KUANTAN – Lebih dua juta tan stok simpanan bauksit membentuk ratusan ‘bukit merah’ bernilai tinggi di Felda Bukit Goh dan Felda Bukit Kuantan di sini.
Stok simpanan bauksit yang dianggarkan bernilai lebih RM20 juta itu tidak dapat dikeluarkan selepas pelaksanaan moratorium kira-kira enam tahun lalu disebabkan isu pencemaran alam sekitar.
Tinjauan Kosmo! di sekitar Bukit Goh baru-baru ini mendapati terdapat begitu banyak longgokan bauksit yang membentuk seperti bukit dan kawasan tanah merah serta kesan perlombongan bauksit.
Kewujudan bauksit yang menjadi rebutan tauke-tauke tersebut kini menjadi perkara utama yang perlu diatasi sebelum sebarang tindakan termasuk penanaman semula atau pembangunan lain seperti lembah solar boleh dilakukan.
Pengerusi Pertubuhan Gagasan 2 Generasi Kuantan (G2G), Jefri Salim berkata, kewujudan ratusan bukit stok simpanan bauksit itu dapat dilihat di sekitar Felda Bukit Goh dan Felda Bukit Kuantan.
“Selain boleh menghalang aktiviti penanaman semula dan pembangunan lain, kewujudan ‘bukit merah’ itu juga turut menyebabkan berlakunya pencemaran sungai.
“Apabila hujan lebat, air dari bukit bauksit itu akan mengalir masuk ke dalam Sungai Bukit Goh dan sungai berhampiran menyebabkan air menjadi keruh.
“Jadi kami berharap perkara ini diatasi sama ada dengan cara membawa keluar atau meratakan sebelum apa-apa perancangan khususnya pembangunan dilaksanakan,” katanya di sini semalam.

Baru-baru ini Kosmo! melaporkan seramai 402 peneroka Felda Bukit Goh dan Bukit Kuantan terumbang-ambing sejak aktiviti pengeluaran bauksit dihentikan kira-kira enam tahun lalu.
Selain itu, nama mereka turut terkeluar daripada program penanaman semula Felda.
Susulan itu, Felda telah menyatakan kesediaan untuk melakukan penanaman semula atau melaksanakan alternatif lain termasukkan pembangunan lembah solar sekiranya kos pemulihan tanah dan penanaman semula sawit terbukti tidak berbaloi.
Difahamkan, kira-kira RM54 juta diperlukan bagi proses tanaman semula kelapa sawit melibatkan kawasan seluas 1,627 hektar meliputi tanah milik 194 peneroka bagi aktiviti perlombongan bauksit dan 208 peneroka yang tidak terlibat, tetapi terkeluar daripada program penanaman semula.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Lembing, Datuk Md. Sohaimi Mohamed Shah berkata, selepas mendapat persetujuan peneroka sama ada untuk penanaman semula atau pembangunan lain, simpanan stok bauksit tersebut perlu diselesaikan segera.
“Mengenai cadangan (pembangunan seperti lembah solar) kita berbincang dengan pihak Felda dahulu sebagai penguasa sebelum dibawa kepada kerajaan negeri.
“Ketika ini, kita tunggu peringkat G2G, peneroka dan Felda bagi memperkemaskan cadangan tersebut,” ujarnya.
















