PETALING JAYA – Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka berlaku di empat negeri pada pagi ini sehingga pukul 1 tengah hari.
Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) dalam kenyataan memaklumkan, keadaan cuaca buruk itu membabitkan keseluruhan kawasan di Pulau Pinang dan Perlis.
“Di Kedah melibatkan kawasan Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Yan, Pendang, Kuala Muda dan Sik.
“Bagi Johor pula, hujan lebat hanya tertumpu di Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru,” katanya hari ini.
Dalam pada itu, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” katanya. – KOSMO! ONLINE