BATU PAHAT – Misteri kehilangan seorang operator kilang dari Machang, Kelantan sejak hampir setahun lalu terjawab selepas dia ditemui tidak terurus dipercayai ‘dilarikan’ sepasang suami isteri di sebuah rumah di daerah ini pada Jumaat lalu.
Sepanjang tempoh kehilangan itu, mangsa yang berusia 28 tahun melalui pengalaman perit apabila terpaksa mengikat perut selain didakwa diberi sisa makanan oleh pasangan suami isteri tersebut serta dua anak mereka yang berusia 14 dan 16 tahun.
Menurut abang mangsa dikenali sebagai Zaki, 33, adiknya mula menunjukkan perubahan sikap pada Jun 2021 selepas dipercayai ‘ditegur’ wanita berkenaan ketika bekerja di Lembah Klang.
Selepas beberapa kali disapa, wanita berkenaan mengajak mangsa keluar makan sebelum sikap adiknya berubah apabila seolah-olah mahu menjauhkan diri daripada keluarga di kampung.
“Pada awalnya, kami menganggap perkara itu biasa tetapi pada Jun tahun lalu, dia pulang ke kampung untuk mengambil dokumen serta pakaian untuk mengikut wanita tersebut.
“Kami ada bertanya dan dia beritahu mahu mencari kerja di Batu Pahat. Saya bertanya semula dengan siapa dan dia menjawab bersama ibu angkat. Setahu saya, adik tidak mempunyai ibu angkat,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Zaki memberitahu, adiknya bergerak ke Batu Pahat dengan menaiki bas dan sejak itu hubungan mereka adik-beradik semakin jauh apabila mangsa sukar dihubungi termasuk semasa bapa mereka meninggal dunia pada September tahun lalu.
Mereka cuba mencari adiknya, namun gagal sehingga anak keempat daripada tujuh beradik itu dikesan tinggal bersama keluarga wanita tersebut di daerah ini.
Zaki turut mendapatkan khidmat rawatan pakar perubatan Islam dan seorang ustaz memaklumkan adiknya berada di satu lokasi dalam keadaan tidak terurus selain didakwa telah disihir.
“Pelbagai usaha dilakukan termasuk membuat laporan polis dan menjejak lokasi terakhir menerusi telefon bimbit adik saya. Saya minta bantuan anggota polis di Batu Bahat untuk ke lokasi yang dinyatakan,” ujarnya.
Bercerita lanjut, Zaki berkata, ketika berkunjung ke rumah pasangan suami isteri itu, dia terkejut melihat keadaan adiknya yang tidak terurus dan seperti kebingungan.
“Semasa mahu membawa pulang adik, pasangan tersebut menghalau dan menengking selain sanggup bersumpah demi untuk melepaskan diri. Keadaan sedikit tegang ketika saya cuba memujuk adik untuk pulang kerana dihalang mereka.
“Mereka juga tidak mengaku perbuatan ‘memperhambakan’ adik saya,” katanya.
Tambah Zaki, selepas menemui adiknya, dia sekali lagi membuat laporan di Balai Polis Batu Pahat di sini.
“Adik saya beritahu kesemua gaji yang diperoleh ketika bekerja di sebuah kilang di Batu Bahat digunakan oleh pasangan tersebut untuk membayar sewa rumah, bil dan makan minum selain kos persekolahan anak mereka,” katanya.
Bukan itu sahaja, rakan-rakan sekerja turut mendakwa ternampak mangsa memakan nasi kosong dengan bawang.
“Penyelia kilang juga menghubungi saya selepas cerita adik disiarkan di Facebook.
“Mereka menasihatkan supaya bawa adik pulang sebab keadaannya tidak terurus, kasutnya koyak dan diikat dengan tali rafia. Ada juga yang mengaku pernah menjadi mangsa pasangan itu,” katanya.
Zaki berharap agar pihak polis dapat menyiasat perkara tersebut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah mengesahkan kejadian tersebut.














