LONDON – Chelsea dilaporkan sedia untuk membayar sebanyak £22 juta (RM117.41 juta) mendapatkan khidmat penyerang Barcelona, Pierre-Emerick Aubameyang sebelum tempoh perpindahan pemain ditutup.
Nama penyerang antarabangsa Gabon itu menjadi sebutan pasukan yang berpangkalan di barat London itu apabila pengurusnya, Thomas Tuchel dikatakan mahu kembali bekerjasama dengan Aubameyang.
Tuchel sangat mengenali Aubameyang apabila kedua-dua mereka sebelum ini pernah menyertai Borussia Dortmund dan pengurus dari Jerman itu mengakui sangat mengenali dan memahami cara permainan pemain berkenaan.
Chelsea sebelum ini melepaskan penyerang mereka, Romelu Lukaku untuk menyertai Inter Milan secara pinjaman sementara Timo Werner pula kembali ke RB Leipzig menyebabkan mereka kekurangan pemain penyerang.
Menurut laporan di Sepanyol, tawaran yang diberikan oleh Chelsea itu sudah menyamai kehendak yang diinginkan oleh Barcelona ketika mereka hanya mendapatkan khidmat Aubameyang tanpa sebarang bayaran selepas dia dilepaskan oleh Arsenal.
Chelsea pada mulanya menawarkan sebanyak £12 juta (RM64.04 juta) untuk mendapatkan Aubameyang, tetapi meningkatkan tawaran berkenaan selepas menyedari bahawa Manchester United juga turut mengintai peluang mendapatkan pemain berkenaan.
Xavi dikatakan keberatan untuk melepaskan penyerang berkenaan yang sudah meledak 11 gol dalam 17 perlawanan La Liga musim lalu, namun kehadiran Robert Lewandowski mungkin menyebabkan dia terpaksa membenar Aubameyang berhijrah. – AGENSI