PADANG BESAR – Sindiket penyeludupan daun ketum dikesan mula beralih dari kawasan pagar sempadan ke kawasan hutan tebal dan berbukit di Wang Kelian dekat sini untuk menyeludup bahan terlarang itu ke Thailand.
Sindiket berkenaan dikatakan memperoleh tumbuhan tersebut dari Kedah yang terkenal dengan daun ketum jenis urat merah dan daun jambu sebelum dibungkus di dalam guni untuk dibawa ke Perlis.
Kumpulan tersebut kemudian akan membawa masuk guni-guni berisi daun ketum itu dan diletakkan di lokasi tertentu di dalam hutan tebal dan berbukit.
Seterusnya, kumpulan penyeludup lain dari sebelah Thailand akan masuk ke sempadan negara sejauh kira-kira 400 hingga 600 meter untuk mengambil bekalan ketum berkenaan.
Mereka akan memikul guni berisi daun ketum itu dengan meredah hutan tebal dan berbukit untuk diseludup ke negara jiran.
Difahamkan, terdapat segelintir penduduk di kawasan itu yang didakwa telah lama bersekongkol dengan penyeludup.
Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad memberitahu, Wang Kelian sememangnya menjadi antara lokasi utama penyeludupan daun ketum di sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini sejak kebelakangan ini.
Katanya, selain Wang Kelian, lokasi panas yang popular dalam kalangan penyeludup ialah kawasan ladang di Chuping dekat sini.
“Kita mengakui aktiviti penyeludupan masih berlaku, namun ia dalam kawalan pihak berkuasa.

“Penyeludupan daun ketum ini didapati semakin rancak selepas pintu sempadan dibuka. Selain daun ketum, kita dapati penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang kebanyakannya warga Myanmar di Chuping juga meningkat,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Beliau berkata, kawasan sempadan di Wang Kelian sejauh kira-kira 1.6 kilometer (km) yang berbukit serta hutan tebal menjadi faktor kegiatan penyeludupan sukar dikesan.
“Kawasan ini (Wang Kelian) tiada pagar keselamatan yang mana penyeludup akan masuk ke sempadan Malaysia antara 400 hingga 600 meter melalui hutan untuk mengambil guni-guni berisi daun ketum.
“Guni berisi daun ketum tersebut diletakkan penyeludup dari Malaysia di hutan berkenaan sebelum diambil kumpulan penyeludup dari Thailand untuk diseludup dengan cara memikulnya ke negara jiran itu.

“Semua urusan seperti upah dan merekrut untuk mengangkat guni ketum ini diuruskan oleh sindiket dari Thailand, manakala sindiket di Malaysia menguruskan bekalan daun ketum dari Kedah dan membungkus semula daun ke dalam guni,” jelasnya.
Berhubung statistik rampasan dan tangkapan ketum, ujar beliau, sebanyak 32 kes melibatkan empat tangkapan dengan rampasan 13,404 kilogram (kg) daun ketum dicatatkan di kawasan Wang Kelian pada tahun 2021
“Kegiatan itu terus rancak pada tahun ini apabila sebanyak 16 kes direkodkan dengan melibatkan empat tangkapan dan rampasan 4,393 kg daun ketum,” katanya.
Tambahnya, pihaknya mengenal pasti beberapa kumpulan dan individu yang disyaki terlibat dalam kegiatan tersebut, namun beliau enggan mendedahkannya.
“Kita percaya dan tidak menafikan penglibatan penduduk tempatan dalam kegiatan penyeludupan daun ketum sejak sekian lama terutama mereka yang tinggal di sempadan negara.
“Walau bagaimanapun, tidak semua penduduk tempatan terlibat,” katanya.
Wang Kelian sebelum ini meriah dengan aktiviti perdagangan bebas di kawasan sempadan antara Wang Kelian dengan Wang Prachan, Thailand tanpa memerlukan rakyat Malaysia mengemukakan pasport untuk ke situ.
Namun begitu, keadaan itu bertukar suram selepas kemudahan perdagangan bebas atau Zon Aliran Bebas tersebut dimansuhkan sejak tujuh tahun lalu atas faktor keselamatan. Sebelum itu, sebuah kem dan kubur besar menempatkan 139 kubur berkaitan mayat mangsa pemerdagangan manusia ditemui di kawasan hutan di situ.














