PETALING JAYA – Ibu bapa perlu memastikan pengasingan dibuat segera di rumah sekiranya anak masing-masing disyaki atau disahkan dijangkiti virus influenza.
Pakar Kesihatan Komuniti, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, langkah itu merupakan kaedah awal yang boleh dilakukan ibu bapa sekiranya anak-anak mereka mempunyai gejala influenza.
“Perkara pertama adalah memastikan gejala yang dialami adalah influenza atau tidak menerusi ujian.
“Sekiranya anak-anak disyaki terkena jangkitan influenza yang tidak teruk dan dirawat di rumah, pastikan pengasingan (isolasi) dibuat sama seperti pesakit Covid-19.
“Tempatkan mereka di bilik berasingan yang mempunyai tandas dan tidak bercampur denga yang lain kerana virus merebak melalui udara dan boleh berjangkit kepada adik-beradik lain,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini baru-baru ini.
Menurut beliau, penjaga juga perlu memastikan anak mereka diberikan ubat demam dan segera ke hospital sekiranya mengalami tanda-tanda yang tidak diingini.
Pesakit influenza perlu meminum lebih banyak air, mempunyai selera makan dan memastikan anak-anak makan secukupnya kerana jika tidak mereka tidak akan bermaya.
“Komplikasi influenza seperti demam sehingga suhu mencecah 38 darjah Celsius lebih 48 jam, cirit-birit, sesak nafas, sawan dan tidak sedarkan diri.
“Bagi gejala teruk seperti ini, mereka tidak boleh dirawat di rumah dan harus bawa ke hospital,” jelasnya.
Tambah beliau, tiada rawatan khas untuk merawat pesakit influenza, sebaliknya mereka memerlukan ubat antiviral.
Beliau turut mencadangkan kepada kerajaan untuk membantu dari segi kos ujian influenza selain menggalakkan ibu bapa supaya mendapatkan vaksin untuk anak masing-masing. -KOSMO!
















