MALAM pembuka tirai Big Stage 2020 menyaksikan dendangan pertamanya berjudul Salam Sejahtera nyanyian asal kumpulan Samudera. Bermula dari situlah, namanya mula menjadi sebutan. Dia disebut-sebut bakal berada di pentas final dan milik potensi untuk menjulang trofi juara.
Begitu pun, seperti larian jarak jauh, sesiapa sahaja dalam perlumbaan berpeluang untuk mencecah garisan penamat waima bermula perlahan.
Hal tersebut diakui pemilik nama sebenar Muhammad Azzammuddin Lop Hisham atau nama pentasnya, Azzam Sham yang masih bertahan sehingga ke semi final Big Stage 2020.
Underdog
Sebenarnya, sejak awal saingan, Azzam bersama seorang lagi peserta iaitu Usop sudah menunjukkan isyarat bakal merebut gelaran juara.
Bagaimanapun, kini semua peserta underdog mula menunjukkan taring. Azzam meluahkan kekagumannya terhadap peningkatan prestasi yang ditunjukkan Fadh Majid.
“Setiap peserta hebat. Saya rasa kerdil sebenarnya bertanding dalam program ini. Kalau tanya kepada saya siapa yang semakin hebat di pentas, saya sangat kagum dengan Fadh Majid.
“Dia menunjukkan peningkatan ketara. Minggu lepas dia juara. Saya yakin dia mempunyai strategi tersendiri untuk memberi saingan kepada peserta lain pada konsert akan datang,” kata Azzam, 23, membuka gelanggang perbualan.
Melanjutkan bicara, Azzam bersyukur kerana disebabkan Big Stage 2020, namanya kembali mekar selepas sedikit ‘tenggelam’ walaupun pernah menjadi naib juara rancangan realiti nyanyian kanak-kanak Idola Kecil musim kedua dan Idola Kecil Ultra siaran TV9.

– IHSAN RUSA MUSIC
“Alhamdulillah, ramai yang memberi sokongan sejak program ini bermula. Jadi, saya semakin terinspirasi untuk terus memberikan yang terbaik demi penyokong.
“Mungkin orang cakap kalau kita mula menyanyi sejak kecil, susah sedikit untuk dikenali apabila sudah besar.
“Saya pun pernah fikir begitu, namun saya percaya, melalui program ini, orang akan nampak kematangan saya terutama dari segi nyanyian,” tutur Azzam yang merupakan graduan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) dalam bidang Diploma Muzik (Vokal).
Minggu demi minggu, Azzam tidak menafikan bahawa ekspektasi penonton semakin tinggi.
Kadang-kadang, dia berasa tertekan untuk menghadirkan yang terbaik dalam setiap persembahan.
“Saya bermula dengan agak baik. Sudah tentu harapan penonton juga tinggi. Saya pula tidak mahu menghampakan penyokong. Namun, pada minggu lalu, saya berasa sedikit kecewa kerana persembahan kurang memuaskan.
“Sejujurnya, saya sedikit tertekan kerana penyokong sentiasa mahukan yang terbaik, namun pada masa sama, keadaan itu memberi inspirasi untuk saya terus memberi persembahan cemerlang,” katanya.
Untuk minggu separuh akhir, Azzam akan menyanyikan dua lagu iaitu Gundah (nyanyian asal Ernie Zakri) bersama Bob Yusof dalam segmen Duominasi Platinum, manakala untuk segmen Vote Juri, dia akan menyanyikan lagu dendangan asal Judika, Tak Mungkin Bersama.

Lagu pernah buat BCL nangis
“Menjadi cabaran buat saya kerana lagu Tak Mungkin Bersama nyanyian asal Judika pernah membuatkan Bunga Citra Lestari menangis ketika dinyanyikan secara langsung.
“Tambahan pula, saya tidak pernah menyanyikan lagu tersebut sebelum ini. Dari segi vokal dan penghayatan, harapan penonyon semestinya tinggi kerana lagu ini lagu yang sangat meruntun jiwa,” katanya.
Sebagai graduan Aswara, ramai berpendapat Azzam mempunyai kelebihan dari segi teknikal dan teori untuk dijulang sebagai juara.
Bagaimanapun, katanya, setiap peserta mempunyai peluang sama rata.
Peluang sama rata
“Cikgu Shafi ada cakap, saya tiada masalah besar dari aspek pithcing dan sebagainya. Bagi saya, apa yang penting dalam mana-mana pertandingan ialah usaha. Kalau tiada usaha yang mencukupi, susah untuk mencapai kejayaan.
“Kalau pun ilmu kita sudah memadai, tanpa usaha yang berterusan, jangan pernah bermimpi untuk berjaya. Biarpun sudah berjaya, namun usaha itu tidak berterusan, kejayaan itu tidak akan bertahan lama,” ulas Azzam berhemah.

Membuka kelemahan sendiri, Azzam turut mengakui mempunyai masalah gemuruh keterlaluan sehingga pernah muntah ketika mengadakan persembahan.
“Sekarang pun saya masih berdepan masalah sama. Namun, tiadalah sampai muntah atas pentas seperti ketika dalam Idola Kecil musim kedua dahulu.
“Sekarang kalau berasa gemuruh, saya akan cepat terlupa lirik. Itu berlaku ketika sesi latihan konsert minggu pertama sampai cikgu-cikgu dalam Big Stage pun hairan dengan saya.
“Bagaimanapun, saya sudah semakin selesa di atas pentas.
“Tipulah kalau saya cakap tiada perasaan gemuruh langsung, namun saya semakin okey dalam mengawalnya,” katanya yang mendedahkan bakal muncul dengan single terbaharu berentak balada usai Big Stage 2020 melabuhkan tirai kelak.














