fbpx
LEBIH setahun Alin makan hati menantikan panggilan daripada suami tercinta yang bekerja di luar negara. –GAMBAR HIASAN

K2

Suami menyepikan diri, wanita minta cerai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SELEPAS lebih setahun tidak mendengar khabar berita tentang keadaan suaminya yang bekerja di luar negara, seorang wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Alin akhirnya hilang sabar dan memutuskan untuk berpisah.

Menurut Alin, dia berkenalan dengan suaminya melalui seorang rakan sebelum mengambil keputusan untuk berkahwin pada usia yang agak muda.

Sebelum berkahwin, suaminya bekerja di sebuah kilang di Pulau Pinang.
Katanya, pada mulanya perkahwinan mereka baik-baik sahaja sehinggalah suaminya diberhentikan kerja.

“Pada ketika itu, usia perkahwinan baru lima bulan dan kehidupan kami banyak ditanggung oleh keluarga saya memandangkan suami merupakan seorang anak yatim piatu,” katanya.

Selepas beberapa bulan menganggur, Alin memberitahu, suaminya mengambil keputusan untuk berhijrah dan bekerja sebagai pemungut sayur di luar negara.

Suaminya menyatakan, seorang rakan mengajak untuk berbuat demikian kerana pekerjaan itu memberikan pendapatan lumayan.
Alin merestui pemergian suaminya untuk mencari rezeki di bumi asing.

“Dia berjanji akan membawa saya bersama apabila kehidupannya telah stabil di sana.

“Berat juga saya ingin melepaskannya kerana kami baru beberapa bulan bergelar suami isteri. Tetapi demi masa depan, saya merelakannya,” ujar Alin.

Demi sayang, Alin menebalkan muka meminjam sejumlah wang daripada ibu bapanya bagi menampung keperluan suaminya di tempat orang.
Setelah suaminya tiba dan bekerja di negara tersebut mereka sering berhubung antara satu sama lain.


KERANA dibuang kerja, suami Alin mengikut rakannya ke luar negara untuk bekerja sebagai pemungut sayur yang dikatakan menerima gaji yang agak lumayan. – GAMBAR HIASAN

Namun lama-kelamaan, Alin mendapati dia sukar untuk berhubung dengan suaminya dan jika dapat dihubungipun, mereka hanya sempat berbual untuk tempoh sekejap.

Suaminya menyatakan bahawa dia sibuk dengan kerja dan tiada masa untuk berbual lama dengan Alin.
Apa yang lebih meresahkan Alin, suaminya langsung tidak pulang setelah lebih setahun berada di negara tersebut.

“Pada awalnya dia selalu juga mengirimkan wang belanja buat saya di Malaysia.

“Namun selepas beberapa ketika, dia jarang berbuat demikian dan apabila saya meminta, dia memberi alasan belum menerima gaji,” katanya.

Perubahan yang berlaku kepada suaminya, ujar Alin, sampai ke kemuncak selepas lelaki itu menukar nombor telefon dan ini menyebabkan mereka tidak dapat berhubung sama sekali.

Kerana terlalu rindu, Alin cuba menghubungi rakan suaminya bagi bertanya khabar.

Namun Alin kecewa apabila mendapat tahu, rakan suaminya itu telah pulang dan bekerja di Malaysia.

Alin berasakan dia pada waktu itu seperti digantung tidak bertali oleh suaminya kerana langsung tidak menghubunginya.
Bagaimanapun kata Alin, setelah puas berusaha, akhirnya dia berhasil mendapat nombor telefon baharu suaminya.

“Saya menghubunginya untuk meminta penjelasan mengapa dia menghilangkan diri tanpa sebarang khabar,” katanya.
Alin menjelaskan, dia sebenarnya telah tawar hati dengan suaminya itu dan ingin memohon dilepaskan kerana lebih setahun digantung tidak bertali.

Tanpa sebarang penjelasan, suaminya sanggup melepaskan Alin demi kebaikan bersama.
Akhirnya Alin nekad ke mahkamah syariah untuk memohon pembubaran perkahwinan yang mereka bina selama ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN