KETIKA didedahkan dengan masalah vaginismus yang berlaku dalam kalangan wanita beberapa bulan lalu, Syida, wanita berusia pertengahan 40-an ini termenung sayu. Tidak disangka, hampir 20 tahun mendirikan rumah tangga, dia sebenarnya menghidap penyakit itu.
Vaginismus atau juga dikenali sebagai masalah faraj terkunci merupakan satu keadaan yang mana otot di bahagian dalam faraj wanita menegang dalam keadaan tidak terkawal dan menyebabkan kesukaran untuk aktiviti hubungan seksual.
Dianggarkan, masalah ini dialami oleh kira-kira 17 peratus wanita di seluruh dunia setiap tahun.
“Sejak di awal perkahwinan lagi, saya menyedari diri ini tidak normal apabila gagal menjalankan tanggungjawab terhadap suami seperti isteri-isteri lain. Bagaimanapun pada waktu itu, saya hanya memendam masalah yang dialami kerana malu jika diketahui oleh keluarga mahupun rakan-rakan.
“Perkahwinan kami malahan agak tegang, suram dan sering berlaku pertengkaran kerana kami tidak memahami apa yang berlaku. Bagaimanapun, saya bersyukur kerana dikurniakan seorang suami penyabar.
“Walaupun bahagia dengan kehadiran dua anak angkat, namun saya kini menjalani rawatan bagi memulihkan masalah dialami. Sayang rasanya apabila kami didedahkan dengan masalah ini ketika usia lanjut.
“Sudah tiba masanya masyarakat di negara ini lebih terbuka membincangkan isu-isu kesihatan biarpun ada sebahagiannya dikatakan menyentuh sensitiviti sesetengah jantina,” kongsinya
Syida merupakan salah seorang wanita yang ada masalah vaginismus.

Tidak seperti penyakit-penyakit lain yang sememangnya sudah diketahui, vaginismus sememangnya asing dalam masyarakat di negara ini. Bukanlah penyakit itu baharu dikesan mahupun rekaan semata-mata, ia sebenarnya merupakan antara masalah sering dihadapi kaum wanita sejak dahulu lagi.
Biarpun begitu, vaginismus tidak didedahkan kerana disifatkan sebagai tabu dalam masyarakat dan kurang enak diperkatakan secara terbuka. Lebih-lebih lagi apabila penyakit tersebut melibatkan bahagian reproduktif wanita.
Tanpa mereka sedari, masalah tersebut wajar dipandang serius dan wanita tersebut perlu dibantu supaya mampu keluar dari dibelenggu ketidaknormalan diri dengan mendapatkan rawatan pada kadar segera.
Ini memandangkan ia boleh menyebabkan pasangan suami isteri sukar untuk menimang cahaya mata.
Lebih menyedihkan apabila penyakit ini juga dikatakan boleh menyebabkan hubungan suami isteri menjadi renggang sehingga berlakunya penceraian.
Menurut Konsultan Obstetrik & Ginekologi dari Hospital Pakar Ohana, Dr. Dahlia Abd. Malik, bukan sahaja dalam kalangan wanita yang baru mendirikan rumah tangga, masalah vaginismus juga boleh berlaku kepada wanita yang sudah lama berkahwin.
“Biasanya wanita yang datang ke sini tidak tahu bagaimana mahu menggambarkan masalah dihadapi. Tambahan pula, masalah ini berkaitan dengan hubungan seksual dan ia menyebabkan mereka malu untuk datang berbincang dan mendapatkan rawatan sepatutnya.
“Di Malaysia, masalah ini boleh dikatakan kerap berlaku, tetapi ia hanya mula diperkatakan secara terbuka sejak akhir-akhir ini. Ini kerana, mereka sudah boleh menerima sekiranya isu ini diperkatakan secara umum.
“Biasanya apabila membaca mengenai vaginismus, barulah mereka sedar, mereka sebenarnya mempunyai masalah itu,” ujarnya.

Menurut Dr. Dahlia lagi, mengikut istilah perubatan, vaginismus merupakan kondisi perubatan yang berlaku akibat ketegangan di sekitar vagina yang mana individu tersebut tidak boleh mengawal masalah yang dialami tanpa mereka sedari.
“Masalah yang turut dikenali sebagai penetrasi ini juga melibatkan otot pubococcygeus yang bukan sahaja berfungsi untuk melakukan hubungan kelamin, bahkan membuang air besar dan kecil.
“Gangguan itu menyebabkan rasa sakit, kejang dan seterusnya menghalang hubungan kelamin daripada berlaku. Hal ini tidak berlaku dalam hubungan kelamin semata-mata, sebaliknya turut melibatkan gangguan ketika pemeriksaan ginekologi,” katanya.
Berkongsi lanjut, menurut Dr. Dahlia, terdapat dua jenis vaginismus yang dikenal pasti iaitu primary dan secondary.
“Di peringkat primary, ia biasanya berlaku kepada wanita yang gagal melakukan hubungan kelamin buat pertama kali. Keadaan itu dikaitkan stigma sosial atau disebabkan trauma sewaktu kecil yang mungkin wanita ini mengalami gangguan seksual, selain masalah psikologi emosi seperti anxiety.
“Sementara itu di peringkat secondary pula, ia berpunca daripada trauma yang disebabkan oleh anxiety atau panik. Vaginismus juga boleh berlaku terhadap wanita yang trauma semasa melahirkan cahaya mata atau menjalani pembedahan di bahagian itu.
“Pun begitu, masalah ini juga boleh berlaku disebabkan oleh jangkitan kuman di bahagian alat sulit sehingga menyebabkan dinding vagina menjadi sensitif, lalu menipis seperti wanita yang telah menopaus,” terangnya.
Tidak seperti penyakit lain, vaginismus boleh pulih dan mampu dirawat dengan mudah menggunakan kaedah kaunseling.
“Bila ada wanita dikesan masalah vaginismus, doktor akan mengenal pasti adakah ia berpunca daripada trauma, jangkitan kuman mahupun pernah membuat pembedahan di bahagian alat sulit. Perlu diingatkan, pemeriksaan dijalankan secara lembut kerana penghidap vaginismus ini mempunyai kadar sensitiviti sangat tinggi.
“Sesi terapi dan kaunseling kemudian dilakukan dan penglibatan pasangan perlu kerana dari situlah, mereka akan diajar kaedah untuk mengendali serta mengawal rasa takut dan bimbang yang ada dalam diri wanita itu sendiri.
“Sekiranya sesi kaunseling tidak berjaya dan wanita tersebut masih mengalami masalah vaginismus, barulah kaedah senaman penetrasi atau penggunaan ubat ditawarkan.
“Pun begitu, biasanya ia boleh pulih hanya dengan menjalani beberapa sesi kaunseling dengan kerjasama daripada pasangan,” ujarnya.

Jelasnya, masalah vaginismus dalam kalangan wanita berlaku disebabkan oleh stigma masyarakat dan individu sekeliling yang mendakwa mengadakan hubungan kelamin adalah menyakitkan.
Disebabkan itulah, pentingnya pendidikan seksual bukan sahaja di peringkat kanak-kanak, bahkan peringkat dewasa supaya masalah ini dapat diatasi.
“Sejak dahulu lagi, kita sering diingatkan agar tidak terlalu terbuka dalam membincangkan soal seksual dan berkemungkinan dari situlah menyebabkan segelintir individu tidak mengetahui apa yang berlaku dalam hubungan kelamin.
“Selalunya mereka hanya akan mengetahui mengalami masalah vaginismus sebaik mendirikan rumah tangga dan ia tidak mempunyai sebarang tanda melainkan ketidakupayaan untuk melakukan hubungan kelamin.
“Selain tiada pengalaman, tidak mempunyai pengetahuan dalam hubungan kelamin juga punca utama vaginismus berlaku,” terangnya.
Tidak dinafikan, individu yang ada masalah vaginismus tidak berpeluang mempunyai cahaya matanya sendiri memandangkan ketidakupayaan menjalani hubungan kelamin.
Bagaimanapun menurut Dr. Dahlia, terdapat kaedah lain yang boleh membantu pasangan dengan masalah tersebut hamil tanpa menjalani hubungan kelamin iaitu menerusi rawatan Intrauterine Insemination (IUI) dan bayi tabung uji (IVF).
“Penyakit ini memang boleh mengganggu keharmonian rumah tangga lebih-lebih lagi apabila melibatkan soal zuriat.
“Bagi wanita yang berasakan mereka ada masalah vaginismus, jangan segan-segan untuk menemui doktor dan mendapatkan rawatan segera.
“Paling penting, kenal pasti masalah dialami supaya boleh menjalani kehidupan seperti wanita lain,” ujarnya.















