fbpx

Kes pukul Emilia: Polis rakam 12 foto termasuk kunci kereta Ferrari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Emilia (tengah) ketika hadir di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

KUALA LUMPUR – Seorang jurufoto polis memberitahu Mahkamah Majistret di sini hari ini bahawa beliau telah mengambil 11 keping gambar tempat kejadian di rumah teres di Serene Kiara 2, Jalan Kiara 3 Desa Sri Hartamas dan satu barang kes iaitu kunci kereta jenis Ferrari.

Koperal Muhamad Shahmi Yusof ,37, yang merupakan jurufoto di Cawangan Fotografi (D6) Bahagian Teknik, Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields berkata, kesemua gambar itu diambil pada 27 November 2015 iaitu lima hari selepas kejadian.

“Antara gambar-gambar yang diambil itu adalah bahagian hadapan rumah, ruang menonton televisyen dan bilik tidur utama rumah berkenaan. Selain itu saya juga turut mengambil gambar barang kes iaitu kunci kereta jenis Ferrari,” katanya.

Saksi pendakwaan ketiga itu berkata demikian ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Nur Aishah Ahmad Zakiuddin dalam kes perbicaraan Pengerusi Eksekutif Naza World, SM Faisal SM Nasimuddin yang didakwa mendatangkan kecederaan terhadap bekas isterinya, Emilia Hanafi.

Terdahulu ketika membaca pernyataan saksinya, Muhamad Shahmi berkata dia tiba rumah itu pada pukul 3.45 petang selepas menerima arahan daripada pegawai penyiasat untuk merakam foto bersabit kes tersebut.

Saksi itu turut mengesahkan bahawa segala peralatan yang digunakan dalam kes ini seperti kamera Canon EOS 60D digunakan dalam keadaan baik.

Sementara itu ketika disoal balas peguam SM Faisal, Datuk Akberdin Abdul Kaderr siapa yang membuka pintu rumah ketika beliau dan pegawai penyiasat sampai di rumah itu untuk menjalankan siasatan, saksi itu mengatakan tertuduh yang membuka pintu.

Mengikut pertuduhan, SM Faisal, 43, didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas  Emila ,43, yang merupakan isterinya (ketika kejadian) di sebuah rumah di Serene Kiara 2, Jalan Kiara 3 Desa Sri Hartamas, Brickfields di sini antara pukul 12.30 tengah hari hingga 4.30 petang pada 22 November 2015.

Berikutan itu pertuduhan dikemukakan dibawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum dibawah Seksyen 326A kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda boleh sampai RM2,000 atau kedua-duanya.

Emilia dan SM Faisal berkahwin pada 2002 sebelum bercerai 2016 manakala hak penjagaan terhadap tiga anak mereka, diberikan sepenuhnya kepada wanita itu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI