fbpx
JANGAN kita terlalu leka dengan media sosial dan mengharapkan pujian orang sehingga lupa tugas memartabatkan agama Allah di muka bumi ini. – Gambar hiasan

Jangan hanyut mengejar populariti dan likes

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Segilintir golongan bergelar agamawan turut terpalit dengan isu mendapat pujian manusia di era media sosial dengan mengejar likes. Apa pandangan Datuk dalam hal ini?

Jawapan:
Antara fitnah terhadap keikhlasan amalan setiap zaman adalah kehendak kepada pujian manusia mengatasi reda Allah. Fitnah itu menjadi lebih besar pada saat ini apabila manusia dapat ‘menikmati’ pujian itu melalui media sosial yang wujud di era ini.

Kegilaan mendapat likes, followers dan sokongan netizen telah ‘menjahanamkan’ niat dan prinsip ramai manusia.

Ia telah merosakkan keikhlasan ramai orang, termasuklah tokoh-tokoh agama, dan jarang pula terlepas dari fitnah ini.

Kehendak manusia atau netizen dalam konteks media sosial pula berbeza dan berubah berdasarkan pelbagai faktor. Dalam politik, jika seseorang tokoh agama menyokong tindakan atau pendapat pihak tertentu, mereka dari pihak berbeza membantah dan mengutuk pendirian itu.

Jika sebaliknya, maka kumpulan yang satu lagi akan bertindak sama.

Semasa pendapat dia seiras dengan mereka, dia akan dinobatkan tokoh agama terbilang yang pendapatnya wajar diikuti. Apabila dia berbeda dengan mereka, dia dianggap penjual agama. Paksi mereka adalah sokongan netizen yang pro parti mereka.

Sedangkan agama itu rentas parti dan kumpulan. Tidak terikat dengan lambang, tetapi terikat dengan alasan dan hujah.

Antara golongan yang mendapat banyak followers dan likes ialah para artis. Ini adalah fenomena global.

Mereka bagaikan ‘tuhan-tuhan’ yang dipuja di media sosial oleh pentaksub.

Apatah lagi, jika artis-artis itu cantik, kacak dan berbakat, maka pasti banyak followers dan likes.

Golongan agamawan jika terpengaruh dengan dunia selebriti yang mencari likes dan followers di media sosial, pasti teruja apabila dapat bermajlis bersama artis ternama.

Alasan klise nak berdakwah, walaupun kelihatan golongan agama itulah diwarnakan oleh artis-artis tersebut, bukan sebaliknya.

Maka jadilah diari hidup golongan ilmuwan agama itu seperti artis yang tertumpu kepada menghiburkan peminat dengan mendapatkan likes, bukan menegakkan prinsip, menyanggahi yang salah dan berkata benar walaupun pahit.

Niat terpendam berbisik, ‘kalau aku bersama artis ni, berapa likes aku dapat?”

Saya ingin mengingatkan diri saya dan mereka yang terbabit dalam membawa ilmu agama Allah ini, tugas kita bukanlah penghibur di media sosial. Itu semua hanyalah wasilah atau jalan, bukan tugas kita yang hakiki. Tugasan pembawa ilmu yang sebenar adalah seperti yang baginda Nabi s.a.w sebut:

“Sentiasa membawa ilmu ini mereka yang adil (amanah) dari para penyambung (dari setiap generasi); mereka menafikan (menentang) penyelewengan golongan yang melampaui batas, dakwaan bohong golongan yang batil dan takwilan golongan yang jahil. (Riwayat al-Bazzar, al-Baihaqi, al-‘Uqaili dll. Hadis bertaraf hasan).

Kata al-Bulqini, hadis ini bermaksud perintah iaitu, “Hendaklah membawa ilmu ini golongan yang adil,” (amanah)….(lihat: al-Bulqini, Mahasin al-Istilah, m.s. 121, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyat, 1999).

Ertinya, pembawa ilmu hendaklah amanah dan bagi mereka tiga tugasan hakiki yang mesti dilaksanakan.

Tugasan pertama menentang pelampau dalam beragama, manakala kedua pula, menentang golongan yang berbohong atas nama agama. Ketiga, menentang golongan jahil yang membuat tafsiran salah tentang agama.

Inilah tugasan ilmuwan Islam bagi memastikan ketulenan agama terpelihara. Tiga tugasan ini sering dilupai oleh golongan agamawan apabila tenggelam dalam kehendak likes di media sosial.

Tidak salah mencari pendekatan lebih berhikmah seperti mendekati golongan politik, atau artis atau sesiapa sahaja. Demikian tidak salah suka kepada likes, jika itu sebagai tanda uslub dakwah berkesan.

Hikmah atau pendekatan berkesan disuruh oleh al-Quran. Tujuan hikmah dalam dakwah agar mesej al-Quran dan al-Sunnah sampai kepada manusia.

Tidak sekadar supaya manusia menyukai kita tanpa menyukai isi sebenar ajaran Allah dan Rasul-NYA.

Akhirnya yang manusia terima dan suka hanyalah diri kita, tetapi tidak isi kandungan dakwah yang kita bawa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN