fbpx
FILEM Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan yang dilakonkan Adi Putra (tengah) berjaya mengutip hampir RM40 juta dalam masa 10 hari di pawagam seluruh negara.

Karya pecah panggung belum tentu penerbit kaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Indah khabar dari rupa.

Itulah realiti yang terpaksa dihadapi oleh pemain industri filem apabila meraih keun­tungan yang tidak seberapa biarpun karya mereka mendapat kutipan ‘pecah panggung’.

Ini berikutan cukai hiburan sebanyak 25 peratus dan caj pawagam yang dikenakan terhadap pembikin filem tempatan.

Perkara itu menjadi topik perbincangan hangat selepas filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan meraih kutipan RM39.2 juta dalam 10 hari.

Pemain filem tanah air seperti Datuk Afdlin Shauki, Nam Ron dan Mawi meluahkan rasa tidak puas hati dengan cukai hiburan itu yang disifatkan membebankan pembikin filem dan penerbit.

Presiden Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profima), Khalil Saleh berkata, sudah tiba masanya pihak berkaitan termasuk kerajaan mengkaji semula cukai 25 peratus yang dikenakan.

“Jika diikutkan sudah lama (cukai hiburan) dilaksanakan. Ia tidak sesuai dan membebankan industri perfileman termasuk pihak pawagam dan penerbit filem.

“Bagi saya kalau hendak me­ngenakan caj tinggi kepada cabang sektor hiburan lain se­perti pub atau rumah judi tidak kisah, tetapi tolong jangan ‘usik’ industri perfileman negara.

“Kalau tak silap cukai hiburan di negara jiran seperti Indonesia hanya 10 peratus daripada keuntungan kutipan di panggung wa­yang,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Khalil

Menurut Khalil, perkara tersebut sekiranya tidak dikaji dikhuatiri bukan sahaja akan membantutkan kemajuan industri perfileman negara, malah akan menghancurkan keseluruhan bidang tersebut yang berpotensi dan banyak menyumbang kepada ekonomi negara.

Sementara itu, Khalil memberitahu, ketelusan pihak bertanggungjawab seperti kerajaan negeri turut ditagih dalam menangani isu pungutan caj panggung yang menjadi polemik ramai ketika ini.

“Hasil panggung yang dikutip misalnya oleh majlis perbandaran perlu diserah kepada mereka yang bekerja keras membikin filem. Kerajaan negeri tidak usah campur tangan caj kutipan kerana akhirnya membebankan orang industri,” ujarnya.

Norman

Senada dengan Khalil ialah penerbit dan pengarah popular, Datuk Norman Abdul Halim yang menyifatkan cukai yang dikenakan oleh kerajaan ke atas industri kreatif adalah tidak relevan.

Disebabkan cukai hiburan yang terlalu tinggi dan langsung tidak berbaloi, ramai penerbit filem termasuk dirinya memilih untuk tidak menayangkan naskhah masing-masing di pawagam.

“Sebab itu sejak akhir-akhir ini, kita lihat ramai penerbit filem cenderung pilih platform per­khidmatan over-the-top (OTT) berbanding pawagam. Cukai hiburan ini membebankan.

“Terdapat segelintir pembikin filem beranggapan meletakkan filem di pawagam tidak menguntungkan dan terlalu banyak birokrasi yang akhirnya meranapkan motivasi mereka untuk menghasilkan karya yang berkualiti,” katanya.

‘Orang kuat’ industri kreatif seperti Afdlin turut memohon agar pihak berkaitan menilai semula cukai hiburan yang dikenakan menerusi akta yang digubal di Parlimen.

“Kalau hendak caj setinggi itu untuk filem antarabangsa terpulanglah, tetapi bukan karya tempatan,” ujarnya.

Isu kutipan cukai hiburan mula diperkatakan selepas Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan menjadi fenomena dalam kalangan rakyat negara ini. Perkara itu diutarakan Mawi dan disahut Adflin dan Nam Ron.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN