fbpx
LUAR biasa dan tidak dijangka adalah antara ciri fesyen avant-garde.

Fesyen radikal avant-garde terus diminati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Oleh FAIZAL HAMID

Avant-Garde adalah sinonim dengan aliran gerakan melangkaui sempadan budaya dengan idea-idea radikal lebih seabad lamanya. Semenjak ia dimulakan, perkembangan gerakan ini cukup progresif di dalam lapangan seni, muzik, seni bina, sastera, teater, filem dan paling penting, fesyen.

Dalam terma fesyen, avant-garde telah berjaya menghasilkan generasi pereka berkaliber yang dibanggakan. Merekalah yang cuba membentuk semula bagaimana kita melihat dan memakai pakaian.

Gaya avant-garde yang dahulunya dianggap luar kebiasaan, kini menjadi fenomena dunia serta diterima sebagai suatu yang progresif dan pemikiran yang ke hadapan.

Avant-garde adalah gerakan budaya artistik dan intelektual yang bercirikan pendekatan eksperimental dan radikal. Diambil daripada bahasa Perancis yang bermaksud barisan hadapan (vanguard), terma ini menggambarkan sebilangan mereka yang berani berfikir di luar kotak serta maju ke hadapan dengan idea yang tidak konvensional atau luar biasa.

Avant-garde penting kerana ia adalah berdasarkan konsep inovasi berterusan, berani mengambil risiko dan momentum yang sentiasa meneroka peluang ke hadapan.

Konsep ini juga memberi penekanan bahawa setiap kemajuan hanya boleh dicapai melalui setiap kegagalan dan setiap mereka yang mahu lebih progresif perlu bersedia untuk gagal terlebih dahulu.

Percubaan dengan eksprimentasi yang berbeza juga pasti dapat menghasilkan inovasi yang di luar jangkaan.

1. Kod fesyen pelbagai

Kod fesyen avant-garde meliputi pelbagai rupa, bentuk, siluet dan kadar banding, bergantung kepada pereka dan juga kehendak pemakainya.

Setiap suatu konstruksi gaya pakaian avant-garde adalah hasil rekaan berdasarkan ekspresi individualiti pereka.
Hitam pastinya merupakan definisi warna fesyen avant-garde. Pakaian yang kesemuanya dalam rona hitam cukup dramatik serta dapat memberi fokus kepada siluet pakaian.

Terutamanya dari segi variasi potongan labuh kain tidak simetri (asymmetric hemlines) yang dapat menghasilkan bentuk unik dan istimewa.

Rekaan fesyen ini juga seharusnya mempunyai maksud, tujuan dan nilai kepada si pemakainya.

2. Elemen dominan

Struktur pakaian yang berbeza dalam rona terang adalah juga sebahagian daripada fesyen avant-garde.

Elemen ini cukup dominan dalam koleksi rekaan pereka seperti Rei Kawakubo (Comme des Garçons).

Fesyen pakaian alternatif ini mempunyai ciri-ciri seperti ropol, reka corak, tekstur dan warna yang berani serta penuh impak kejutan.

Terdapat juga fesyen avant-garde jalanan – koleksi pakaian yang direka khas untuk pakaian jalanan (street wear). Selalunya gaya jalanan avant-garde dianggap mewah dan merupakan salah satu cara untuk memastikan kehadiran kita dirasai khalayak.

3. Penampilan lebih ceria memacu intelektual

Dalam fesyen, avant-garde dimanifestasikan dengan memacu ke hadapan, intelektual, kesenian, rekaan yang tidak konvensional, rupa bentuk baharu, struktur dan sentuhan luar biasa yang memisahkan cetusan idea dan karya daripada arus perdana.

Pendekatan eksperimental yang berterusan menjadikan fesyen berkonsepkan avant-garde cukup unik dan signifikan. Fesyen avant-garde adalah merupakan ekspresi diri pereka melalui karya mereka.

Ia bukan hanya bersifat luaran tetapi lebih kepada intuisi serta persepsi si pemakai terhadap karya atau rekaan tersebut.


FESYEN avant-garde boleh diterapkan ke dalam fesyen atau jenama arus perdana.

4. Jenama arus perdana

Gerakan avant-garde telah memberi impak terhadap bagaimana pereka berfikir dan menghasilkan karya mereka. Rupa, bentuk dan siluet pakaian juga mula berubah atas pengaruh avant-garde.

Eksperimentasi perincian serta potongan pakaian yang radikal dan tidak dijangka seperti oversized tailoring menyuntik perspektif berbeza kepada gaya berpakaian kontemporari.

Melalui evolusi yang mengambil masa lama, pereka fesyen avant-garde dunia telah mewujudkan gaya karya tersendiri hingga ke tahap yang begitu ikonik.

Sememangnya asal usul fesyen avant-garde sukar dikenal pasti dengan tepat, tetapi pengaruh paling besar bagi permulaan konsep keseluruhan revolusi global avant-garde datangnya daripada pereka-pereka Jepun hebat seperti Yohji Yamamoto, Rei Kawakubo (Comme des Garçons) dan Junya Watanabe.

Yohji Yamamoto antara pereka avant-garde paling berjaya yang menggabungkan konsep fesyen avant-garde di dalam jenama arus perdana.
Kolaboratif Yohji Yamamoto dan Adidas untuk jenama Y-3, cukup popular dan telah memecahkan tradisi fesyen pakaian.

Pereka luar biasa Thierry Mugler, Courréges dan Borris Bidjan Saberi juga menempa nama dengan koleksi ikonik avant-garde.

5. Avant-garde kontemporari

Fesyen avant-garde bermula sekitar tahun 1960-an dan merupakan konsep gaya baharu yang agak kontroversi pada masa itu.

Ia selalu diinspirasikan daripada konteks sosial kontemporari yang akhirnya mungkin boleh menghasilkan karya yang mampu untuk melonjak manifestasi (idea/ konsep/ pemikiran) yang mendefinisikan sesuatu zaman.

Pakaian dengan konsep avant-garde juga sepatutnya mempunyai elemen provokatif tetapi dalam waktu yang sama masih sensitif dan punyai kefahaman terhadap lapisan ruang lingkup masa, budaya dan masyarakat masa kini. Ini untuk memastikan ia relevan dalam konteks kontemporari.

Setiap rekaan atau karya yang melangkaui konsep pakaian kebiasaan dan sebenarnya membawa cerita tersembunyi perlu kita rungkai dan terjemahkan.

Konsep fesyen avant-garde cukup luar biasa serta menerokai kebebasan ekspresi seni yang tiada sempadan.
———————————————————————————————————————————————————————————
FAIZAL HAMID ialah Pensyarah Kanan Jabatan Fesyen, Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, Universiti Teknologi Mara, Shah Alam,Selangor.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN