fbpx
ABE akan terus diingati rakyat Jepun kerana visinya mahu menjadikan Jepun kembali sebagai kuasa utama di rantau Asia.

Belasungkawa: Takdir tragis Shinzo Abe, ikon pembaharuan Jepun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KEMATIAN bekas Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe, 67, secara tragis pada Jumaat lalu ternyata mengejutkan penduduk di Negara Matahari Terbit itu serta masyarakat dunia.

Abe yang sedang berkempen kepada pengikutnya di Nara, sebuah bandar di barat Jepun menjelang Pilihan Raya Dewan Tertinggi Parlimen pada 10 Julai lalu ditembak mati oleh seorang lelaki.

Tembakan dari arah belakang oleh Tetsuya Yamagami, 41, menggunakan senjata api buatan tangan itu mengenai tepat ke dada Abe, membuatkanya rebah sebelum dikejarkan ke hospital berhampiran.

Abe kemudian disahkan meninggal dunia di Nara Medical University Hospital pada 5.03 petang waktu tempatan akibat luka di jantung dan bahagian kanan lehernya.

Suspek pembunuhan, Yamagami yang merupakan bekas anggota pertahanan maritim Jepun berjaya diberkas polis di tempat kejadian.

Polis memaklumkan, suspek mengaku melakukan jenayah itu, namun motifnya masih kurang jelas.

ABE cuba membawa pembaharuan di Jepun.

Kejadian brutal tersebut meninggalkan impak mendalam kepada masyarakat tempatan, memandangkan Jepun bukanlah negara yang terkenal dengan keganasan senjata api atau serangan politik.

“Mungkin kejadian sebegini perkara biasa di AS (Amerika Syarikat), tetapi ia berlaku di Jepun dan saya sangat terkejut. Saya rasa Jepun berputar ke belakang,” ujar lelaki yang mahu dikenali sebagai Shimizu di Kyoto kepada sebuah agensi berita tempatan baru-baru ini.

Seorang wanita yang mahu dikenali sebagai Otake pula tidak terkejut dengan nasib malang menimpa Abe. Dia beranggapan, segala permasalahan yang dihadapi Jepun ketika ini ditimbulkan sewaktu pentadbiran bekas perdana menteri tersebut.

Undang-undang kawalan senjata api di Jepun sangat ketat, yang mana pistol dan senapang diharamkan sama sekali serta kejadian tembakan jarang berlaku.

Jenayah melibatkan senjata api di negara berkenaan hanya dikaitkan dengan geng Yakuza. Menurut rekod, kejadian pertumpahan darah dalam politik Jepun berlaku lebih enam dekad lalu.

Pada awal 1960-an, keganasan jalanan meletus antara parti haluan kanan dan kiri berhubung perjanjian Jepun dengan AS. Dalam kejadian itu, seorang pemimpin parti sosialis maut dibunuh menggunakan pedang.

Rentetan itu, satu konsensus muncul dalam kalangan ahli politik bagi mengelakkan pertengkaran politik pada pandangan umum.

Penganalisis politik di Universiti Sophia, Tokyo, Koichi Nakano berkata, politik Jepun berdasarkan prinsip tanpa kekerasan dengan perselisihan faham terhad pada peringkat lisan.

“Walaupun ada segelintir pihak tidak menyukai politiknya (Abe), saya fikir akan ada rasa sedih tulen yang meluas. Saya jangka ia detik penyatuan daripada peristiwa polarisasi,” ujar ahli akademik, Tobias Harris.

Menyorot kembali perjalanan hidup Abe, beliau dilahirkan di Tokyo pada 21 September 1954.

BEKAS perdana menteri Jepun ini rebah selepas ditembak seorang lelaki di Nara.

Selepas tamat pengajian dari Universiti Seikei pada 1977, beliau berpindah ke AS.

Di negara Uncle Sam itu, beliau menyambung pengajian selama tiga semester dalam bahasa Inggeris, sains politik, sejarah dan hubungan antarabangsa di University of Southern California.

Abe cukup bertuah apabila dilahirkan dalam keluarga politik terkemuka. Beliau merupakan cucu kepada Nobusuke Kishi iaitu seorang pegawai pentadbir era Perang Dunia Kedua dan kemudiannya menjadi Perdana Menteri.

Bapa beliau, Shintaro Abe pula adalah bekas menteri luar negeri. Di sebalik latar belakang berdarah biru, tugas pertama Abe sebagai Perdana Menteri bermula pada 2006.

Khidmat beliau berakhir secara tiba-tiba pada 2007 selepas menderita penyakit usus kronik. Kerjaya politik Abe seakan menemui titik noktah, sebelum beliau membuat kemunculan semula pada 2012.

Abe sekali lagi dipilih menjadi perdana menteri selepas parti pimpinannya, Parti Liberal Democratic (LDP) memenangi majoroti pada pilihan raya pada tahun berkenaan.

Khidmat Abe sebagai ketua negara mampu bertahan sehingga 2020, sekali gus menjadikannya sebagai perdana menteri paling lama memegang jawatan tersebut di Jepun.

Presiden AS, Donald Trump (kanan) dan Abe bertemu di Palm Beach, Florida pada 2018.

Sewaktu pentadbirannya, Abe berikrar mengembalikan kedudukan Jepun sebagai kuasa utama di rantau Asia seperti sebelum Perang Dunia Kedua serta dinamika ekonominya bak era 1960-an.

“Nostalgia merupakan asas yang kuat bagi menggerakkan tindakan politiknya. Abe bukan sekadar ingin mengembalikan masa lalu, bahkan dia ingin membina semula Jepun baharu,” ujar Harris yang juga penulis buku biografi Abe bertajuk, The Iconoclast: Shinzo Abe and the New Japan.

Salah satu dasar beliau paling popular dan masih bertahan hingga kini ialah Abenomics. Dasar yang dilancarkan pada 2013 itu bertujuan melonjakkan ekonomi selepas lebih dua dekad deflasi.

Dasar berkenaan melibatkan peningkatan perbelanjaan kerajaan dan melonggarkan monetari. Beliau juga mendesak pembaharuan seperti pemotongan cukai korporat, kerenah birokrasi dan meliberalisasikan ekonomi.

Salah agenda domestik terbesar Abe ialah ‘womenomik’ iaitu melibatkan pembukaan pasaran buruh kepada wanita yang sebelum ini didominasi lelaki selama beberapa generasi.

Pada 2016, Abe berjaya mencuri tumpuan pada Majlis Penutup Sukan Olimpik Rio apabila tampil mengenakan pakaian permainan video popular, Super Mario dalam usaha mempromosi Jepun sebagai tuan rumah seterusnya.

“Dia berjaya mencipta momentum positif selepas tempoh ‘gelap’ Jepun. Negara ini masih memerlukan seorang bekas perdana menteri,” ujar bekas penasihat utama Abe, Takeshi Niinami.

Dalam pada itu, selepas kemusnahan teruk pada Perang Dunia Kedua, undang-undang Jepun telah mengehadkan kegunaan kekuatan tentera bagi mempertahankan negara sendiri.

Pada 2014, kabinet Abe ingin mentafsir kembali perlembagaan bagi membantu negara sekutunya.

Malangnya, beliau tidak memperoleh sokongan majoriti bagi meminda perlembagaan tersebut.

Justeru, Abe memilih meletakkan asas buat Jepun dengan memihak kepada AS bagi persaingan berterusan dengan China. Jepun juga mula bersuara tentang isu Taiwan selepas beberapa dekad mendiamkan diri.

Beliau juga memainkan peranan penting dalam membentuk kumpulan keselamatan termasuk Jepun, AS, India dan Australia bagi menentang cita-cita ketenteraan serta ekonomi China.

“Dia melihat Jepun semakin lemah dan bertekad untuk membaikinya. Melalui diplomasi, Abe berjaya mengubah sepenuhnya kedudukan dan jangkaan dunia luar terhadap Jepun,” ujar Harris.

Sama seperti perdana menteri sebelumnya, pemerintahan Abe kali kedua berakhir disebabkan skandal penjualan tanah kerajaan pada harga rendah kepada sekolah yang mempunyai kaitan dengan isteri beliau, Akie Abe.

Selepas berundur pada 2020, dia terus menggunakan kuasa dan pengaruh dalam parti LDP bagi menjadi king maker.

Kata Harris, Abe akan terus memberi impak mendalam kepada politik Jepun, sekiranya beliau masih hidup.

“Dia akan sentiasa memberi bayangan terhadap pemerintahan Perdana Menteri semasa, Fumio Kishida serta mana-mana pengganti selepas ini,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN