fbpx
RIZALINA membuktikan kaum wanita juga hebat dalam bidang penerbangan aerodrome.- Foto FAZLI ALIF AHMAD ZUBIR

Rizalina cipta sejarah bidang penerbangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

“SAYA tidak pernah bermimpi akan menerima anugerah ini memandangkan saya merupakan seorang yang follow with the flow.

“Biasanya jika diberikan tanggungjawab untuk melaksanakan satu-satu tugas, saya akan cuba yang terbaik untuk menyempurnakan amanah diberikan,” kata Rizalina Jumairy dengan penuh merendah diri.

Wanita berusia 46 tahun ini merupakan rakyat Malaysia pertama yang diiktiraf sebagai pengesah metodologi pembangunan kursus sistem reka bentuk pengajaran (ISD) Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) atau International Civil Aviation instructional systems design validator pada 8 Jun lalu.

Pengiktirafan tersebut diterima selepas beliau melalui proses on-the-job training (OJT) sebagai pengesah metodologi atau validator bagi pembangunan standardized training packages (STP) berkaitan Doppler Very High Frequency Omni Range (DVOR) System Equipment Maintenance yang dibangunkan hasil kerjasama dengan Advanced Air Traffic Systems (M) Sdn. Bhd.

Pengiktirafan itu dianugerahkan atas kejayaan Rizalina membangunkan tiga STP yang diiktiraf ICAO sejak 2016.

KEJAYAAN Rizalina menjadi rakyat Malaysia pertama sebagai pengesah motodologi pembangunan kursus sistem reka bentuk pengajaran Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) diraikan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) baru-baru ini.

Dengan pengiktirafan itu melayakkan beliau untuk mengesahkan mana-mana Pusat Latihan Penerbangan Awam (CATC) seluruh dunia adalah bertauliah atau menepati standard ICAO, selain layak untuk mengesahkan sebarang pembangunan dan pelaksanaan kurus atau buku STP, ICAO Training Package (ITP) atau Compliant Training Package (CTP) oleh negara-negara rangkaian ICAO TRAINAIR PLUS Programme (TPP).

Biarpun pencapaian yang digapai bertaraf dunia dan menjadi kebanggaan negara, namun wanita yang juga merupakan seorang pengajar di Akademi Penerbangan Malaysia atau Malaysia Aviation Academy (MAvA) ini langsung tidak bermegah dengan pencapaian itu, sebaliknya berasakan itu hanyalah sebahagian daripada tuntutan tugas yang perlu dilunaskan.

Mengikut resmi padi yang semakin berisi semakin tunduk, penulis begitu kagum dengan personaliti yang ada pada salah seorang individu terpenting dalam industri penerbangan negara ini.

Berpengalaman lebih 23 tahun di Jabatan Penerbangan Awam (DCA) dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), beliau bertanggungjawab menyediakan OJT kepada mana-mana pihak yang membangunkan kursus melalui proses pembangunan STP pertama.

Menyelami perjalanan kariernya, kongsi wanita memiliki Diploma dalam Kawalan Trafik Udara atau Air Traffic Control (ATC) dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu, sejak di bangku sekolah lagi, dia menyedari minatnya lebih terdorong ke arah bidang kejuruteraan.

Justeru, sebaik mengisi borang kemasukan ke universiti sewaktu tamat Sijil Pelajaran Malaysia, wanita ini ternampak jurusan ATC dan berasakan ia merupakan satu jurusan menarik.

“Sewaktu itu tiada WhatsApp tetapi kita sudah terdedah dengan internet. Jadi, saya pergi ke kafe siber dan dari situ saya membaca lebih lanjut dan mendalam apakah itu ATC.

“Ia merupakan satu cabang pekerjaan yang sangat menarik tetapi kurang diperkatakan umum berbanding profesion lain seperti doktor, jurutera, guru dan lain-lain. Dalam bidang penerbangan sendiri, profesion seperti juruterbang dan pramugari lebih popular berbanding ATC.

“Bahkan ada yang tidak pernah mendengar individu yang bercita-cita untuk menjadi pengawal trafik udara. Dengan terujanya, saya memasuki kursus tersebut,” kongsinya.

RIZALINA (kanan) sentiasa bersemangat dalam melaksanakan tugas-tugasnya.

Menyertai DCA pada tahun 1999 dan distesenkan di Kuala Lumpur Traffic Controller Center yang terletak di Subang, Selangor, wanita ini ditugaskan di bahagian aerodrome controller yang bertanggungjawab memproses pelan penerbangan pesawat.

Tujuh tahun berkhidmat dan berpengalaman luas dalam bidang aerodrome, dia kemudian ditawarkan untuk mengajar bidang tersebut di MAvA pada tahun 2014 hingga kini.

Di situlah bermulanya episod perjalanan karier yang manis buat Rizalina sehingga melakar sejarah dalam industri penerbangan negara.

“Pada asalnya saya hanya dipinjamkan seketika sebelum kemudiannya dikekalkan di sini. Pada waktu itu jugalah mantan pengarah MAvA menghantar saya menghadiri kursus untuk menjadi course developer.

“Diterbangkan ke Incheon, Korea Selatan, saya kemudian perlu melengkapkan tugasan pertama iaitu membangunkan STP pertama yang berjudul Handling Emergencies and Unexpected Events in Terminal and En-Route Airspace pada tahun 2016.

“Siapa sangka modul yang mengambil masa empat bulan untuk disiapkan itu akhirnya mendapat pengiktirafan dan dianugerahkan dengan plak emas.

“Selepas penganugerahan tersebut, MAvA menjadi lebih bersemangat dan berminat untuk mempunyai seorang validator. Pun begitu, ICAO menetapkan jika individu mahu menjadi validator, mereka perlu membangunkan sekurang-kurangnya tiga buah buku atau kursus.

“Justeru saya membangunkan pula STP kedua dan ketiga secara serentak iaitu Search Area Calculation for SAR Operation and Performing ADSB System Equipment Maintenance serta Search Area Calculation for SAR Operation and Performing ADSB System Equipment Maintenance,” katanya.

KEPAKARAN Rizalina diiktiraf global.

Berjaya melakar sejarah dan pelbagai kejayaan di dalam karier, wanita ini turut dijemput ICAO untuk menjadi speaker jemputan dalam sesi tertentu.

Beliau pernah diberikan satu sesi untuk berkongsi pengalaman dan cabaran menjadi course developer di pentas antarabangsa di sebuah majlis ICAO di India pada Oktober 2018.

Kongsi Rizalina, arwah neneknya yang merupakan bekas Senator negara, Datin Wan Intan Tajuddin sebagai sumber inspirasi yang membentuk siapa dirinya hari ini.

“Saya membesar dengan arwah nenek yang mana saya melihat sendiri bagaimana ketabahan beliau daripada seorang bidan kemudian memasuki arena politik negara.

“Bagi saya, beliau merupakan individu yang cukup sempurna dan membentuk siapa saya hari ini. Bahkan sepanjang saya melanjutkan pengajian dalam bidang ini juga, beliaulah antara individu yang banyak memberi dorongan buat saya.

“Pun begitu saya turut bersyukur kerana turut dibantu individu sekeliling yang begitu memahami kerjaya saya. Suami, keluarga, rakan-rakan dan sahabat-handai yang sentiasa memberikan sokongan,” kongsinya.

Biarpun merupakan antara profesion terpenting dalam industri penerbangan negara, namun Rizalina akui masyarakat di negara ini masih ramai lagi yang tidak didedahkan dengan ATC.

“Tidak ramai yang didedahkan dengan dunia ATC. Mungkin ada juga yang tidak pernah terlintas adanya individu di sebalik menara kawalan yang membantu kelancaran trafik di udara.

“Mungkin faktor kurangnya membaca dan pendedahan tentang kerjaya seperti ini dalam kalangan masyarakat negara ini menjadi salah satu sebab mengapa ia berlaku,” tambahnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN