernikah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Bolehkah menikahkan anak perempuan tanpa kerelaannya?

Jawapan:
Dalam Mazhab al-Syafi’i secara khususnya, bapa dan datuk merupakan wali mujbir yang bermaksud wali (pelindung) yang boleh memaksa anak perempuan berkahwin sekalipun tanpa kerelaan mereka.

Dalam kata lain, sekalipun anak perempuan tidak mengenali siapakah suami itu dan tidak tahu apakah risiko atas perkahwinan tersebut.

Atas pegangan ini, kita dapati banyak kes paksaan kahwin dalam masyarakat Nusantara terutama pada zaman dahulu yang mana wanita tidak banyak mempunyai pilihan.

Kita menghormati ketokohan al-Imam al-Syafii r.h (meninggal 204H) sebagai tokoh ilmuwan yang agung. Kita juga menghormati Mazhab Syafii sebagai mazhab yang diamalkan majoriti penduduk negara ini, namun kita tidak boleh fanatik tanpa menilai semula pandangan-pandangan diberikan oleh mana-mana mazhab.

Masyarakat moden khususnya, tidak boleh terikat dengan hanya satu mazhab, sebaliknya hendaklah melihat Islam dalam kerangka lebih luas.

Maka, pendapat dan kesimpulan daripada mazhab dan tokoh yang pelbagai hendaklah dilihat dan disemak secara seimbang dalam mencari pendapat lebih kukuh dari segi dalilnya.

Demikian hukum-hakam dalam Islam itu semestinya zahir padanya keadilan, hikmah dan tidak membawa kepada keadaan lebih buruk. Itulah sifat Islam termaktub dalam al-Quran dan al-Sunnah. Pandangan-pandangan yang diberikan oleh mana-mana tokoh terdedah kepada penilaian dari segi hujah, nas dan konteks semasa ataupun realiti yang ada.

Dr Yusuf al-Qaradawi ketika menolak pendapat yang membolehkan bapa memaksa anak perempun berkahwin mengulas: “Siapa tahu, jika al-Syafi’i r.a. hidup di zaman kita dan melihat kemajuan pengetahuan dan ilmu yang dicapai oleh anak gadis hari ini, sehingga mereka mampu menilai lelaki yang datang meminang mereka, atau jika mereka kahwin tanpa kerelaan akan menyebabkan kehidupan rumah tangga menjadi neraka, barangkali jika (ai-Imam) al-Syafi’i melihat hal ini dia akan mengubah pendapatnya seperti mana dia telah mengubah banyak pendapatnya,” (al-Qaradawi, Al-Fatawa al-Mu’asarah, 337-338, Beirut: Dar Ulil al-Nuha).

Kita lihat kepada hadis-hadis Nabi s.a.w., baginda tidak membenarkan paksaan dalam perkahwinan. Sekalipun pada zaman itu, paksaan ke atas wanita dalam pelbagai keadaan berlaku dalam masyarakat Arab, Parsi dan selain mereka. Islam datang memansukhkan paksaan ke atas wanita dalam menentukan pilihan hidup mereka. Dalam hadis daripada Ibn ‘Abbas,

“Seorang gadis dara datang kepada Nabi s.a.w memberitahu bahawa bapanya mengahwinkannya sedangkan dia tidak suka, maka Nabi s.a.w memberikan pilihan kepadanya (sama ada untuk meneruskan atau menolaknya) (Riwayat Abu Daud dan Ibn Majah, dinilai sahih oleh al-Albani).

Maka dalam Sahih al-Bukhari yang merupakan kitab rujukan hadis yang terpenting ada Bab Iza Zauwaja Ibnatahu wahiya karihah fanikahu mardud (Apabila bapa mengahwinkan anak perempuannya, sedangkan anak perempuan itu tidak suka, maka nikah itu ditolak).

Dalam hadis lain riwayat al-Bukhari dan Muslim, Nabi s.a.w bersabda: “Jangan dikahwinkan janda sehingga mendapat arahannya (dia meminta) dan jangan dikahwinkan anak dara sehingga diminta keizinannya”.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN