MELAKA – Melaka menyasarkan kemasukan sekurang-kurangnya 62,000 pelancong Indonesia pada tahun ini menerusi perkhidmatan Feri Dumai yang mula beroperasi, hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, setakat ini feri tersebut menyediakan tiga trip perjalanan dalam tempoh seminggu.
Bagaimanapun katanya, pihak kerajaan negeri menyasarkan untuk meningkatkan jumlah perjalanan kepada tujuh trip dengan kapasiti feri seramai 280 penumpang.
“Feri Dumai ini dah ada jadual iaitu Rabu, Jumaat dan Ahad untuk kemasukan dari Dumai ke Melaka, manakala Selasa, Khamis dan Sabtu adalah trip ke Indonesia.
“Namun kita sasar untuk tingkatkan trip ini dalam masa terdekat kepada setiap hari dan bukannya berkala,” katanya selepas menyambut ketibaan feri pertama dari Dumai di negeri ini di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS), di sini, hari ini.
Pada pembukaan itu, seramai 175 penumpang Indonesia tiba dengan menaiki Feri Indomal Kingdom dari Dumai pada pukul 12.20 tengah hari tadi.-KOSMO! ONLINE














