fbpx

SUKIPT 2022: UiTM optimis sasar 22 emas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SAZILI (tengah depan) melaungkan kata semangat bersama semua atlet dan kontinjen itu.

SHAH ALAM – Kontinjen Universiti Teknologi Mara (UiTM) optimis menyasarkan kutipan 22 emas pada temasya Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2022 bermula esok.

Sasaran itu bakal direbut seramai 370 atlet yang menyertai edisi kali kelima berkenaan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Tanjung Malim, Perak.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UiTM, Prof. Dr. Mohd. Sazili Shahibi berkata, sasaran 22 emas itu masih dianggap realistik biarpun jumlah penyertaan atlet sedikit menurun berbanding edisi terdahulu.

“Faktor penangguhan SUKIPT selama dua tahun akibat pandemik Covid-19 diakui sedikit merencatkan persiapan atlet selain ada yang menghadapi peperiksaan akhir.

“Namun, kita kekal yakin kontinjen UiTM mampu meraih sasaran emas ditetapkan dan menduduki tiga kelompok terbaik edisi kali ini,” katanya pada majlis penyerahan bendera kontinjen itu di Kompleks Sukan UiTM di sini, hari ini.

Lebih 6,000 atlet daripada 70 kontinjen mengesahkan penyertaan pada SUKIPT kali ini melibatkan IPT awam, swasta, politeknik dan kolej komuniti bagi me­rebut 210 pingat emas daripada 21 acara­ yang dipertandingkan sehingga 21 Ogos depan.

Pada edisi terakhir yang berlangsung di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi pada 2018 menyaksikan Universiti Putra Malaysia (UPM) dinobatkan juara keseluruhan.

Jelas Mohd. Sazili, pingat emas yang disasarkan itu antaranya meliputi sukan kayak, catur, boling padang, silat dan memanah.

“Sasaran itu mungkin sedikit menurun berbanding sebelum ini kerana banyak acara digugurkan.

“Kita menerusi 197 atlet lelaki dan 175 wanita bagaimanapun akan melakukan sebaik mungkin seperti kecemerlangan menjadi johan keseluruhan pada 2014 dan 2016 lalu,” ujarnya.

Tambah beliau, kejayaan dua penuntut UiTM, Mohamad Aniq Kasdan dan Ain Nabilah Tarmizi yang memenangi pingat dalam acara angkat berat dan boling padang pada Sukan Komanwel 2022 diharap turut menyuntik semangat kontinjen untuk meraih sebanyak mungkin pingat. – KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI