Bilakah belajar agama dihumban ke neraka?
Jawapan:
Sesungguhnya ikhlas adalah asas utama dalam setiap amalan. Niat yang betul dan baik menjadikan seseorang itu mulia di sisi Allah.
Niat buruk menjadikan seseorang itu hina di sisi Allah walaupun kelihatan hebat di sisi manusia. Ilmu agama dipelajari untuk dapat keredaan Allah.
Atas niat mencari keredaan Allah, pengajian agama melahirkan ulama berprinsip, berpegang kepada manhaj ilmu dan tidak menjual kebenaran hanya kerana kepentingan dunia.
Sebaliknya, jika penuntut ilmu agama itu bertujuan mendapat kedudukan dunia, maka agama akan dijadikan bahan dagangan. Prinsip akan dikorbankan dan ilmu agama menjadi mainan. Justeru, menuntut ilmu agama untuk tujuan dunia merupakan satu dosa besar.
Bagi memelihara ilmu agama daripada dijadikan mainan mereka yang berkepentingan, Nabi s.a.w telah memberikan amaran tentang hal ini (maksudnya): Daripada Ka’b bin Malik R.A., katanya: Aku mendengar RasululLah s.a.w bersabda: “Sesiapa yang menuntut ilmu (agama) untuk menyaingi ulama atau berbahas dengan orang jahil atau supaya dengan ilmu itu wajah orang ramai tertumpu kepadanya, maka Allah masukkan dia ke neraka,” – (Riwayat al-Tirmizi, Ibn Majah dari Ibn ‘Umar, Jabir, Huzaifah dan Abu Hurairah. Al-Hakim meriwayatkan daripada Jabir dan menilainya sahih.
Ini disetujui oleh al-Zahabi (lihat: Al-Mustadrak 1/272, Beirut: Dar al-Ma’rifah).
Sanad hadis ini daif, namun hadis ini mempunyai syahid (pembuktian daripada riwayat lain) yang menguatkan antara satu sama lain). Ini boleh mengangkat kedudukannya kepada hasan atau sahih).
Dalam hadis yang lain, Nabi s.a.w bersabda (maksudnya): Daripada Abu Hurairah; Sabda Rasulullah S.A.W.: “Sesiapa yang mempelajari sesuatu ilmu yang dengannya dicari reda Allah Azza wa Jalla, tetapi dia tidak mempelarinya kecuali untuk mendapatkan habuan dunia, maka dia tidak akan mendapat bau syurga pada hari kiamat,” – (Riwayat Abu Daud, Ibn Majah dll. Hadis sahih. Dinilai sahih oleh al-Nawawi, al-‘Iraqi, al-Albani, al-Arnaut dll)
Tujuan menuntut ilmu agama adalah untuk mengetahui perintah dan larangan Allah. Demikian juga melalui ilmu agama, kita akan mengetahui ajaran, panduan dan pelbagai ilmu lain untuk kebaikan kehidupan di dunia dan akhirat.
Ilmu agama mengeluarkan kita daripada kejahilan kepada cahaya. Ilmu menjadikan pemiliknya mengetahui kebenaran dan membelanya. Itulah tugasan dan tanggungjawab penuntut ilmu dan ulama.
Menuntut ilmu khususnya ilmu agama adalah ibadah dan jihad. Ia membawa insan Muslim ke syurga.
Namun, jika seseorang ingin bermegah-megah dengan ilmu agamanya, bukan untuk kebenaran, tetapi sekadar untuk menaikkan diri dan kedudukannya, maka dia telah menyimpang dari tujuan sebenar.
Niat itu berisiko besar membawa agama diselewengkan.
Dalam hadis di atas disebut: iaitu untuk bersaing dengan ulama. Kata al-Imam Ibn Athir (wafat 606H): “Maksudnya untuk dia bersama ulama di dalam perbahasan dan perdebatan bagi menzahirkan ilmunya kepada orang ramai dengan tujuan riyak dan sum ‘ah (inginkan kemasyhuran),” (rujukan: Ibn al-Athir, Al-Nihayah fi Gharib al-Hadith wa Al-Athar, 1/256. Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah).
Turut berbincang dan berbahas dalam majlis ulama atau dengan para ulama bukanlah suatu kesalahan jika tujuannya mencari keredaan Allah.
Apatah lagi lagi jika seseorang itu memiliki pengetahuan dalam perkara yang dibahaskan.
Islam menggalakkan kebangkitan ilmu dan perkembangan intelektual bertujuan mencari kebenaran. Islam mengalu-alukan ijtihad yang baik yang memenuhi syarat-syarat keilmuan.
Namun, yang salah adalah apabila tujuan atau niat ingin menjadikan ilmu sebagai jambatan kesombongan dan ketakaburan.
Ilmu yang sepatutnya membawa diri kepada syukur dan insaf dijadikan sebagai punca sikap bangga diri dan menunjuk-nunjuk.
Kesannya, niat buruk sangat bahaya; orang yang seperti ini hanya mementingkan dirinya sahaja, bukan kesahihan fakta. Dia hanya ingin menegakkan hujahnya untuk menaikkan namanya, bukan untuk mencari kebenaran yang Allah redai.














