MELUNTUR buluh biarlah dari rebungnya. Itu falsafah dipegang oleh rata-rata ibu bapa yang mendidik anak-anak mereka untuk mencabar kekuatan fizikal dan mental bagi menyertai acara ekstrem, Ironkids yang berlangsung di Desaru Coast, Kota Tinggi, Johor pada 22 Julai lalu.
Sebagai acara pembukaan bagi Ironman 70.3 Triathlon itu, 122 orang peserta cilik dari 10 buah negara termasuk Amerika Syarikat, United Kingdom, Poland dan India telah menyertainya yang dipecahkan kepada kategori umur tujuh hingga 10 tahun dan 11 hingga 15 tahun.
Bagi kategori tujuh hingga 10 tahun, peserta mengharungi cabaran berenang 100 meter (m), berbasikal 4 kilometer (km) dan berlari 1.3km, manakala bagi 11 hingga 15 tahun pula ialah 200m berenang, 8km berbasikal dan 1.9km larian.
Bagi seorang ibu, Shapura Mohd. Said, 46, pada awalnya, dia bersikap skeptikal untuk membenarkan anaknya, Izzudin Zamri, 8, menyertai sukan ekstrem tersebut, namun tetap memberikan sokongan padu setelah melihat minat anaknya itu.
Shapura berkata, naluri keibuannya yang mahu melindungi keselamatan anak itu dilandaikan setelah Izzudin menguasai pengetahuan asas dan teknik yang betul dalam acara sukan lasak tersebut.
Ujar suri rumah itu, Izzudin terjebak dalam sukan lasak sejak usia tiga tahun apabila berjinak dengan sukan pushbike dan dari situlah terbit minat untuk mencabar diri dalam acara sukan jarak jauh ini.
“Perasaan takut itu memang ada, namun meletakkan keyakinan padanya untuk menempuh cabaran sukan lasak ini.
Sebagai ibu bapa, kita perlu memberikan sokongan terhadap minat mereka dan sokongan itu penting bagi mendorong mereka untuk berjaya.

SEORANG kanak-kanak lelaki berlari menghampiri garisan penamat.
“Bagi saya, acara sukan seperti ini sangat bagus dan bermanfaat untuk diperkenalkan pada kanak-kanak pada usia muda supaya dapat membesar dengan aktif dan positif,” katanya yang berasal dari Semenyih, Selangor.
Bagi Leong Chin Wei pula, penglibatannya dalam sukan triatlon telah menarik minat kedua orang anaknya, Leong Yi Rui, 14, dan Leong Yi Yue, 11, untuk mengikut jejak bapanya dengan menyertai Ironkids.
Menurutnya, selain mengulang kaji pelajaran, pembabitan dalam bidang sukan juga penting kepada anak-anak dalam membudayakan gaya hidup sihat dan ibu bapa perlu menjadi inspirasi buat mereka.
Bagi mempersiapkan diri anaknya untuk menyertai Ironkids, dia mendaftarkan mereka mengikuti program latihan bagi mempelajari teknik yang betul untuk mengharungi liku-liku perlumbaan yang mencabar itu.
“Sukan seperti ini yang memerlukan kita berenang, berbasikal dan berlari secara berterusan amat memenatkan dan ia menuntut peserta melalui latihan yang mencukupi. Saya memberi dorongan kepada mereka untuk menyahut cabaran itu dan syukur mereka berjaya melengkapkan semua cabaran tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, peserta cilik, Hannah Zahra Md. Zainizam menyifatkan kejayaannya menjadi peserta perempuan pertama yang menamatkan saingan Ironkids adalah berkat latihan intensif yang dijalankan sejak tiga bulan lalu.
Murid Sekolah Kebangsaan Bandar Penawar 2 berusia 10 tahun itu berkata, itu adalah pencapaian terbaiknya setelah menduduki tempat kelima ketika menyertai pertandingan itu pada tahun 2019.
Hannah Zahra berkata, kemenangan itu membakar semangatnya untuk terus melakar kejayaan pada edisi Ironkids yang akan datang.
“Selepas balik sekolah, saya berlatih larian pada waktu petang dan berbasikal pada sebelah malam di bawah bimbingan jurulatih, manakala ayah saya akan melatih saya berenang di masa terluang.
“Saya rasa sangat bangga kerana ini kali pertama dapat menamatkan saingan Ironkids di tempat pertama. Saya rasa teruja untuk terus dapat nombor satu lagi,” katanya.

JARAK renangan yang perlu ditempuhi berbeza mengikut kategori usia.
Anak sulung dari dua beradik itu berkata, dia akan memberi penekanan kepada latihan berbasikal kerana ia sangat mencabar ketika melalui laluan berbukit.
Hannah Zahra menjadikan bapanya yang mengambil bahagian dalam acara Ironman sebagai sumber inspirasinya kekal berdisiplin menjalani latihan.
Sementara itu, bagi peserta kanak-kanak lelaki, Ikram Shrudin berkata, dia tidak menyangka akan berada dalam kelompok lima terbaik dalam acara yang pertama kali disertai.
Murid berusia 10 tahun itu berkata, dia sebelum ini pernah menyertai acara triatlon seumpama itu, namun belum pernah berada di tahap pencapaian seperti ini.
“Ini adalah Ironkids yang pertama saya sertai dan berjaya menduduki kelompok lima terbaik, saya berasa sangat puas hati. Saya pasti nak sertai lagi dan cuba mendapat tempat pertama pula.
“Acara ini sangat mencabar lebih-lebih lagi bagi larian kerana sudah hampir kehabisan tenaga setelah berenang dan berbasikal,” katanya.
Sementara itu, salah seorang jurulatih kanak-kanak, Abdul Radhi Ismail, 34, memberitahu, terdapat beberapa kekangan untuk ibu bapa mendedahkan aktiviti sukan triatlon ini kepada anak-anak antaranya disebabkan kos yang tinggi, selain memerlukan disiplin yang tinggi.

Beliau yang juga jurulatih acara olahraga jarak jauh di Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail, Bandar Penawar berkata, selain kos, anak-anak juga perlu kuat mental dan fizikal bagi disiplin berenang, berbasikal dan berlari, sesuatu yang sudah cukup mencabar untuk ditempuhi orang dewasa.
“Sedangkan atlet dewasa pun sukar ingin berdepan tiga disiplin tersebut, inikan pula bagi kanak-kanak yang nalurinya sukakan sesuatu yang menyeronokkan dan tidak membebankan.
“Jadi, di sinilah bermulanya peranan ibu bapa dan juga pihak sekolah untuk membuka mata kanak-kanak ini kepada sukan triatlon yang sangat mencabar ketahanan fizikal dan mental.
“Pihak persatuan sukan ini juga perlu memainkan peranan bersama-sama pihak sekolah untuk memberi pendedahan kepada sukan ini. Sekiranya kita ingin sukan ini semakin mendapat tempat, pengenalan sejak di bangku sekolah adalah yang terbaik,” ujarnya.
Tambahnya, walaupun sukan triatlon ini belum mendapat sambutan yang begitu baik, namun ia semakin berkembang dan berada dalam perancangan untuk dipertandingkan di peringkat Majlis Sukan-Sukan Malaysia (MSSM) dan Sukan Malaysia (Sukma) pada masa akan datang.
Katanya, sistem latihan adalah berbeza mengikut peringkat usia kerana tidak mahu mereka berada di puncak terlalu awal dan keletihan.

BERBASIKAL merupakan salah satu disiplin yang perlu dilalui dalam triatlon.
“Pada usia yang masih kecil ini, tumpuan kita kepada pembangunan dan penekanan teknik yang betul baik dari segi larian, berenang dan berbasikal untuk meningkatkan kemahiran berlumba dengan lebih baik.
“Penekanan aspek teknikal ini membantu mereka berkembang ketika meningkat remaja dan bijak mengatur strategi menggunakan kelebihan pada disiplin tertentu, selain tidak melakukan kesalahan yang banyak,” katanya.














