PUTRAJAYA – Seorang wanita bergelar Datin terpaksa meringkuk di tirai besi selepas Mahkamah Rayuan di sini semalam mengekalkan hukuman penjara lapan tahun atas pertuduhan mendera seorang amah empat tahun lalu.
Panel tiga hakim diketuai Hakim Datuk Seri Kamaludin Md. Said membuat keputusan itu selepas menilai hujahan yang dikemukakan oleh pihak pembelaan dan pendakwaan.
Mahkamah juga menolak rayuan tertuduh, Rozita Mohd. Ali, 46, terhadap hukuman yang dijatuhkan ke atasnya oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 2018.
Dalam penghakimannya, Kamaludin berkata, Mahkamah Rayuan berpendapat Mahkamah Tinggi Shah Alam mempunyai kuasa untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen Petaling Jaya yang mengenakan bon berkelakuan baik selama lima tahun dengan jaminan RM20,000.
“Hukuman dikenakan Mahkamah Tinggi adalah mengikut trend, malah terdapat hukuman lebih tinggi yang pernah dikenakan bagi kes yang lain.
“Justeru, dengan mengambil kira hukuman di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan iaitu penjara selama 20 tahun, keputusan akhir Mahkamah Tinggi (penjara lapan tahun) dikekalkan. Rayuan pendakwaan untuk menambah lagi hukuman ke atas tertuduh juga ditolak,” katanya.

Selain Kamaludin, dua lagi panel yang bersidang ialah Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail dan Hakim Datuk Nordin Hassan.
Pada prosiding itu, pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Ku Hayati Ku Haron, manakala pembelaan diwakili peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla.
Difahamkan, Rozita dibawa ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman itu yang bermula semalam.
Mengikut pertuduhan pindaan, Rozita didakwa menyebabkan kecederaan parah ke atas warga Indonesia, Suyanti Sutrinso, 19, dengan menggunakan pisau, mop lantai, payung, batang besi, alat mainan kucing dan penyangkut baju.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Jalan PJU 7/30, Mutiara Damansara, Petaling Jaya pada pukul 7 pagi hingga 12 tengah hari, 21 Jun 2016.
Pada 29 Mac 2018, Mahkamah Tinggi Shah Alam membatalkan bon kelakuan baik ke atas Rozita selepas tertuduh mengaku bersalah mendera pembantu rumahnya dan menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun.
Mahkamah Sesyen terkhilaf apabila mempertimbangkan Suyanti menarik semula laporan polis semasa perbicaraan.














