fbpx
BEBY ACHA

Goyang gerudi? Saya bergelek biasa saja – Beby Acha

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BERSATUS adik kepada penyanyi popular Allahyarham Achik Spin bukan satu hal yang mudah buat Beby Acha.

Memiliki latar belakang yang boleh meledakkan popularitinya sekelip mata, pemegang nama penuh Nur Aishah Md. Shari itu bagaimanapun menegaskan ingin berdiri atas bakatnya sendiri.

Dia seboleh-bolehnya mahu lari jauh daripada bayangan populariti adik-beradik lain dan berjuang untuk terus menapak dalam industri sama dengan usaha sendiri.

Begitulah prinsip yang dipegang penyanyi yang popular dengan lagu Jerung Merah itu sepanjang tiga tahun berkelana sebagai anak seni.

PETAH berbicara, Beby boleh dikatakan sebagai pendatang baru yang bijak melontarkan pandangan dan merendah diri dalam tutur kata.

Hasrat Achik

Memulakan bicara tentang kerjayanya, anak kelahiran Negeri Sembilan itu memberitahu salah satu sebab keberadaannya dalam industri seni ialah bagi memenuhi impian arwah Achik dan ibunya.

Ujarnya, dua individu itu mahu bakatnya dilihat umum sekali gus melebarkan sayap ke peringkat lebih tinggi.

“Sebenarnya saya seorang yang pemalu, takut nak ke depan tetapi ibu dan Achik sebelum ini tidak henti-henti mahu melihat saya berjaya sebagai seorang penyanyi.

“Kata mereka, jangan sia-siakan bakat yang ada dan berkat doa mereka, di sinilah saya sekarang. Alhamdulillah kehadiran saya dalam industri diterima baik,” kongsinya kepada HibGlam baru-baru ini.

Dalam masa sama, dia bersyukur kerana setakat ini belum ada yang mengenalinya sebagai adik-beradik Achik dan Tajul, terutama ketika bertembung dengan peminat.

“Setakat ini tiada lagi tegur saya sebagai adik Achik atau kakak Tajul. Semuanya kenal menerusi lagu-lagu saya.

“Rasa syukur dan terharu juga sebab tidak dibayangi dengan jenama mereka berdua.

“Bukan sombong tetapi bukankah lebih bagus dikenali dengan bakat sendiri.

“Kalau saya nak popular cepat, sudah lama guna identiti sebagai adik Achik Spin tetapi saya tak mahu begitu,” katanya lagi.

Beby yang kini berusia 31 tahun bagaimanapun sudah lali dengan dakwaan sedemikian dan langsung tidak mengambil hati dituduh menumpang populariti mereka.

“Saya tidak terkesan kerana arwah dan Tajul ialah darah daging, kami tidak boleh lari daripada dikaitkan.

“Sejak mula terjun ke dunia seni, saya sudah sedia berdepan komen dan kritikan seumpama itu,” ujarnya yang terkenal dengan lagu-lagu genre dangdut.

TANPA gelek gerudi, Beby menganggap setiap penyanyi dangdut mempunyai cara tersendiri menghiburkan penonton dalam setiap persembahan.

Gelekan maut?

Dalam keterujaan bicaranya, pelantun Anje Baby itu turut berkongsi pandangan tentang tarian atau aksi gelek dalam persembahan lagu genre dangdut.

Dia turut menepis dakwaan segelintir individu pihak yang beranggapan bahawa penyanyi dangdut perlu bergelek ‘sakan’ setiap kali mengadakan persembahan.

“Sebenarnya jika menyanyikan lagu dangdut, tidak semestinya perlu bergelek ‘sakan’, namun setiap penyanyi ada cara tersendiri untuk menghiburkan khalayak.

“Saya pun tidaklah terlalu bergelek ketika membuat persembahan. Hanya bergelek biasa, sedap mata memandang dan tidak keterlaluan. Hanya berseronok sahaja dengan lagu.

“Namun, tetap ada pihak yang memandang aksi begitu sebagai sesuatu mengghairahkan,” jelasnya.

Sedar batas sendiri, Beby berkata dia tidak mampu menutup mulut atau mengubah persepsi orang lain terutama berkaitan penyanyi lagu dangdut.

Jelasnya, tarian gelek sangat sinonim dengan irama dangdut tetapi cara aksi tersebut dipersembahkan oleh setiap penyanyi adalah berbeza.

“Menari dan beraksi gelek memang sinonim dengan penyanyi dangdut, namun itu tidak bermakna sengaja untuk membuat penonton berasa ghairah.

“Bagi saya, soal menari gelek secara ghairah ini bergantung kepada pandangan penonton juga.

“Kadang-kadang, walaupun tiada gelek gerudi, pakai baju biasa dan hanya berdiri tegak, tetap ada mulut yang cakap nampak seperti ghairah.

“Ini semua ‘pandangan mata’ masing-masing,” kongsinya panjang lebar.

SUDAH mempunyai lima buah single, Beby bersyukur kerana dikenali dengan bakat sendiri sekali gus lari daripada bayangan populariti Achik dan Tajul.

Mahu jadi versatil

Beralih kepada cerita single baharunya berjudul Uda dan Dara, Beby mengakui gemuruh menanti respons orang ramai.

Ujarnya, rasa gemuruh tercetus memandangkan Uda dan Dara yang merupakan runut bunyi bagi drama Ada Apa Dengan Saka itu ‘lari’ daripada genre kebiasaannya iaitu dangdut.

“Lagu ini genrenya pop. Memang rasa takut sangat dan risau dengan penerimaan peminat.

“Mana tidaknya, tiga lagu saya sebelum ini berentak dangdut kemudian tiba-tiba muncul dengan genre pop.

“Agak mencabar tetapi saya suka mencuba dan mahu jadi versatil.

“Saya harap Uda dan Dara juga meletup seperti lagu-lagu terdahulu,” tuturnya mengakhiri perbualan.

BEBY ACHA kini berdebar menanti respons ramai terhadap single baharunya, Uda dan Dara, memandangkan lagu yang dijadikan runut bunyi drama Ada Apa Dengan Saka itu ‘lari’ daripada genre kebiasaannya iaitu dangdut.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN